Ikan Tongkol Masak Lemak Cili Padi & Tempe
3:07 PTG
Jemput makan tengahari dengan lauk Ikan Tongkol Masak Lemak Cili Padi & Tempe. Ini masakan ringkas tapi tetap menggamit selera. Kalau dah namanya lemak cili padi tu, susah sikitlah kita nak tolak! Betul tak?
Kita gunakan sajalah bahan yang ada di dapur. Tak ada cili padi hijau, cili padi masak yang dah merah menyala pun boleh. Tapi kata orang sebaiknya gunakan cili padi hijau, barulah terangkat! Jangan lupa tambahkan serai yang dititik untuk menaikkan aroma serta dua tiga keping asam gelugur untuk seimbangkan rasa. Amie gunakan dua keping saja sebab tak mahu rasa masam yang menyerlah. Kalau ada kunyit hidup, elok sangatlah tapi kalau tak ada guna kunyit serbuk pun memadai juga. Satu lagi ada yang suka masak lemak masuk periuk sekali hartung bersama semua bahannya, ada juga yang tumis dahulu bahan perencahnya. Kali ini Amie tumis dulu bahan perencah nak bagi naik aroma!
Oh! Hampir terlupa... Amie tambahkan tempe dalam masakan ini. Memandangkan isi ikan tongkol yang padat dan tidak mudah hancur, Amie masak lama sedikit bersama tempe, sebab nak bagi tempe tu lembut dan menyerap bahan perencah! Jom kita tengok resepinya di bawah ini:
Bahan-bahan:
8 kepingan ikan tongkol
1 cawan santan pekat
3 cawan santan cair
2 batang serai - dititik
2 keping asam gelugur
1 sudu kecil serbuk kunyit
garam / gula / perasa pilihan
3 sudu besar minyak
Bahan tumbuk kasar:
15 biji cili padi
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
Cara memasak:
1. Panaskan minyak dan tumis bahan tumbuk serta serai hingga naik bau.
2. Tambahkan 3 cawan santan cair dan masukkan serbuk kunyit.
3. Apabila kuah mendidih, masukkan ikan tongkol dan tempe. serta asam keping.
4. Masak selama 15-20 minit.
5. Masukkan santan pekat, garam / gula / perasa pilihan.
6. Biarkan kuah mendidih seketika.
7. Padamkan api dapur.
Selamat menjamu selera!
2 comments
Sedap bila ikan tongkol buat masak lemak!
BalasPadamperghh esok nak masak ni, tercanak baca
BalasPadam