Family Time @ Chef Wan 1958 Putrajaya
11:18 PTGBismillahirrahmanirrahim.
Ahad - 21 Disember 2025 - Putrajaya
Ahad - 21 Disember 2025 - Putrajaya
Entah mimpi apa, kami sekeluarga dapat mengunjungi Restoran Chef Wan 1958 di IOI City Mall Putrajaya. Selama ini hanya berangan-angan sahaja untuk makan di restoran chef terkenal tanah air ini. Amie salah seorang peminatnya, sentiasa mengikuti perkembangannya dan memiliki buku resipinya. Untuk makan di restoran beliau, rasanya bak kata Mama Cella kena banyakkan zikir.... ahaks!
Selepas daftar keluar hotel pada pukul 11:30 pagi, maka menjalarlah dua buah kereta dari Park Inn by Radisson, sebuah dipandu Abang Farid dan sebuah lagi dipandu Fuad membawa kami menuju ke IOI City Mall Putrajaya.
| Chef Wan's Cucur Udang |
| Wajah yang sentiasa ceria memeriahkan dunia masakan tanah air. |
Sementara menanti pesanan tiba di meja, sempat belek-belek katalog menu Chef Wan 1958. Amie ambil beberapa keping gambar dari katalog menu untuk dijadikan entri.
Macam-macam menu yang ditawarkan termasuk masakan tradisi nusantara dan juga makanan barat. Semuanya nampak sedap dan rambang mata dibuatnya ketika memilih! Maklumlah, rasa teruja sangat sebab pertama kali dapat jejak ke restoran selebriti.
Fuad cadangkan supaya kami memesan masakan tradisional Melayu, nanti pada masa yang lain boleh cuba makanan barat pula. Eh, macam ada rancangan untuk datang ke Restoran Chef Wan lagi nampaknya!
| Melayan cucunda Hamzah yang tak boleh duduk diam. |
Cucur Udang Chef Wan menjadi pembuka selera. Rangup di luar, lembut di dalam, dengan udang yang kelihatan segar, dinikmati panas-panas bersama sos pencicah yang melengkapkan rasa. Hidangan ringkas ini terasa istimewa apabila dinikmati sekeluarga.
Ketika kami menikmatinya, sempat pula Encik Suami bersuara : Rata-rata di atas meja pelanggan ada Cucur Udang Chef Wan!
Chef Wan’s Cucur Udang istimewa sebab rasa dan tekstur yang seimbang. Digoreng hingga rangup di luar tetapi isi udangnya tetap juicy dan segar, hasil gabungan udang segar, taugeh dan daun bawang dalam adunan tepung yang sempurna (deep-fried to crispy perfection).
Hidangan ini bersaiz agak besar dan cukup untuk dikongsi beberapa orang dan tambah menyelerakan apabila dinikmati bersama keluarga. Chef Wan's Cucur Udang disajikan dengan dua pencecah iaitu sos cili pedas dan sos peanut house-made Chef Wan.
| Di bawah cucur udang yang besar ini, ada beberapa keping cucur yang sudah sedia dipotong. |
| Alhamdulillah, tercapailah selera untuk merasa Chef Wan's Cucur Udang yang selama ini hanya mampu dilihat sahaja. |
Selepas cucur udang membuka selera, satu demi satu hidangan tiba di meja, seolah-olah membawa kami mengembara merentas rasa Nusantara. Soto Ayam berkuah panas dan beraroma, sarat rasa habis disantap oleh Fuad penuh selera. Laksa Johor pula tampil penuh karakter, kuahnya pekat dan dihias dengan pelbagai aksesori. Amie menikmatinya hingga ke titisan kuah terakhir.
Abang Farid pula menikmati sate ayam yang dibakar sempurna, harum aromanya, lembut isinya dan dilengkapkan kuah kacang yang seimbang rasa manis dan lemak. Encik Suami pula memilih Pecal Ayam sementara Aseeyah dengan pilihan Nasi Ulam Ayam Percik. Amie sengaja memesan Lontong Chef Wan, dan nampaknya Fuad sambung makan selepas menghabiskan Soto Ayam.
Akhir sekali, kami berkongsi cendol yang dingin dan manis berlemak selain minuman Asam Boi Pineapple, Homemade Pandan Drink dan Honey Lemon.
| Abang Farid - Aneka Satay Chicken |
| Fuad - Chef Wan's Soto Ayam |
| Amie - Laksa Johor |
| Tambah enak dengan sambalnya! |
| Pesanan Tambahan - Lontong Chef Wan |
| Hamzah - Beef Bolognese |
| Cendol Chef Wan |
| Asam Boi Pineapple - Jug |
| Abang farid & Aseeyah - Honey Lemon & Homemade Pandan Drink |
| Minuman Tambahan - Air Mineral |
Video kenangan Chef Wan 1958 Putrajaya.
Kami dapat potongan 5% dari harga asal setelah Fuad membuat ulasan di FB Chef Wan.
Semoga Chef Wan dianugerahi kesihatan yang berpanjangan dan dapat meneruskan usaha memartabatkan pelbagai menu tempatan seantero dunia.
Alhamdulillah. Adakalanya impian yang kita telah terlupa menjadi nyata pada masa yang tidak terduga! Semuanya adalah rezeki Allah.
2 comments
Makan dengan ahli keluarga memang nikmat dan seronok kan Kak Amie apalagi di tempat yang tersohor ni. Belum sampai ke tempat Chef Wan ni. Portion dia agak besar kan, kena tunggu korum lebih, tak dapat2. Nak sangat try cucur udang yang famous ni. Hamzah buah hati nenda berdua. Makin besar dan bijak.
BalasPadamwahhhhh meriah menu nya & semua sedapnya! cucur udang tu perhhh!
BalasPadam