Jom Cuba Resepi Acar Timun Sarawak!
9:48 PTG
Alkisahnya nak menyiapkan Acar Timun Sarawak ini.... ibarat kisah 2 hari satu malam!
Apa tidaknya, setelah bersoal jawab dengan Encik Google, rupanya ada kelainan dengan acar timun yang biasa kita buat semasa proses penyediaannya! Kebanyakan resepi yang Amie jumpa, timun dan lobak merah kena perap dulu selama beberapa jam dan kemudian dijemur pula di bawah panas matahari selama 1 hari. Satu lagi, katanya acar ini enak dimakan dengan keropok! Lagilah kita teruja nak mencubanya.... dengan rasa tak sabarnya!
Acar Timun Sarawak ini Amie buat semasa cuti sempena Hari Pekerja, cuti yang terus berlanjutan hingga cuti Hari wesak awal Mei lepas.
Setelah Amie perap timun dan lobak dengan cuka, Amie pun toskan. Kemudian Amie jemur di bawah panas matahari. Tiba-tiba mendung, dan hujan turun mencurah-curah. Amie sempat selamatkan timun dan lobak tadi, Amie letakkan di tingkap dapur betul-betul berhadapan dengan sinki. Sempat lagi Amie pesan supaya berhati-hati jangan sampai terlanggar bahan masakan Amie dengan Encik Suami dan anak-anak yang berlari berkejar ke belakang rumah untuk angkat kain di jemuran.
Menjelang petang, Amie cadang nak masak Acar Timun Sarawak yang diangan-angankan dari malam sebelumnya. Malangnya... timun dan lobak merah tidak ada di tingkap berhadapan sinki. Riuh rendah Amie di dapur.... mencari di merata tempat! Rupa-rupanya bila Encik Suami ke belakang dapur...habis bertaburan timun dan lobak merah di tepi longkang bawah tingkap dapur yang dijemur satu hari itu!
Uwaaaaa.... rasa nak menangis pun ada.... entah siapa yang terlanggar bekas timun itu! Kempunanlah nak makan Acar Timun Sarawak!
Esok pagi, entah angin dari laut mana yang meniup..... timbul semangat nak potong timun dan lobak sekali lagi. Amie perap dengan cuka, tapi Amie tak jemur lama seperti kelmarin! Amie jemur kejap saja... tak sampai satu jam!
Bahan-bahan:
300 gram timun - buang empulur - potong sepanjang 3cm
150 gram lobak merah - kupas kulit - potong sepanjang 3 cm
2 biji cli merah - buang biji - potong sepanjang 3 cm
2 biji cili hijau - buang biji - potong sepanjang 3cm
2 sudu makan udang kering - rendam hingga lembut
3 sudu makan cuka
3 sudu makan gula pasir
3 sudu makan minyak
1 sudu teh serbuk kunyit
1 sudu teh garam
1 sudu makan bijan - disangai
keropok secukupnya - yang sudah digoreng
Bahan kisar:
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
1 sudu makan udang kering
1 biji cili merah
5 biji cli padi
3 cm halia
3 biji buah keras
Cara:
1. Perap timun dan lobak merah bersama cuka selama 4 jam.
2. Toskan dan kemudian jemur di bawah panas matahari sehingga kering - sebaiknya selama 1 hari.
3. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar hingga terbit minyak.
4. Masukkan timun, lobak merah, cili merah dan hijau serta serbuk kunyit.
5. Gaul sebati dan kemudian perasakan dengan garam dan gula.
6. Angkat dan hidangkan.
7. Taburkan bijan di atasnya.
8. Enak dinikmati bersama keropok!
Memang benar... acar ini enak dinikmati bersama keropok! Mula-mula Encik Suami pandang saja Amie makan dengan keropok. Tapi lama-lama ikut pula makan sama! Lagi satu... rasanya rangup! Itu tak lama dijemur... kalau jemur lama tentu tambah rangup!
Amie sangka Acar Timun Sarawak ini akan mengambil masa yang beberapa hari untuk dihabiskan. Sangkaan Amie meleset.... sebab keesokan harinya ketika Amie ingin makan lagi dengan keropok.... hanya tinggal bekas minyak saja!
Eh! Dah dengar cerita kita ni... tak nak cuba ke? Makan dengan keropok tau... keropok yang merah, kuning, hijau tepi-tepinya tu...
4 comments
Makcik saya selalu masak ni. Tak perlu jemur pun sebenarnya. Masih sedap. Makcik saya tambah biji sawi dan kacang kisar. Bijan kena sangai dulu.. Sedappp!
BalasPadamShelis, ok ke tak jemur. Saya nak belajar buat ni. Ada gambar bagi
BalasPadamSaya buat tu waktu dulu2. Manade pic. Tak pernah jemur. Klu rasa malas nak jemur, tak pyh jemur. Bahan2 lain follow je resepi ni. Tapi terpulangla kalau nk try jemur. Apa cara sekalipun, belum cuba belum tahu.
BalasPadamSaya ingat lagi masa kecik2..sebulan sebelum musim perayaan, mak akan suruh kmi adik beradik hiris timun dan lobak dlm besen besar. Pastu keringkan dan masak guna kuali besar. Bila dah siap..mak akan agih2kan kepada sedara mara. Bukan setakat makan dengan keropok. Saya makan acar ni dgn nasi juga..hehe
BalasPadam