Asam Pedas Ikan Pari
3:01 PTG
"Mommy masak ikankah?"
"Mommy tengah masak ikanlah ni."
Dulu, pertanyaan yang sama setiap kali muncul di pintu dapur: Mommy masak apa?
Sekarang, pertanyaannya sentiasa meminta kepastian agar Amie masak ikan untuknya setiap kali pulang bercuti!
Untuk tidak menghampakannya, Amie usahakan juga untuk menyediakan masakan Asam Pedas Ikan Pari seadanya. Nampaknya daun kesum yang Amie simpan daam peti sejuk sudah 'hilang' entah ke mana. Yang ada 4 biji tomato, 4 batang serai dan beberapa biji kacang bendi selain serba sedikit sayur-sayuran hijau. Tidak ada daun kesum atau bunga kantan, tidak bermakna tidak boleh masak asam pedas. Gantikan sahaja dengan daun limau purut yang akan mengeluarkan aroma yang tidak kurang menggamit selera!
Sebenarnya Encik Suami beli ikan pari dua hari lepas. Ada tiga keping semuanya, seberat 1.5 kg. Kata Encik Suami, eloklah panggang ikan pari, tuangkan kuah santan pekat bersama kencur seperti yang Amie selalu buat. Oleh kerana Encik Suami tidak pulang tengahari ini, jadi Amie tinggalkan ikan pari sepotong dan dua potong lagi Amie masak asam pedas. Pada hari yang lain nanti Amie akan panggang ikan pari kuah pecak untuk Encik Suami.
Selain Asam Pedas Ikan Pari sebagai lauk utama, Amie lengkapkan hidangan tengahari kami dengan hirisan timun dan juga telur masin. Sudah siap masak lebih kurang pukul 12 tengahari, Amie panggil anak-anak makan. Alhamdulillah. Fuad nampak begitu berselera menikmati makan tengahari walaupun tanpa kehadiran Encik Suami di meja makan.
Lepas sepotong ikan, diambilnya sepotong lagi bersama kuahnya ke dalam pinggan nasi.
Pukul 2:30 petang Encik Suami pulang.
Bila Amie tanya, Encik Suami kata sudah makan bersama rakannya di tempat orang kahwin (rupanya dapat jemputan secara tiba-tiba).
Fuad terus bertanya : Bolehkah saya makan lagi?
Jawab Encik Suami : Makanlah nak.
Bukan main suka anak bujang yang satu ini. Terus meluru ke dapur buka tudung saji! Biarlah Fuad makan ikan sepuas-puasnya, kata Encik Suami.
Jom, lihat resepi Asam Pedas Ikan Pari di bawah ini.
Bahan-bahan:
1 kg ikan pari - bersihkan - potong ikut saiz yang disukai
10 biji kacang bendi - buang tampuk dan potong bahagian ekor
4 biji tomato - belah 2
7 helai daun limau purut - buang urat tengah
3 batang serai - diketuk
2 keping asam gelugor
1 liter air
1/2 cawan minyak
garam / gula / perasa pilihan
Bahan kisar:
30 tangkai cili kering
5 ulas bawang putih
7 biji bawang merah
1 sudu kecil belacan
2 cm halia
2 cm kunyit hidup
1 sudu kecil lada hitam
Cara:
1. Panaskan minyak dalam kuali. Tumis bahan kisar sehingga terbit minyak.
2. Masukkan serai dan asam gelugur dan tambahkan air. Biarkan mendidih selama 10-15 minit. Lebih lama di atas api, kuah akan menjadi sedikit pekat.
3. Masukkan ikan dan kacang bendi. Biarkan sehingga ikan menjadi lembut.
4. Perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan secukupnya.
5. Akhir sekali masukkan tomato dan daun limau purut. Perlahan api dapur selama 3 minit sebelum dipadamkan.
0 comments