Peria Tumis Pedas Dengan Udang
9:13 PTG
Hurrrmmm....
Ada kalanya dapur maya ini sepi, hanya sesekali muncul membuka dan menutup tudung saji! Ada waktunya, tak henti-henti kemas kini dengan paparan resipi hari-hari. Kesibukan yang melanda, menyebabkan tuan dapur tidak sempat untuk berlama-lama di dapur, apalagi di dapur maya. Aktiviti memasak memang dilakukan setiap hari, tapi untuk merakam sebaik mungkin nampaknya jauh panggang dari api! Memikirkan keadaan begini akan berlarutan dan lama-kelamaan akan timbul angin malas, ambil jugalah beberapa keping gambar. Yang penting, asalkan ada rupa masakan....hiks! Namun begitu, tidak sempat pula untuk dipindahkan ke folder, dan seterusnya untuk proses edit. Akhirnya, banyaklah gambar masakan yang 'dilupakan ' begitu sahaja, sebab dah 'lupa' ceritanya!
Jadi, sementara belum lupa 'ceritanya' dan angin rajin sedang bertiup sepoi-sepoi bahasa, eloklah teruskan paparan resipi berikutnya iaitu Peria Tumis Pedas Dengan Udang.
Hidangan tengahari kami, Amie sempat sediakan Peria Tumis Pedas Dengan Udang. Amie tambahkan cili padi hijau dalam perencah. Bukan cili padi kampung, tapi cili padi minyak yang masih hijau. Walaupun tak seberapa pedas menyengat seperti cili padi kampung, pedasnya masih terasa juga! Perianya pula, Amie tidak ramas dengan garam, sebaliknya biarkan begitu saja, untuk kekalkan khasiat di sebalik rasa pahitnya. Tapi, tak pahit manapun! Fairuz pula yang suka makan! Orang kata dengan adanya telur, boleh kurangkan rasa pahit peria. Betul ke? Entahlah.
Bahan-bahan:
1 biji peria - 500 gram - belah dua - buang biji dan empulur - hiris nipis
15 ekor udang kertas - buang kepala dan kulit serta uratnya
1 labu bawang besar - mayang kasar
2 biji telur
3 sudu besar minyak
1 sudu kecil perencah Maggi Cukup Rasa
Bahan kisar:
2 sudu besar udang kering - rendam hingga lembut - kalau tak mahu guna udang kering, boleh gantikan dengan belacan
3 ulas bawang putih
3 biji bawang merah
30 biji cili padi minyak hijau
Cara memasak:
1. Panaskan minyak dan goreng bawang besar hingga layu dan kemudian masukkan bahan kisar. Tumis hingga pecah minyak.
2. Masukkan udang dan masak hingga udang berubah warna.
3. Kemudian masukkan peria. Gaul rata dan biarkan sehingga peria menjadi layu dan lembut.
4. Perasakan dengan perencah Maggi Cukup Rasa - jika tidak cukup boleh tambah. (Amie gunakan satu sudu kecil sebab sudah ada rasa masin udang kering).
5. Kacau sekali dua dan padamkan api dapur.
Di mana sedapnya?
Entahlah...tapi memang sedap...hiks!
0 comments