Sate Ayam & Mutiara di Bawah Bayu

7:17 PTG

Selamat berhujung minggu buat semua pengunjung Amie's Little Kitchen yang dihargai. Petang ini Amie banyak ingin kongsi cerita tapi Amie cuba pendekkan menjadi seringkas-ringkasnya. Pertama, dari pagi tadi mengejar masa kerana selepas acara merentas desa di sekolah, kami tergesa-gesa pulang memandangkan pukul 11.00 pagi jalan arah ke Tawau terpaksa ditutup untuk memberi laluan kepada Kejohanan Lumba Basikal Tour of Borneo 2012 merangkumi 5 peringkat sejauh 758.4km bermula pagi tadi dari Semporna, melalui Tawau, Lahad Datu, Sandakan, Sepilok, Kundasang, dan berakhir di Kota Kinabalu pada 1 Mei 2012. Perlumbaan berstatus 2.2 ini diiktiraf Kesatuan Lumba Basikal Antarabangsa (UCI) dan tersenarai dalam Kalendar Jelajah Asia (UCI) dan disertai oleh 19 buah negara. Syukurlah, sebelum pukul 11 pagi, Amie dan anak-anak selamat sampai ke rumah walaupun jalan raya mulai sesak. Kebetulan, rumah Amie terletak berhadapan tidak sampai 100 meter dari jalan raya, jadi menjelang tengahari penuhlah tepi jalan raya dengan orang ramai yang datang memberi sokongan moral kepada semua pelumba basikal. Susunan kenderaan yang tidak boleh bergerak usah dikira lagilah! Panjangnya entah dari mana sampai ke mana! Amie kurang berminat dengan acara lumba basikal, jadi sementara Encik Suami dan anak-anak menyertai kumpulan penyokong, Amie pun buatlah apa yang patut untuk hidangan petang merangkap makan malam. Kali ini Amie buat Sate  Ayam. Oleh kerana bahan untuk sate sudah terlebih dahulu disediakan pada sebelah malam, Amie hanya sediakan nasi himpit dengan sambal kacang serta aksesori yang lain. Setelah semua peserta lumba basikal berlepas dari kawasan kami, Encik Suami pun membakar arang untuk dijadikan bara api. Jadi, kami pun memangganglah sate dengan seronoknya sebab baunya sungguh harum semerbak ditambah pula dengan cuaca mendung, dingin selepas hujan sebentar tadi.



Lihatlah rupa Sate Ayam yang sudah siap dipanggang itu! Potongannya pun tak sekata sebab semalam semasa memotongnya, mata dah mengantuk, jadi potonglah besar-besar biar cepat siap! Tak kisahlah, sebab bila diperap semalaman, bahan ramuan meresap ke dalam daging ayam, dan dengan bahan-bahan tersebut juga akan membantu daging ayam cepat masak bila dipanggang. Belum lagi habis memanggang, si bongsu sudah mula mencopet beberapa cucuk.  Memang sedap kalau makan sate panas-panas! Amie pun sama juga, mengalahkan si bongsu! Tak sabar-sabar nak makan. Menjelang pukul 4.30 petang, Sate Ayam pun sudah sedia bersama-sama aksesorinya yang lain terhidang di meja. Hanya menunggu untuki dijamah! Tangan pun mula angkat satu cucuk sate.....


Baru nak angkat sate.... tiba-tiba si bongsu yang sudah kekenyangan makan sate berteriak memanggil dari ruang tamu. "Cepat tengok sini... ada atuk keluar tv!" Encik Suami pun tinggalkan meja bersama anak-anak untuk ke ruang menonton. Rupanya, ada siaran Selekta Sabtu: Mutiara di Bawah Bayu di TV2. Rancangan yang disiarkan pada pukul 4.30 petang ini memaparkan tentang budaya hidup masyarakat Melayu Cocos di Sabah. Sebenarnya, rakaman tersebut dibuat pada tahun lepas oleh pihak RTM. Lokasi utamanya di rumah FIL dan FIL Amie menjadi fokus utama dalam temuramah yang diadakan. Masih Amie ingat lagi, rakaman tersebut dibuat pada malam Jumaat, bukan lagi malam tapi sudah larut malam menjelang ke pagi sebab waktu itu Encik Suami turut menyertai majlis bacaan Yasin di rumah ayahandanya. Kami pun menonton siaran yang sebenarnya pernah kami nantikan tahun lepas tetapi akhirnya dilupakan begitu sahaja kerana sudah sekian lama tidak disiarkan. Rancangan selama 1/2 jam ini memaparkan tentang cara hidup atau budaya hidup masyarakat Melayu Cocos. Penggambaran dibuat di dalam dan di luar rumah FIL. Apa yang melucukan kami ialah, walaupun menjelang dinihari tetapi anak-anak buah, adik, abang ipar, biras serta pakcik (adik-adik FIL) memberi kerjasama untuk menjayakan rancangan tersebut termasuklah menarikan tarian dansa dan melenggok. Banyak informasi yang diperolehi RTM daripada FIL tentang kesenian dan kebudayaan masyarakat yang sangat kecil jumlahnya di negeri Sabah ini.




