Ikan Susu Masak Lemak dengan Kencur
5:35 PTG
Menjelang tengahari tadi Encik Suami bawa pulang 2 ekor ikan susu.
Lama juga tak makan ikan susu. Kata Encik Suami, penjual ikan kata sekarang ini kurang ikan. Nelayan pun takut turun ke laut. Sebelum ini beberapa kali kejadian culik berlaku di sekitar pantai timur, dan tidak terkecuali di pantai Lahad Datu. Perintah berkurung yang tidak dipatuhi menyebabkan pihak berkuasa tidak dapat berbuat lebih dari had kuasa mereka. Walaupun tidak diwar-warkan, tapi sebenarnya perintah berkurung masing berjalan terutama di kawasan perairan Tawau, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.
Berita terkini ada menyebut bahawa perintah berkurung di kawasan perairan 7 daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (ESSZon) dilanjutkan sehingga 23 Oktober ini. Jadi, orang ramai tidak dibenarkan berada di kawasan perairan bermula dari jam 6 petang sehingga ke pukul 6 pagi esoknya. Boleh bayangkan bagaimana nelayan juga perlu mematuhi arahan ini?
Nampaknya kumpulan militan Abu Sayyaf dari selatan Filipina masih menjalankan kegiatan jenayah rentas sempadan dengan melakukan penculikan untuk mendapatkan wang tebusan!
Wokey... kita cerita tentang ikan susu tadi. Amie cadang untuk mengolah ikan ini sebagai hidangan berkuah. Amie akan masak lemak, tapi tambah kencur. Kalau ikutkan air tangan Bonda, ikan(Bonda suka ikan pari) kena bakar atau panggang terlebih dahulu. Kemudian tumbukkan cili padi hijau, dengan isi cekur, bawang putih dan bawang merah bakar. Santan kelapa pula diperah dengan menggunakan air suam. Campurkan kesemua bahan tumbuk ke dalam santan, tambahkan sedikit air asam jawa, garam dan perasa pilihan. Jika suka boleh tambahkan kacang panjang atau terung pipit mentah. Adeeehhhhh... enak banget!
Kakak Amie pula, lebih suka goreng terlebih dahulu ikan (biasanya ikan keli), kemudian didihkan bersama kuah santan dan kencur di atas api.
Amie pula, lagilah menyimpang...hiks! Tak panggang! Tak goreng juga!
Terus lebur bersama dalam periuk!
Jom lihat resepinya di bawah ini.
Bahan-bahan:
1 ekor ikan susu seberat 700 gram - bersihkan dan kerat 6
3 cawan santan dari 1/2 biji kelapa (kisar air dengan kelapa parut)
1 keping asam gelugor
garam / gula / perasa pilihan
Bahan kisar / tumbuk:
20 biji cili padi hijau
5 butir isi kencur
3 cm kunyit hidup
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
5 helai daun kencur - hiris halus
Cara memasak:
1. Masukkan santan ke dalam periuk bersama asam keping dan bahan kisar. Kacau rata.
2. Kemudian masukkan ikan susu.
3. Masak di atas api sederhana.
4. Kacau selalu supaya tidak pecah santan.
5. Setelah kuah mendidih dan ikan susu masak, perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan.
6. Akhir sekali, masukkan hirisan daun kencur. Kacau sekali dua dan kemudian padamkan api dapur.
Beginilah hasilnya Ikan Susu Masak Lemak dengan Kencur. Sukanya kita makan bahagian perut ikan susu yang berlemak ni! Jom makan.
1 comments
I can see that you are a specialist at your field! I am propelling a site soon, and your data will be exceptionally valuable for me.. Explore photo and video images on Instagram, latest posts and popular posts about Pikdo
BalasPadam