ADSENSE

Ahad, 12 Ogos 2018

Kuih Tradisional yang Belum Pupus

Petang tadi berkesempatan menghadiri majlis terima hantaran anak buah di kampung. Anak buah Amie ini, anak kepada adik ipar Amie, iaitu adik Encik Suami. Isterinya yang merupakan biras Amie berketurunan Bugis. Maka berkumpul dan berkenal-kenalanlah suku kaum Melayu Cocos dan suku kaum Bugis, memandangkan tunangan anak buah juga dari suku kaum Bugis.
Apa yang ingin Amie kongsikan di sini ialah tentang makanan tradisi yang dihidangkan kepada tetamu.
Antaranya termasuklah Pisang Tellemek seperti gambar di bawah. Banyaklah pula Pisang Tellemek yang dibuat oleh keluarga biaras Amie ini.

Menurut ibu kepada biras Amie, Pisang Tellemek diperbuat daripada pisang raja yang sudah masak, dibelah dua tetapi jangan sampai putus, kemudian dicelup dalam telur dan digoreng hingga masak. Di dalam Pisang Tellemek ini mengandungi kacang tanah tumbuk.

Pisang Tellemek sedia dihidangkansetelah disiram dengan kuah manis yang diperbuat daripada masakan air gula. Ibu biras Amie (datang dari Sandakan ke LD), beritahu Amie, Pisang Tellemek tahan disimpan lama, katanya boleh dimakan walaupun sudah dua minggu! Wow! Memang masuk akal, sebab kuahnya sangat manis, dan bukankah manisan itu salah satu bahan pengawet? Gambar Pisang Tellemek dalam piring bunga kangkung di atas itu Amie ambil pagi tadi di rumah. Amie beli Pisang Tellemek di pasar tani. 4 biji semuanya, berharga RM5.
Selain nama Pisang Tellemek, Amie pernah dengar ia disebut sebagai Sanggara' Balanda. Adakah Pisang Tellemek dan Sanggara' Balanda ini sama atau ada yang berbeza dari segi penyediaan bahan dan cara penyediaannya? Diharap ada yang sudi memberi pencerahan supaya lebih jelas.

Yang ini pula, kuih gatas namanya. Macam kuih getas bunyinya ye? Rasanya memang sama dengan kuih getas-getas di Malaya sebab diperbuat daripada tepung pulut dan kelapa, kemudian disira dengan air gula. Sebelum ini Amie pernah makan kuih yang sama tetapi disira dengan gula merah. Mereka panggil kuih sawaalah.

Yang ini pula kuih katirisala. Huurrmmm... tak berapa jelas rupanya gambar yang Amie ambil. Kita lihat gambar katirisala di bawah ini. Gambar ini Amie ambil beberapa minggu lepas di rumah. 

Inilah rupa kuih katirisala. Di bahagian bawahnya pulut hitam, dan kepalanya terdiri daripada santan, gula merah dan juga telur.
Itulah di antara kuih-muih tradisional masyarakat Bugis yang dapat Amie kongsikan berserta sedikit penerangannya.
Dan di bawah ini pula, beberapa jenis kuih-muih tradisional masyarakat Bugis juga yang pernah Amie makan. Kuih yang berwarna hijau ini Amie makan di kantin sekolah.

Amie percaya, ramai di antara rakan-rakan pengunjung pernah melihat gambar di atas dan di bawah. Ia sejenis kuih yang diperbuat daripada ubi kayu dan di dalamnya terdapat sepotong pisang raja. Kuih ini disalut dengan kelapa parut. Menurut rakan sekerja Amie, dari keturunan Bugis juga, katanya ini sejenis kuih talam Bugis.

Kuih yang berwarna kuning ini Amie beli di pasar tani. Rasanya memang sedap, dan sudah tentulah bertambah sedap dengan kehadiran pisang raja yang terselit di tengah-tengahnya!

Seterusnya kita berkenalan dengan Kuih Pisang Hijau @ Ijo seperti gambar di atas. Rupanya seolah-olah dibungkus oleh kulit ketayap atau lempeng. Instimewanya, ada pula kuahnya yang manis!

