Bismillahirrahamanirrahim.
Apa khabar rakan-rakan maya?
Hari ini rakyat Sabah cuti sempena Pesta Keaamatan @ Menuai. Dapatlah luangkan masa ke dapur sediakan sarapan pagi. Encik Suami awal pagi tadi sudah keluar. Ada urusan kerja yang perlu diselesaikan. Jadi, Amie sarapan berdua sahajalah dengan Firdaus.
Amie goreng mi kering dengan telur. Celur dua keping saja mi kering. Itu pun sudah cukup banyak untuk kami berdua.
| Mi Kering Goreng dengan Telur |
| Kepingan mi kering |
Gambar dari entri lama. Inilah rupa mi kering yang terkenal di Sabah. Kena celur terlebih dahulu sebelum diolah. Banyak juga mi kuning yang dijual, tapi penduduk tempatan lebih meminati mi kering.
| Mi kering setelah dicelur dan ditoskan. |
Cara memasak mi kering ini sama saja seperti mi basah @ mi kuning.
Pelengkap hidangan mi kering goreng sudah tentulah ada air lada @ kicap lada. Kalau makan di kedai akan disajikan sekali dengan semangkuk kecil sup kosong.
Jemput sarapan pagi.
Bismillahirrahmanirrahim.
Kelmarin, sebaik sahaja Firdaus tamat mengikuti aktiviti perjumpaan kokurikulum, kami terus menuju ke Elopura (Sandakan). Oleh kerana tempat penginapan idaman banyak yang sudah penuh, kami pun bermalam sahaja di The Pavilion Hotel. Tak sedar pula, Pesta Kaamatan sedang diraikan! Patutlah sana sini hotel sudah penuh ditempah! Terfikir pula kesesakan jalan raya di tengah bandar, sebab kelmarin pun lebih 2 kilometer panjangnya kenderaan bersusun untuk keluar dari arah Sandakan ke simpang Batu 32.
Jadi, kami hanya menginap satu malam sahaja di Pavilion Hotel yang terletak di Batu 7, belum sampai ke bandar Sandakan. Selepas daftar keluar kami shopping buah-buahan dan terus balik ke Lahad Datu.
Tak sanggup rasanya berlama-lama di jalan raya, baiklah berehat sahaja di rumah sambil menonton televisyen atau membaca buku kegemaran. Isnin dan Selasa cuti perayaan. Dalam perjalanan pulang, singgah sebentar di Simpang Jeroco. Oleh kerana Firdaus nyenyak tidur, kami batalkan hasrat untuk makan coto makassar di warung. Kami beli bungkus sahaja untuk dibawa pulang. Encik Suami beli pisang goreng. Makanlah kami berdua di dalam kereta.
| Coto Makassar |
Banyak warung peniaga kecil di kiri kanan jalan di Simpang Jeroco. Kebanyaknnya menjual pulut panggang, goreng-gorengan, sayap ayam panggang, ayam masak palekko dan sebagainya. Kami beli:
- Coto Makassar
- Buras
- Pulut Panggang
- Ayam Masak Palekko
- Tongkeng Ayam Panggang
| Coto Makassar |
Sampai rumah sudah tentulah rasa letih. Tak payah masak, panaskan sahaja coto makassar. Firdaus pula sudah ada satu family set sushi yang dibeli di IJM Bandar Sandakan. Kenyanglah budak kecil itu makan sushi.
| Semangkuk coto makassar lengkap dengan buras untuk dinikmati. |
Bismillahirrahmanirrahim.
Mengimbas kembali beraya bersama gang kaki jalan pada hari Sabtu, 14 Mei 2022 di Felda Anjung Teduh. Destinasinya sudah tentulah ke rumah salah seorang gang kaki jalan, iaitu Jusna. Perjalanan memakan masa selama dua jam dari bandar Lahad Datu. Kami singgah di gerai ikan di kawasan Membatu. Tidak banyak ikan yang ada di situ. Dapatlah beli udang dan dua jenis ikan. Selepas beraya di rumah Jusna nanti, kami akan teruskan perjalanan ke Tanjung Labian. Jadi, sempatlah bersihkan ikan dan udang serta perap sayap ayam di rumah Jusna untuk dipanggang pada sebelah malam.
Jarak di antara Lahad Datu ke Felda Anjung Teduh lebih kurang 100 kilometer. Kami bergerak dari Lahad Datu lebih kurang pada pukul 11 pagi dan sampai ke rumah Jusna sekitar pukul 1 tengahari.
| Rumah keluarga Jusna. |
Nano memandu keretanya sementara Amie dan Sue jadi penumpang.
Kavvy memandu di belakang kami membawa Sinar, Misa dan Gee.
| Puding Karamel |
Macam-macam juadah yang disediakan untuk menjamu kami. Semuanya sedap belaka.
Yang ini tak tahu apa namanya, tapi rasanya sangat sedap dan manis berlemak.
| Puding Marble |
| Tapai Pulut. |
| Tembikai |
| Acar timun & nanas. |
| Rendang Daging |
| Kurma Ayam |
| Nassu Liku @ Ayam Masak Lengkuas |
| Pegedil Jagung |
| Sup Jagung |
Menyantaplah kami sepuas-puasnya dengan pelbagai juadah yang sudah tersedia.
