ADSENSE

Jumaat, 17 Februari 2017

Kuih Pasung

Setiap kali menjelang malam tujuh likur atau 27 Ramadhan.... Encik Suami pulang dari solat terawih menjinjing satu bekas berisi kuih pasung! Penduduk kampung akan membawa kuih pasung dan bertukar-tukar sesama mereka selepas selesai solat terawih di masjid. Semakin lama Amie lihat dari tahun ke tahun, nampak semakin comel pula kuih pasung tersebut! Saiznya lebih kecil, dan ada pelbagai warna.

Inilah rupa Kuih Pasung, kuih tradisi yang wajib muncul sekali dalam setahun dalam masyarakat Melayu Cocos. Bahan wajib yang digunakan dalam adunan ialah tepung gandum, sagu biji, gula dan santan.

Nampak tak sagu bijinya? Untuk memastikan kuih ini masak sempurna, sagu biji mesti kelihatan jernih.
Jom kita lihat resepinya di bawah ini. Amie selama ini hanya tahu makan saja, tapi Amie ambil kesempatan belajar membuat kuih ini dengan kakak ipar. Sukatannya pun hanya agak-agak sahaja, namun begitu Amie cuba terjemahkan dalam bentuk sukatan yang boleh diukur.

Bahan-bahan:
500 gram tepung gandum
250 gram sagu biji - rendam hingga kembang dan toskan
300 gram gula
400 ml santan pekat
400 ml air
1 sudu kecil garam
pewarna merah, kuning, hijau dan ungu secukupnya

Bahan tambahan:
daun pisang
lidi penyemat
periuk pengukus
10 helai daun pandan

1. Bentukkan daun pisang seperti kon dan sematkan lidi di tepinya. Potong lebihan daun di bahagian atasnya supaya nampak lebih kemas.

 2. Satukan gula, tepung gandum, santan, air, garam dan sagu biji. Kacau hingga sebati.

3. Bahagikan adunan ke dalam empat bekas dan tambahkan satiap satu jenis warna dalam setiap bekas. Gaul sebati supaya warna sekata.

4. Masukkan air secukupnya ke dalam periuk pengukus dan tambahkan daun pandan supaya ketika proses mengukus aroma wangi pandan akan timbul. Kemudian susun daun pisang bentuk kon tadi di dalam periuk pengukus dan tuangkan adunan ke dalam daun pisang tetapi jangan sampai penuh. Kukus selama 20 minit atau sehingga kuih masak.

Nota:
Amie lihat sesetengah orang akan gunakan batang pisang yang dicincang diletak dalam periuk pengukus supaya bekas kuih pasung daat berdiri tegak. Sesetengahnya pula memang menggunakan periuk pengukus yang mempunyai lubang yang agak besar, muat untuk masukkan 1/3 atau 1/4 bekas kuih pasung tadi. Amie gunakan sejenis tempat letak kuih pasung (lupa nama dalam bahasa Cocos), yang Encik Suami pinjam dari kampung (kakak ipar punya).

 Warna warni Kuih Pasung!

Banyak pisang diangkat diusung,
Tidak seenak pisang berangan,
Banyak pasung antara pasung,
Kuih pasung dilupa jangan!

3 ulasan:

tun_telani berkata...

comelnyer warna warni. kat kelantan ada kuih yg rupa mcm ni, tp xde warna warni lah, warna gula melaka. tp xde letak sagu kot, sbb texture dia mcm kaswi sket. kene guna pengukus khas la kan, sbb nk dirikan kon tu.

Phong Hong berkata...

First time tengok kuih ni.

Fatimah Abdol Latif berkata...

terima kasih kongsi resepi kueh comel ini..selalu jumpa di belah utara perak, pahang dan sabah kuih ni, tapi versi sagu ni dari amie pertama kali tengok, insyaAllah akan dicuba ..terima kasih :-)