Selamat petang rakan-rakan pengunjung yang dihargai.
Cuaca mendung, langit nampak kelam dari tengahari. Nak ambil gambar masakan pun, tentu hasilnya nampak suram tak bermaya.
Tak apalah, lupakan dulu tentang resepi. Apa kata kita kongsi info hasil bacaan Amie tentang ikan dan makanan laut, hasil tulisan Carol Selva Rajah.
Berdasarkan kajian pemakanan, daripada Rosemary Stanton, Konsultan Pemakanan dan Penguatkuasa Pemasaran Ikan New Saouth Wales:
- Semua ikan dan makanan laut mempunyai kandungan protein yang tinggi.
- Semua ikan dan makanan laut rendah kandungan lemak tepu (dari 27 kajian yang dilakuka, purata kandungan lemak adalah 2%).
- Semua ikan dan makanan laut membekalkan lemak poli tidak tepu, termasuk Omega 3.
- Semua ikan dan makanan laut mempunyai kilojoule yang rendah ( dari 27 kajian yang dilakukan, purata K yang dikira adalah 415 kalori bagi setiap 100g).
- Semua ikan mempunyai kolestrol yang rendah (purata kolestrol paling rendah dari 27 jenis ikan ialah 61 mg/100; 68 mg/100 bagi ketam dan 190 mg/100 bagi udang masak).
- Semua ikan dan makanan laut adalah sumber iodin yang baik, zat galian yang mengawal kelenjar tiroid.
- Tiram dan lala mempunyai paras kandungan zat besi yang sangat tinggi - lebih tinggi daripada daging merah (zat besi perlu untuk pembentukan sel darah merah).
- Ikan adalah sumber niacin yang baik, iaitu vitamin B yang diperlukan untuk kulit yang sihat dan membebaskan tenaga di dalam badan.
- Makanan laut adalah sumber vitamin B12 yang baik, yang berkurangan dalam diet vegetarian.
- Makanan laut juga membekalkan tiamin (vitamin B1) dan vitamin B yang lain.
Selamat berhujung minggu teman-teman.
Alhamdulillah, jerebu sudh berlalu pergi. Matahari kembali bersinar terang seperti hari-hari sebelumnya.
Jom main masak-masak lagi....
Hari ini Amie masak udang.... Udang Goreng Jintan.
Amie goreng 1/2 kg udang kertas. Sedap pula rasanya bila tergigit jintan manis ketika menikmatinya! Maklum... jintan manis kasar, bukannya serbuk! Barulah ada 'rasa'! Nak lebih 'terasa' tambahkan hirisan daun ketumbar pula.
1/2 kh udang kertas - potong bahagian kepala - belah belakang dan tarik urat udang
1 sudu kecil jintan manis kasar
1 sudu kecil serbuk kari
1 sudu besar hirisan daun ketumbar
1 sudu besar tepung gandum
2 sudu besar tepung jagung
1/2 sudu kecil garam
1/2 sudu kecil gula
minyak
Bahan tumbuk:
2 cm halia
3 ulas bawang putih
1/2 sudu kecil lada putih
Cara:
1. Buangkan air basuhan udang. Buangkan air dan biarkan udang kelihatan basah.
2. Gaul udang dengan bahan tumbuk, serbuk kari, jintan manis, hirisan daun ketumbar, garam dan gula.
3. Taburkan tepung gandum dan tepung jagung dan kemudian balik-balikkan udang supaya dilumuri bahan-bahan tadi.
4. Panaskan minyak dan goreng udang hingga masak.
5. Sedia untuk dihidangkan.
Jom ratah....
Banyak kali juga Amie olah ayam masak lemak cili padi, tapi hanya sekali rasanya Amie kongsikan di dapur maya ini. Boleh klik DI SINI untuk resepi yang lalu.
Kali ini Amie kongsikan lagi Ayam Masak Lemak Cili Padi, tapi Amie tambahkan labu kundur pula. Apa sebab Amie masukkan labu kundur? Sebab sebelum ini kalau Amie renih sup ayam dengan labu kundur, timbul aroma yang lembut dan enak dari masakan sup tadi. Begitu juga, ketika Amie masak Manuk Ballahan Lahad (Amie akan kongsikan resepi masyarakat Bajau ini kemudian), aroma masakannya pun cukup menyelerakan!
