Nasi Lemak Kukus
1:30 PTG
Salam ceria dan selamat berhujung minggu buat semua pengunjung Amie's Little Kitchen. Terima kasih kerana masih terus setia bersama walaupun akhir-akhir ini hidangan dari dapur sekejap timbul sekejap tenggelam ditutup tudung saji...... ahaks! Terima kasih juga buat pengikut yang baru, yang sudi menjadi ahli sembang-sembang di dapur yang tak sepertinya ini.
Tidak ada resepi istimewa yang dapat Amie kongsikan kali ini. Hanya menu biasa, yang tersangat biasa dilihat di mana-mana. Ya...sekadar nasi lemak biasa, untuk hidangan keluarga. Cuma yang membezakannya sedikit, mungkin cara masakannya, iaitu dengan cara mengukus. Dan sambalnya pula, Amie campurkan udang kering dengan ikan bilis.
Bahan-bahan:
6 pot rice cooker beras - bersihkan dan toskan
500ml pati santan kelapa
3 biji bawang putih - hiris halus
3 cm halia - hiris halus
2 helai daun pandan - siat-siat
1 batang kulit kayu manis
3 kuntum bunga lawang
1/2 sudu kecil garam
1. Didihkan air dalam periuk pengukus.
2. Letakkan kuali di atas dapur, dan masukkan santan kelapa bersama bawang putih, halia, daun pandan, kulit kayu manis dan bunga lawang serta garam. Biarkan mendidih.
3. Masukkan beras dan kacau sekali - sekala sehingga beras kembang dan santan mengering.
4. Pindahkan beras di dalam kuali tadi ke dalam periuk pengukus. Kukus selama 15-20 minit atau sehingga nasi masak.
Seperti biasa, gandingan mantap nasi lemak tentulah olahan sambalnya. Memandangkan bujang kenit kita suka sangat makan sambal, jadi memang Amie sengaja sediakan sambal yang tak berapa pedas. Lagipun memang nasi lemak sesuai dipadankan dengan sambal yang sedemikian.
Bahan-bahan:
1 cawan ikan bilis - bilas dan toskan - ketepikan
20 biji cili kering wonder hot - buang biji - rebus hingga masak - toskan - kisar - ketepikan
1 labu bawang besar - mayang kasar
3/4 cawan minyak
1 sudu besar pati asam jawa - bancuh dengan 3 sudu besar air
garam dan gula melaka secukup rasa
Bahan kisar:
7 ulas bawang putih
15 biji bawang merah
2 labu bawang besar
1 cm halia
100 gram udang kering - rendam hingga lembut - toskan
Cara:
1. Panaskan minyak. Tumis bahan kisar hingga pecah minyak.
2. Masukkan bancuhan air asam jawa, cili kering kisar. ikan bilis dan gula serta garam.
3. Biarkan masak sehingga pecah minyak sekali lagi. Kacau sekali- sekala. Gunakan api sederhana.
4. Masukkan hirisan bawang besar.
5. Setelah bawang besar layu, padamkan api dapur.
Amie tambahkan lauk nasi lemak dengan ikan selayang goreng. Mmmmm.... sedapnya! Ikan selayang tu Amie tambahkan serbuk kunyit, garam, daun kari dan sedikit tepung jagung serta secubit jintan manis.
Hidangan nasi lemak ini merangkap sarapan pagi hingga makan tengahari. Senangkan, Kerja masak--masak dibuat sekali harung jew....
Jangan lupa, hidangkan nasi lemak dengan kacang tanah goreng dan hirisan mentimun serta telur rebus. Ketika inilah segala bahan bersatu mencipta aroma tradisi yang sungguh memikat selera!
Dan yang paling penting, lebihkan sambal dalam hidangan!
Tanpa sambal apalah nasi lemak yea....he he heee...
1 comments
sedapnyer...
BalasPadam