Bismillahirrahmanirrahim.
Setelah kekenyangan makan pengat pisang, ubi kayu rebus cicah sambal tomato dan kuih raja musa cicah sambal telur, anak buah dan kakak ipar ajak kami jalan-jalan ke tepi laut Payang. Oleh kerana hari hampir menjelang senja, jadi tidaklah kami berada lama di sini. Rupa-rupanya anak-anak buah yang lain semenjak petang berada di sini untuk memancing!
| Matahari sudah bersedia masuk ke tempat peraduannya. |
| Ikan Kerapu |
| Anak buah dengan hasil pancingannya. |
| Firdaus dan cucu-cucu buah yang kecil mandi di kolam renang. |
Jom jalan-jalan di sekitar sambil menikmati panorama senja di pinggir laut.
Jika ingin minum atau makan, boleh pesan di Sabah Kertang Payang Restoran.
Bismillahirrahmanirrahim.
30 September 2023 merupakan hari ulang tahun Abang Farid yang ke-28!
Rasanya seperti kelmarin melihat arwah nendanya mendukung Abang Farid keluar dari hospital dan dibawa pulang ke kampung! Masih terkenang rasa ajaib melihat tubuh kecil seberat 2.75kg, dengan mata bulat bersinar merenung mata kita! Dan itulah, permata hati sulung yang lahir setelah melalui saat getir alahan ketika usia kehamilan mencecah bulan kedua, dan kita seperti kain buruk tidak bermaya selama tiga bulan lamanya. Alhamdulillah, kelahirannya sangat dipermudahkan.
| Peppermint Chocolate Cake |
Petang kelmarin Encik Suami ajak ke kampung untuk minum petang bersama keluarganya. Katanya, bawalah kek ulang tahun Abang Farid ke kampung. Kita pun sediakanlah apa yang ada untuk dijadikan juadah minum petang. Sempat masak pengat pisang ditambah butiran candil, jagung krim dan sagu biji. Ada ubi kayu, Amie rebus dan bawa juga ke kampung dan tidak lupa sambal tomatonya sekali.
| Sambal Tomato & Ubi Kayu Rebus |
| Pengat Pisang & Candil |
| Kuih Raja Musa & Sambal Telur |
Di kampung, banyak kuih-muih tersedia seperti kuih terang bulan, apam pisang, kuih raja musa dan juga minuman teh panas.
Encik Suami membuat video call dengan Abang Farid, Fuad dan Fairuz. Seperti sebelumnya, Firdaus tukang tiup lilin dan potong kek, sambil anak-anak buah menyanyi beramai-ramai.
Buat Abang Farid, semoga sentiasa sihat, hidup rukun damai bersama isteri kesayangan dan terus bersemangat untuk meneruskan kerja-kerja penyelidikan Ph.Dnya. In syaa Allah.
Bismillahirrahmanirrahim.
September lepas, jalan-jalan ke dapur BLOGGER MRENEYOO. Terpaut selera melihat olahan Sambel Kentang Pete & Oseng Pare.
Teringat-ingat hasil air tangan Ibu Mreneyoo. Hari ini ada kesempatan masak hidangan tengah hari di dapur. Jadi, Amie pun kumpulkan bahan masakan, dan terhidanglah olahan Sambal Kentang Campur Petai dan Peria. Di dapur Ibu Mreneyoo terbahagi kepada dua jenis masakan iaitu Sambel Kentang Pete dan Oseng Pare. Amie pula satukan semua bahan, dan masak sekali harung.
Untuk resipi original, bolehlah berkunjung ke dapur Ibu Mreneyoo di sini: Sambel Kentang Pete & Oseng Pare
Masakan dari dapur Ibu Mreneyoo kaya dengan bahan perencah. Aromanya sangat menggugah selera yang terbit dari bau bawang, serai, halia, lengkuas, daun limau purut dan belacan. Cumanya, Amie tidak ada daun salam sebab di LDU memang jarang sangat jumpa orang jual daun tersebut.
| Sambal Kentang Campur Petai dan Peria |
| Amie gunakan lima biji peria katak saiz kecil. Encik Suami suka rasa pahit peria, jadi Amie tidaklah ramas dengan garam dan perah air peria. |
| Amie panggang ikan bolu, gunakan daun pisang. Jadi hasilnya tidaklah kering dan nampak berjus. |
| Masak Lodeh Pucuk Ubi |
| Hidangan Makan Tengah Hari |
| Sambal Kentang Campur Petai dan Peria |
Terima kasih Ibu Mreneyoo yang berkongsi resipi. Mohon maaf sebab ubahsuai olahannya. Tapi memang rasanya sangat sedap. Firdaus ikut makan tapi hanya ambil kentangnya sahaja. Encik Suami nampak berselera sehingga menambah ke dalam pinggan nasinya berkali-kali. Amie pula, untuk rasa lebih puas, terus-terusan meratah begitu sahaja!
Bismillahirrahmanirrahim.
Selamat berhujung minggu semua. Macam malas hendak ke dapur sediakan sarapan. Maklumlah cuaca sejuk, dan semalam hujan.
Kita jamu mata dengan Lontong Kuah Lodeh & Buras Pulut Makan dengan rendang Rusa sajalah. Gambar ini sudah lama berada dalam galeri dan rasa sayang pula untuk buang. Abadikanlah di sini, sekurang-kurangnya ada masakan Jawa dalam koleksi.
Nama lontong yang penuh kontroversi ini sebenarnya Amie gunakan ketupat segera. Tak pandai buat lontong yang gunakan daun pisang itu. Kalau lontong sebenar memang sedap dan wangi.
| Lontong Kuah Lodeh |
| Ketupat sSegera dan Buras Pulut. |
| Buras Pulut & Rendang Rusa |
Cepatnya masa berlalu.
Hari ini sudah beralih dari bulan September ke bulan baharu.
Selamat datang Oktober!