Bismillahirrahmanirrahim.
Sebaik sahaja turun dari gerabak kelapa sawit, kami terus menuju ke Cocoa Village. Walaupun tidak nampak ladang koko sepenuhnya tetapi rasa tenang dan nyaman melewati kawasan yang terjaga rapi. Di bawah pokok kelapa, disulam dengan pokok-pokok koko. Di bawahnya pula dihias dengan tanaman berbunga.
Antara tempat yang boleh dilawati ketika memasuki Cocoa Village termasuklah:
- Ellaeis Hall
- Estate Office
- Bird House
- Green House
- Zipline
- Sundeck
- Tree House
- Container House
- Tawau Cocoa Cafe
Kami tidaklah masuk kesemua tempat kerana hendak segera pulang berehat di hotel. Mungkin pada masa yang lain boleh datang lagi terutama ke Tawau Cocoa Cafe dan Ellaeis Hall. Di sini bolehlah membeli pelbagai hasil produk koko, tetapi harganya memang kayangan belaka!
Sejuk mata memandang melihat suasana pohon hijau dan bunga-bungaan.
Sebenarnya Amie pernah tinggal bersama keluarga angkat sewaktu bersekolah menengah rendah di Jeram, Selangor. Keluarga angkat Amie mempunyai kebun kelapa da di bawahnya ditanami pokok koko. Selalulah Amie bantu belah buah koko yang dipetik dari pokok. Buah yang terkumpul akan dibelah seminggu sekali, iaitu pada hari Jumaat petang sebab pagi Sabtu akan datang peraih Cina untuk membeli isi koko. Hendak dijadikan cerita, entah bagaimana sewaktu membelah koko, mata pisau hinggap di hujung jari telunjuk sebelah kiri. Emak angkat Amie terus pucat, dan dipimpinnya Amie ke dapur lalu jari yang penuh darah itu direndam dalam minyak tanah. Darah terus mengalir. Amie dihantar ke klinik kesihatan yang kebetulan hanya lebih kurang 200 meter dari rumah. Pembantu perubatan yang membalut jari Amie bertanya : Kamu belah koko atau belah jari? parutnya masih ada sehingga hari ini. Di bawah kuku jari telunjuk sebelah kiri Amie ada parut garisan sepanjang 2.5 cm.
Ada satu pemandangan menarik sewaktu kami berjalan masuk ke Cocoa Village. Nampak macam tidak ada orang kan? Sebenarnya ramai pengunjung. Cuma Amie tunggu suasana lengang barulah ambil gambar. Kalau tidak, banyaklah aksesori yang menempel... ahaks!
Agaknya apakah yang menarik pandangan kami itu? Cuba perhatikan seakan-akan pintu gerbang di belakang Encik Suami dan Firdaus bergambar.
Ada pasu bunga disusun rapi bentuk gerbang!
Rupanya bukan pasu biasa tetapi sabut kelapa dibentuk seperti pasu. Encik Suami meneliti pasu tersebut dan mendapati ada saluran paip kecil dilekatkan pada tiang gerbang. Kata Encik Suami, tak perlulah tanaman hiasan ini disiram sampai ke atas, melainkan hanya buka sahaja paip beberapa minit supaya air dapat dibekalkan dan sampai kesemua pasu.
Barangkali ketika ini pokok hiasan di dalam pasu ini belum berbunga. Kalau berbunga sudah tentu cantik warna-warni!
Selain pokok bunga ros Jepun, tanaman lain yang ada di sini termasuklah pelbagai jenis bunga ati-ati.
Wah, nampaknya Estate Office di sini sangat mesra ladang!
Terdapat taman permainan bersebelahan dengan Estate Office.
Antara daya tarikan kanak-kanak termasuklah replika lembu dan kuda.
| Replika Lembu |
| Replika Kuda |
Zipline + Abseil Adventure @ RM30/pax
| Cocoa Zipline |
| Sundeck |
Pemandangan dari sundeck.
| Replika Tangan & Koko |
| Tree House |
| Bolehlah bergambar di sini, di atas motor atau di atas basikal. |
| Tawau Cocoa Cafe |
Cuaca sungguh panas. Marilah kita masuk ke Tawau Cocoa Cafe. Perut pun sudah rasa lapar.
Ada banyak ruangan makan di cafe ini. Kami masuk ke bahagian dalam. Rupanya kami melalui pintu belakang.
| Firdaus duduk termenung di sini pula. |
| Inilah pintu masuk kafe. |
| Alangkah nikmatnya dapat hirup air nanas di kala cuaca panas terik di sini. Nyaman bah! |