Selain membeli ikan dan udang untuk dibawa ke Tanjung Labian, Sue sempat beli latok. Jadi, bertambah-tambahlah nasi masuk pinggan apabila bertemu latok dan ikan basung goreng!
Kami lepak santai di rumah Jusna.
Selepas kekenyangan, menyandarkan badan di tiang pula. Tuan rumah (Jusna) di sebelah kanan kita.
Sementara menunggu kawan-kawan menunaikan solat dan memerap udang serta ayam, kita jalan-jalan melihat persekitaran. Teruja sangat melihat pokok kantan dengan bunganya yang lebat timbul dari celah-celahnya.
| Pokok kantan berbunga lebat. |
Di sekeliling pokok dan di celah batang bahagian dalam dipenuhi dengan bunga kantan!
| Pokok lada hitam. |
Amie pun agak lama juga tidak melihat buah lada yang begini lebat! Buah lada ini belum masak. Kalau sudah masak akan berwarna merah. Dulu sewaktu arwah MIL masih ada, Amie selalu bantu MIL petik buah lada yang masak. Setelah direndam dan tanggal kulit lada, MIL akam jemur. Jadilah lada putih. Lada hitam pula daripada pokok yang sama yang sudah matang tetapi belum masak. Ia hanya perlu dijemur dan tidak melalui proses rendaman seperti lada putih.
Kesimpulannya lada hitam dan lada putih berasal dari pokok yang sama.
Leka sekali kita melihat kawasan kediaman keluarga Jusna. Macam-macam tanaman seperti pokok kedondong.
Jusna selalu bawakan kami buah belimbing buluh, bunga kantan dan limau kasturi. Rupanya memang pokok-pokok tersebut ada di sekeliling rumahnya!
Sekarang pokok belimbing buluh sedang mengeluarkan bunga.
Pokok limau purutnya pula lebat berbuah!
Memang subur sangat tanah di Felda Anjung Teduh ini.
Buah limau kasturi tidak terkira banyaknya.
Misa dan Sinar petik untuk dibawa ke Tanjung Labian. Bolehlah dibuat cecahan makan dengan sayap dan udang panggang.
| Limau Kasturi. |
Menjelang pukul 3 petang, kami meninggalkan Anjung Teduh dan memandu arah ke Tanjung Labian.
Jalannya cantik, dan kiri kanan dipenuhi kehijauan!
Bismillahirrahmanirrahim.
Masih lagi di bulan Syawal, mood raya belum hilang. Masih teringat-ingat dan terkenang-kenang gelagat Fuad dan Fairuz ketika bersama-sama menyambut raya. Paha hari raya keenam, keluarga Encik Suami mengadakan sambutan hari raya keluarga. Masing-masing perlu membawa juadah untuk dinikmati bersama. Kami membawa Udang Nestum dan Small Shell Pasta Salad.
| Udang Nestum |
Amie minta tolong Fuad sediakan bahan-bahan untuk udang nestum. Amie bersihkan lebih kurang 3 kg udang kertas saiz besar. Buang misai dan tarik urat belakangnya.
Setelah udang dibilas dan ditoskan, taburkan sedikit garam dan gaul. Kemudian salut dengan tepung jagung.
Goreng udang hingga masak. Ankat dan toskan.
Inilah udang kertas salut tepung jagung yang sudah digoreng.
Biasanya mentega digunakan untuk menggoreng bahan perencah, tapi Amie suruh Fuad gunakan minyak sapi sebab tak ada mentega.
Amie minta Fuad cincangkan 5 labu bawang putih. Fuad gunakan chopper. Jadi, cantiklah hasil kejadiannya.
Cili padi dan cili hijau pun Fuad yang potong. Kita suruh hiris nipis. Tengoklah nanti hasil kejadiannya di bawah.
Amie suruh Encik Suami beli daun kari di pasar, tapi kata Encik Suami banyak daun kari di kampung. Katanya nanti ambil saja sewaktu dia singgah di rumah adiknya. Sampai ke rumah, yang dibawa pucuk daun kari yang masih muda. Malas nak kata apa. Sabar sajalah.
Oh, berbalik kepada masakan udang nestum tadi. Amie suruh Fuad cairkan minyak sapi dalam kuali hingga panas dan masukkan pula bawang putih cincang. Setelah bawang putih mula kekuningan, masukkan pula daun kari diikuti dengan nestum.
Nestum ini pun dua kali beli. Minta Fairuz beli nestum original, yang dibawa pulang nestum 3 in 1. Sekali lagi kena bawa banyak bersabar! Ada saja yang tak kena. Terpaksalah pergi kedai lagi dan beli yang original. Amie pun tidaklah ikut sukatan yang standard. Semuanya main campak saja dalam kuali. Apabila Fuad tanya, Amie kata masukkan sajalah satu paket nestum 240gram itu. Banyak jugalah udang goreng 3 kilogram hendak digaul dengan nestum. Setelah bubuh hirisan cili, serbuk perasa dan gula, dan digaul sekali lagi, Fuad pun merasalah serdak nestum tadi. Katanya: Sedapnya! Memang sedap! Saki-baki nestum itu bila gaul dengan nasi panas, nikmat sungguh apalagi dengan aroma minyak sapinya itu.
Dua bekas berisi Udang Nestum dibawa ke kampung untuk juadah hari raya terbuka keluarga.



