Salam petang Jumaat. Entah mengapa, akhir-akhir ini seakan-akan 'mati liur'. Mati liur ialah istilah yang digunakan oleh keluarga sebelah Encik Suami yang membawa maksud tidak mempunyai selera untuk makan. Petang kelmarin, beberapa kali Encik Suami telefon ke rumah, bertanya Amie.... nak masak apa? Amie kata, tak tahu nak masak apa. Tanyanya lagi, nak makan apa? Amie kata, tak tahu nak makan apa. Amie rasa nak baring-baring merehatkan badan saja. Rasa letih lesu semacam saja dan akhirnya Amie tertidur di depan televisyen. Tak tersedar pula Encik suami sudah masuk ke rumah dan kejutklan Amie. Katanya, ada putu dengan ikan bakar. Baru Amie teringat, kalau Amie mati liur, biasanya Amie minta Encik suami belikan putu dengan ikan bakar serta agar-agar laut. Alhamdulillah, agaknya dia teringatlah tu menu untuk menghidupkan kembali liur kita... he he hehh
Putu ialah sejenis makanan tradisional masyarakat Bajau di Sabah. Putu diperbuat daripada ubi yang diparut, diperah airnya dan kemudian dikukus hingga masak. Putu di atas kelihatan bulat panjang sebab setelah dikukus, putu tersebut dimasukkan ke dalam helaian plastik dan setelah padat, putu digulung sehingga menjadi bentuk seperti itu. Sebenarnya putu di dalam gambar di atas Amie potong dari sebatang putu yang kemas diikat di dalam plastik. Biasanya Encik Suami beli ikan kayu panggang tapi kali ini dibelinya pula ikan bolu panggang. Okeylah tu.... terima kasih banyak-banyak!
Pelengkap kepada menu putu ini, Encik Suami belikan agar-agar laut yang digaul bersama hirisan mangga muda serta kerisik, bersama limau kasturi dan cili padi.
Sebenarnya selain ikan panggang, putu juga boleh dimakan bersama ikan rebus, sagol pari atau sagol ikan buntal. Sebut tentang ikan buntal, tentu terbayang sejenis ikan bulat berduri yang dikatakan beracun. Sebenarnya, Amie sudah pun makan sagol ikan buntal beberapa kali! Bukan masak sendiri, tapi kawan yang masak dan ada sekali pernah makan di kampung, FIL yang masak! Kepada sesiapa yang tidak pernah makan ikan buntal, Amie beritahu di sini... rasanya sangat sedap! Isi ikan buntal kenyal tetapi lembut. Tapi kalau tak tahu mengolahnya, jangan sesekali cuba ye... apa-apa berlaku Amie tak bertanggungjawab tau! Sebab memang pada bahagian tertentu ikan buntal mengandungi racun!
