Bertemu lagi buat seketika dalam perkongsian resipi di bulan Ramadhan nan mulia ini. Moga sihat-sihat sahaja dalam menjalani ibadah puasa.
Kali ini Amie kongsikan resipi masakan sotong cumit atau squid. Ada orang kata sotong cumit ini saudara kepada sotong torak dan sotong jarum.
Saiz sotong cumit tidaklah besar, tetapi istimewanya kita akan jumpa telur di dalam perutnya. Sotong cumit tidak liat seperti sotong katak dan juga sotong torak. Jom kita masak.
Bahan-bahan:
500 gram sotong cumit - bersihkan - tos
3 cawan santan
1 batang serai - diketuk
4 batang kacang panjang - potong ikut suka
1 keping asam gelugor
garam / gula / perasa pilihan
Bahan tumbuk / kisar:
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
25 biji cili padi kampung warna hijau
3 cm kunyit hidup
Cara memasak:
1. Masukkan santan, serai dan bahan tumbuk / kisar ke dalam periuk.
2. Gunakan api sederhana.
3. Apabila kuah santan mula mendidih, masukkan asam keping dan kacang panjang. Kacau.
4. Setelah kacang panjang berubah warna, masukkan pula sotong.
5. Kacau lagi sehingga kuah mula mendidih sekali lagi.
6. Perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan.
7. Kacau sekali dua dan padamkan api dapur.