Ini entri terakhir jalan-jalan ke pulau. Lepas ini entah bila lagi boleh berjalan. Semua rancangan yang diatur sepanjang tahun ini memang 90% tidak tercapai. Hanya menaruh satu harapan sahaja. Mudah-mudahan hujung tahun 2020, dapat menyeberang Laut China Selatan. Nak balik kampung. Nak jumpa Bonda dan sanak saudara!
| Pintu gerbang Sibuan Island, sebuah pulau kecil yang terbina dari karang. |
Ramailah pula pengunjung datang ke Pulau Sibuan. 2016 Amie pernah datang ke sini. Tak banyak orang. Pulau nampak sunyi dan sepi. Keliling pulau kami jelajahi untuk menikmati keindahan pemandangannya serta pasir pantainya yang putih halus dan lembut!
| Kawalan keselamatan tetap diutamakan. |
| Oleh kerana pantai dipenuhi pengunjung jadi terpaksalah ambil gambar dengan orang-orangnya sekali... ahaks! |
Nasib baiklah ada sarang undur-undur di bawah kolong ini. Kami pun bercerita kenangan zaman kanak-kanak memancing undur-undur gunakan benang! Kawan kata, mereka pancing gunakan bulu ayam!
Agaknya kalau pancing undur-undur sambil menunggu giliran ambil suhu, dapat berapa puluh ekor agaknya ye? Panas, dan bosan berakhir juga apabila kami selesai daftar masuk pulau.
| Kami mencari teduhan pokok untuk merehatkan diri. Panas sungguh! |
| Semakin banyak pula bot membawa penumpang menghampiri pulau. |
| Mungkin mereka datang untuk kibarkan Jalur Gemilang. |
| Dah jumpa pokok rimbun, kami pun membahagi-bahagikan bekalan. |
| Bekalan makan tengahari ini memang termasuk dalam pakej perjalanan kami. |
| Nasi dengan lauk dan sayur serta sebotol air mineral. Kalau nak minum air kelapa boleh beli daripada anak-anak Palauh di sini. |
| Sambung makan isi kelapa muda di dalam bot! |
Ketika bot bergerak meninggalkan Pulau Sibuan yang semakin dipenuhi ramai pengunjung, Amie terlelap seketika! Mimpi kembali semula pada tahun 2016 ketika pertama kali jejak kaki ke pulau yang cantikdan bersih ini. Hari ini pulau nampak berbeza, banyak sampah pula! Gambar atas dan 3 gambar di bawah, pemandangan pantai Pulau Sibuan pada tahun 2016.
Amie terjaga ketika terdengar suara Kavvy mengatakan ada tongkang bawa kayu balak. Sempat rakam gambar kayu balak naik tongkang di laut Semporna. Tongkang dengan muatan kayu balak itu dari mana nak ke mana?
Nun di sana!
Awan kelabu kehitam-hitaman dan hujan mulai turun.
| Air hujan tempias turun di tempat kami tapi hanya tumpang lalu sahaja. |
| Ini rumah perahu keluarga Bajau Laut atau Palauh. |
| Dah sampai jeti! Alhamdulillah. |
| Terima kasih buat dua orang adik yang jadi guide kami sepanjang hari ini. |
| Selamat tinggal Laut Semporna. |
Tiba di jeti, kami terus mandi, menukar pakaian dan solat di surau. Dalam perjalanan pulang ke Lahad Datu, kami singgah sebentar di McDonalds untuk membeli oleh-oleh buat keluarga. Sekian. Terima kasih sudi membaca.




