ADSENSE

Sabtu, 25 Mei 2013

Sup Ayam Daun Kemangi & Sayur Campur Goreng Taucu

Assalamualaikum.
Menu ringkas kami hari ini, Sup Ayam Daun Kemangi & Sayur Campur Goreng Taucu dan tak ketinggalan sambal kicap ABC perah jus limau kasturi! Kami tiga beranak saja yang makan termasuk Fuad dan Fairuz. Encik Suami sudah bersantap di majlis orang kahwin. 


Kalau anda sudah biasa dengan bau daun kemangi sudah tentu tidak ada masalah dengan aromanya. Amie suka bubuh beberapa tangkai dalam sup kerana baunya mampu meningkatkan selera.... haiyyaaa...janganlah menambahkan selera tambah nasi dalam pinggan pulak! Amir suka hirup supnya yang hangat-hangat panas wangi kemangi!



Resepi : Sup Ayam Daun Kemangi
Olahan : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
6 ketul daging ayam
1 batang jagung manis - potong 4
2 biji kentang - belah 2
1/2 batang lobak merah  - potong bulat
3 tangkai daun kemangi
1 inci halia - hiris
3 ulas bawang putih - hiris
1/2 labu bawang besar - hiris
1 batang kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
3 biji buah pelaga
1/2 sudu makan lada putih - tumbuk
1 liter air
serbuk Maggi Cukup Rasa

Cara:
1. Masukkan air dalam periuk.
2. Didihkan bersama semua bahan di atas kecuali lada putih, daun kemangi dan serbuk perasa Maggi.
3. Setelah daging ayam dan kesemua bahan yang lain masak, masukkan lada putih, serbuk Maggi Cukup Rasa dan akhir sekali daun kemangi.
4. Biarkan seketika dan kemudian tutup api dapur.



Selalunya kalau masak sayur campur kita bubuh sos tiram, tapi nampaknya stok sudah habis! Oleh kerana mata telah terpandang setengah botol taucu manis di dalam peti sejuk sewaktu mengumpul segala macam sayur campur, terfikir pula untuk tambahkan taucu dalam sayur! Rasanya pun okey... taklah masin sangat sampai tak boleh dimakan he he ehhh....

Resepi : Sayur Campur Goreng Taucu
Olahan : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
1 cawan potongan bunga kobis
12 biji kacang manis - potong 2
3 batang daun bawang  - potong sepanjang 3cm
1/2 batang lobak merah - potong kecil-kecil
1 genggam udang kering - rendam hingga kembang dan toskan airnya
3 ulas bawang putih - hiris
1/2 labu bawang besar - hiris
1 biji cili merah - hiris
2 sudu makan taucu manis
minyak
1 sudu teh serbuk Maggi Cukup Rasa

Cara:
1. Panaskan minyak dan tumis bawang putih, bawang merah serta udang kering hingga wangi.
2. Masukkan lobak merah dan kacau sebentar.
3. Masukkan bunga kobis dan kacau lagi. Jika inginkan sayur agak lembut, tambahkan sedikit air dan biarkan seketika.
4. Tambahkan taucu dan gaul sebati.
5. Akhir sekali masukkan kacang manis dan daun bawang. Kacau lagi.
6. Perasakan dengan serbuk Maggi Cukup Rasa.


Sambal Kicap ABC sebagai pelengkap hidangan.... nak cepat makan punya pasal, tumbuk cili pun kasae-kasar je,,,,  Tak kisahlah Kak Ton.....janji sedap!



3 ulasan:

adda syuhada berkata...

sedap tu k.Amie..nanti bleh cuba yg sup tu...

Cik Wan berkata...

tak pernah buat sup daun kemangi, tapi Cik Wan suka buat ulam mentah jer, pokok ni ada tanam dalam pasu, senang je..petik terus boleh dibuat ulam, fresh dari ladang hehehe.
Nanti boleh cuba buat sup pula.

mama sara nur berkata...

assalam k amie
sedapnya menu k.amie ni lengkap
mcm2