ADSENSE

Ahad, 30 April 2017

Udang Tumis Pedas Sayur Rampai

Sepanjang minggu lepas, badan tak berapa sihat. Ketika itulah Fairuz ambil alih kerja-kerja dapur. Alhamdulillah, anak bujang kami sudah boleh diharap. Selain mengemas rumah, menjaga Firdaus, dari membuat susu sehinggalah memandikan dan menukarkan lampin pakai buang, dialah juga yang masak nasi dan lauk-pauknya. Dah siap, dia pun bangunkan Amie (yang selama tiga empat petang terpaksa merehatkan diri sebaik sahaja sampai ke rumah). Kadang-kadang Fairuz tanya, nak masak apa? Amie kata masak apa-apa sajalah yang ada di dalam peti sejuk. Ada sekali, Amie sudah beransur sihat. Fairuz tetap juga mahu masak. Dia tanya Amie macamana nak masak sup ayam. Amie kata, tambahlah kentang atau lobak merah. Buang kulit ayam, sebab nanti sup penuh lemak ayam!
Bila Amie jengok dapur sebab terbau aroma sup, rupanya Fairuz rebus kentang dengan bawang putih dan halia. Kentang dah mula empuk.  Ayam tak masuk lagi, sebab dia sedang buang kulitnya!
Oh! Anak Mommy sayang!
Dia berusaha untuk masakkan Mommy rupanya!
Tak sampai hati nak tegur, nak tanya : Kenapa rebus kentang dulu?
Kadang-kadang, kalau Amie berjauhan dari anak-anak, sama ada Fuad atau fairuz akan telefon Amie, macamana nak masak ini, macamana nak mask itu. 
Buat anak-anak Mommy yang disayangi:
Blog masak-masak ini sebenarnya Mommy dedikasikan untuk kalian. In shaa Allah, Mommy akan cuba masak dan ambil gambar langkah demi langkah, walaupun hanya masakan yang mudah-mudah. Nanti, bolehlah belajar dari sini. 

Tengahari tadi, sempat masak Udang Tumis Sayur Rampai dan ikan susu bakar. Fairuz menghadiri kelas tuisyen, jadi pulang agak lewat sedikit. Untuk panduan Fairuz dan Fuad yang sesekali suka masak di dapur (terutama apabila ketiadaan Mommy), beginilah cara mengolahnya.

Bahan-bahan:
15 ekor udang segar - bersihkan
1 cawan hirisan lobak merah
1 cawan hirisan kubis
1 cawan hirisan daun bawang
1 labu bawang besar - dihiris 
3 ulas bawang putih - dihiris
10 biji cili padi minyak - dihiris
1 sudu besar stok ayam pekat
1/3 cawan minyak

Cara:
1. Panaskan minyak. Tumis bawang besar, bawang putih dan cili padi sehingga layu.

 2. Masukkan udang dan masak sehingga udang berubah warna.

 3. Tambahkan stok ayam pekat sebagai perasa dan kacau sebati.

 4. Masukkan lobak merah. Kacau sekali-sekala sehingga lobak merah layu.

 5. Kemudian masukkan kubis. Kacau lagi sehingga kubis layu.

 6. Akhir sekali, masukkan daun bawang. 

 7. Kacau dua tiga kali dan padamkan api dapur.

2 ulasan:

kasihilmar.com berkata...

Assalamualaikum Amie.
Alhamdulillah Amie ada anak bujang yang serba boleh....

Adam berkata...

Saya nak cuba ni.