Dan paparan terakhir malam ini yang Amie ingin kongsikan ialah sokko. Sokko yang Amie temui dibungkus menggunakan daun pisang seperti gambar di atas. Jom kita buka apa isinya.

Wah! Inilah sokko (dalam bahasa Bugis) atau songkolo (bahasa Makassar). Sokko ialah masakan berupa pulut tanak, dan dihidangkan bersama sambal ikan bilis dan juga serunding kelapa.
Sekian.
Terima kasih kerana sudi membaca.
Moga bertambah pengetahuan tentang makanan tradisional yang belum pupus di  Nusantara.

7 ulasan:

Siti Yang Menaip berkata...

dalam banyak2 kuih tu rasanya yang pernah dengar yang getas2 tu.. tapi not sure penah rasa ke tidak. teringin nak cuba =)

Ann Ishak berkata...

kebanyakan manisan bugis berasaskan pisang ye kak

aisyah elsa berkata...

semua n frist time saya nampak. rasanya kalau tak kerana blog ni, mungkin sampai bila bila pun saya taktahu. mungkin saya ni muda sangat kot hehe

nasa mulia berkata...

Pisang tellemek dan sanggar belanda tu kuih yang sama Kak, Dulu saya dengar orang bugis hanya panggil kuih ini sanggar belanda dan saya bagi kesimpulan nama pisang tellemek tu nama baru, still juga mencari kenapa mereka tukar nama tu. Sanggar belanda boleh buat dengan menggoreng pisang raja sebanyak 2 kali, pertama kali setengah masak dan kali kedua goreng setelah dicelup dalam telur. Mak saya dulu tak guna air gula untuk maniskan kuih tu, tapi gula pasir dilebihkan dalam campuran kacang tumbuk dan mentega. Selalu sediakan awal sehari atau 2 hari sebelum majlis dan gula dalam inti tu akan mencair dan menjadi kuah.

Sawalah(kuih getas)tu selalunya mereka lebih suka sira dengan gula merah, kalau tiada stok gula merah baru gantikan dengan gula pasir.

Kuih ubi yang berinti pisang ditengah tu orang panggil bandang lojo (terjemah dalam melayu macam tak best sikit bunyinya, cara buatnya macam buat kuih nagasari cuma pisang disalut dengan ubi parut, bungkus daun pisang kemudian kukus, dah masak baru gaul dengan kelapa parut yang dicampur sedikit garam.

Kuih pisang ijo yang disalut dengan kulit dadar yang macam tu dah jadi hipster (short cut). Original pisang sebiji salut dengan tepung dan dibentukan seperti sebiji pisang, kemudian dikukus dan dihidangkan dengan kuah putih dengan bersama parutan ais dan sirap ambon atau coco pandan yang berwarna merah.

Amie berkata...

Siti,
getas-getas tu memang ada di Malaya, dulu selalu beli di kantin sekolah

Ann,
tidak juga, barangkali yang berasaskan pisang itu banyak jenisnya, ada yang gunakan tepung pulut, jagung dll

Aisyah,
itulah manfaatnya berkongsi info, yang tidak tahu akan menambah pengetahuan

Nasa,
Terima kasih banyak2 kongsi info tentang kuih-muih ini. Selama ini hanya tahu makan, tapi terlupa untuk rakam dalam bentuk koleksi gambar. Bila tersedar lama-kelamaan kuih-muih tradidional jarang muncul, jadi inilah...cuba sedaya upaya ambil gambar dan kongsikan.

notie berkata...

Saya tau kuih getas je. Yang lain semua tak pernah dengar dan tak pernah makan. Kalau tahu masak buatlah nak tenguk juga macamana resepi dan makanan tersebut di buat.

Amie berkata...

Notie,
in shaa Allah bila dah cukup info tentang satu-satu resepi, saya akan cuba buat. Saya sangat mengambil berat resepi kuih tradisional sebab saya ingin menjaga keasliannya. Itu sebabnya setiap kali ingin mencuba masakan satu-satu kaum, kalau boleh saya akan dapatkan info lanjut dari kaum itu sendiri. Setakat ini, ada beberapa jenis masakan atau kuih tradisional suku kaum Sabah pernah saya kongsikan di sini.