Rusa Masak Kari
8:17 PTG
Assalamualaikum.
Belum terlambat rasanya untuk ucapkan selamat berpuasa buat semua.
Nampaknya Ramadhan kali ini dapur maya Amie pun ikut berpuasa sama.
Heheheee.... Memang masak setiap petang untuk hidangan berbuka puasa tapi tak ambil gambar untuk dikongsi. Maklumlah, masuk dapur pun lebih kurang satu jam lebih sebelum berbuka. Siap masak, azan pun kedengaran. Terus hidang atas meja, dan berbuka puasa.
Biasanya Encik Suami suka beli kuih muih, jadi Amie pun sediakan sajalah makanan lain yang ringkas seperti mee hoon sup, mee goreng atau masak nasi saja.
Hari ini agak awal sedikit masuk ke dapur dan sudah tentulah hidangan juga dapat disajikan lebih awal. Memandangkan seperti biasa menjelang petang, akan ada dua tiga jenis kuih di atas meja, jadi Amie hanya masak nasi dan lauk sahaja. Kali ini Amie masak kari rusa.
Kelmarin Encik Suami bawa pulang tulang rusuk rusa yang belum dipotong. Sebelum kembali ke tempat kerjanya tengahari tadi, Encik Suami tolong potongkan tulang rusuk tersebut. Banyak juga isi atau daging yang terlekat. Amie ambil 1.2kg, dan selebihnya Amie simpan dalam peti sejuk. Esok lusa mungkin boleh diolah menjadi sup tulang rusuk rusa pula.
Jom, buka puasa.
Amie gandingkan Rusa Masak Kari bersama acar timun dan sambal mangga.
1.2 kg tulang rusuk rusa
3 biji kentang sederhana besar - kupas kulit dan belah 4
1 biji limau nipis - ambil jusnya
4 sudu besar serbuk rempah kari 888
4 sudu besar minyak
1.8 santan cair
300 ml santan pekat
garam / gula / perasa pilihan
Bahan tumis:
1 batang kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
3 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga
2 ulas bawang putih - hiis
1 labu bawang besar - hiris
3 pelepah daun kari - lurutkan
Bahan kisar:
20 tangkai cili kering
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
2 cm halia
Cara:
1. Gaul rempah kari bersama bahan kisar hingga menjadi pes. Ketepikan.
2. Panaskan minyak dan tumis bahan penumis hingga wangi.
3. Masukkan pes / bancuhan rempah kari dan masak dengan api sederhana. Kacau selalu supaya tidak hangus. Tambahkan sedikit air jika terlalu kering.
4. Setelah bahan tumisan terbit minyak, masukkan tulang rusuk rusa dan kacau rata sehingga berubah warna atau menjadi kecut.
5. Tambahkan santan cair dan masak sehingga daging / tulang rusuk lembut.
6. Masukkan kentang dan tambahkan santan pekat.
7. Perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan secukupnya.
8. Akhir sekali tuangkan jus limau nipis. Kacau beberapa kali dan padamkan api dapur.
Bila digandingkan Rusa Masak Kari dengan acar timun, sudah tentulah aromanya sungguh menggamit selera! Acar timun itu pula Amie buat ikut gaya orang kampung kami. Bubuh udang kering dan tambah cili padi! Kalau nak pedas, picit-picit saja cili padi tu...hiks!
Alhamdulillah.
2 comments
Wah kat sana senang ke dapat daging rusa. Dalam species yang sama antara Napuh, rusa dan kancil apa beza rasanya.
BalasPadamOh kalau masak kari last bubuh air limau ke. Tak pernah pulak saya cuba. Apa beza rasanya.
Kari cap 888 tu kari buatan sabah ke?
Notie,
BalasPadamSesekali saja dapat makan rusa, tak banyak dah rusa di sini.
Jus limau nipis tu style keluarga sebelah suami masak kari.
Kari 888 bukan buatan Sabah, rempah ni ada sebelum saya lahir lagi di Malaya he he heee.