Resepi Ayam Masak Lemak Cili Padi sebelum ini Amie tak bubuh bawang putih atau bawang merah. Kali ini Amie masukkan....., saja nak ubah selera. Tapi tetap guna kunyit hidup. Kalau nak sedap, gunakanlah santan kelapa asli, bukannya santan kotak. Apa pun pilihan di tangan anda. Ikut selera dan senang masing-masing.
Bahan-bahan:1 kg ayam - potong 10 bahagian
3 cawan santan cair
1 cawan santan pekat
1 kg labu kundur - buang kulit dan potong dadu
3 batang serai - diketuk
2 keping asam gelugur
garam / perasa pilihan secukupnya
Bahan tumbuk / kisar:
5 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
25 biji cili padi hijau dan merah - boleh kurangkan jika tidak suka pedas
2 cm halia
3 cm kunyit hidup
Cara:
1. Jerang santan cair di dalam periuk bersama bahan tumbuk / kisar, serai. Biarkan mendidih.
2. Masukkan ayam, bersama labu kundur. Masak sehingga labu kundur menjadi lembut.
3. Tambahkan santan pekat, dan masukkan asam keping, garam / perasa pilihan.
4. Masak sehingga ayam empuk.
Sesekali cuba kita sediakan tom yam menggunakan perencah asli buatan sendiri. Tentu ada kelainan dari segi rasaya. Kali ini Amie tidak gunakan sebarang bahan dari laut, sebaliknya Amie gunakan daging dan ayam. Apa yang penting di sini ialah tentang keenakan rasa kuahnya hasil perencah asli yang digunakan itu.
Cukup lengkap, cukup rasa!
Bahan-bahan pes tom yam:
7 biji bawang merah
3 biji cili merah
7 biji cili kering
2 batang serai
2 cm lengkuas
1 sudu besar udang kering
2 cm belacan bakar
3 helai daun purut - buang urat belakangnya
garam dan gula secukupnya
1 sudu besar pati asam jawa - bancuh dengan 3/4 cawan air
2 sudu besar minyak
Cara:
1. Kisar kesemua bahan di atas kecuali garam, gula, pati asam jawa dan minyak.
2. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar hingga pecah minyak.
3. Tambahkan air asam jawa, garam dan gula secukupnya.
4. Biarkan perencah masak sehingga menjadi pes.
Bahan untuk sup tom yam:
1/2 kg ayam - potong ikut citarasa
300 gram daging - hiris nipis
3 sudu besar pes tom yam
4 biji tomato masak ranum - dikisar
1 labu bawang besar - mayang kasar
1 batang lobak merah - kupas kulit dan potong bulat
3 ulas bawang putih - diketuk
3 batang serai - diketuk
2 cm lengkuas - diketuk
12 biji cili padi - diketuk
1 sudu besar sos ikan
5 helai daun limau purut
1 pokok ketumbar - hiris
3 biji limau nipis - ambil jusnya
1.5 liter air
Tambahan: hirisan sayur kegemaran seperti brokoli, putik jagung, bunga kobis, tomato dan sebagainya.
Cara:
1. Jerang air di dalam periuk.
2. Masukkan hirisan daging bersama ayam. Masak hingga mendidih.
3. Tambahkan pes tom yam, serai, lengkuas, cili padi, bawang besar dan lobak merah.
4. Setelah daging empuk, masukkan segala sayur pilihan, daun limau purut, sos ikan dan juga jus limau nipis.
5. Sekiranya suka pedas dan masam, tambahkan cili padi dan jus limau nipis lagi.
6. Padamkan api dapur.
7. Taburkan hirisan daun ketumbar ketika menghidang.
8. Enak dinikmati ketika masih panas!
Amie suka hirup tom yam waktu tengahari! Panas... pedas! Peluh pun mengalir .... sihat!