Kami rasa sangat terharu kerana berpeluang menyaksikan siaran TV2 dan seolah-olahnya FIL masih ada, tetapi sebenarnya FIL telah kembali ke pangkuan-Nya pada 2 Februari 2012. Amie pernah merakamkan detik pemergian Allahyarham Ayahanda Tuan Imam Haji Rilay Abip DI SINI. Allahyarham sebenarnya sering menjadi pakar rujuk pelbagai pihak untuk mendapatkan sumber sebenar tentang sejarah asal-usul dan penghijrahan masyarakat Melayu Cocos dari Pulau Cocos-Keeling ke Borneo. Hilanglah sudah sebutir permata (penerima anugerah Bintang Kinabalu) yang banyak merakamkan sejarah masyarakat ini kerana FIL memang lahir di pulau tersebut. Bagaimanapun, Amie bersyukur kerana semasa hayatnya, Amie sempat merakamkan sebahagian kehidupan mereka dalam novel Teritip (pernah Amie tuliskan sebelum ini dalam blog), yang berlatarbelakangkan sejarah kehidupan di bawah pentadbiran British, keluarga Clunnies Ross sehinggalah Pulau Cocos-Keeling akhirnya menjadi sebahagian wilayah Australia.





Masih terbayang lagi wajah terkejut FIL ketika Amie serahkan senaskhah novel Teritip untuk beliau .....di dalamnya saya tulis sebahagian kisah yang emak dan bapa selalu ceritakan kepada saya tentang sejarah hidup orang Melayu Cocos ...., beritahu Amie untuk mengurangkan rasa hairan Allahyarham.  (Sayangnya MIL telah pergi terlebih dahulu pada 4 November 2006, manakala Teritip terbit tahun berikutnya). Al-Fatihah buat kedua MIL & FIL Amie yang kami kasihi. Apa pun, yang pergi biarlah pergi kerana masanya sudah sampai, namun yang masih hidup teruskanlah berbakti kepada agama, negara dan bangsa.

Setelah tamat siaran Mutiara di Bawah Bayu, semua menyerbu semula ke dapur untuk menikmati sate. Kali ini memang sekali angkat sate terus masuk mulut! Bismillah.....


Masya-Allah! Rupanya Amie terlupa untuk tuliskan resepi Sate Ayam kali ini. Sebelum tutup tirai petang ini, Amie tuliskan di bawah ini untuk rujukan Amie sendiri, anak-anak dan rakan-rakan yang sudi. Resepi Sate Ayam  dan kuahnya ini Amie gunakan dari resepi turun-temurun dalam keluarga. Jika ada yang terlebih atau terkurang,  atau tidak memenuhi citarasa anda, harap dimaafkan.

Resepi : Sate Ayam
Sumber : Amie's Little Kitchen

Bahan :  - untuk 5 orang
1.5kg daging ayam bahagian dada - potong saiz sate ayam biasa
1 sudu besar serbuk kunyit
1 sudu teh garam
3 sudu besar gula
lidi secukupnya - rendam 4-5 jam terlebih dahulu supaya tidak mudah terbakar ketika memanggang sate
2 batang serai - dititik
1/2 cawan minyak
arang secukupnya & tempat pemanggang

Bahan A - untuk kuah:
10 biji cili kering - kisar
5 biji bawang putih - kisar
2 labu bawang besar - kisar
1 sudu teh jintan putih - kisar
1 sudu teh jintan manis - kisar
1 sudu teh ketumbar - kisar
6cm halia - kisar
5 batang serai - kisar
2 cawan kacang tanah - goreng dan tumbuk tetapi jangan terlalu halus
1 cawan pati santan
2 cawan air
1 sudu teh pati asam jawa
3/4 cawan minyak
garam & gula secukupnya

Bahan lain:
2 kampit nasi himpit - potong dadu
1 biji timun - kupas dan potong dadu
2 labu bawang besar - kupas dan potong dadu
2 biji tomato - belah 8

Cara:
1. Bahan kisar dibahagi 2. Satu bahagian untuk memerap daging ayam dan sebahagian lagi untuk ramuan kuah kacang.
2. Masukkan daging ayam ke dalam sebuah bekas. Campurkan sebahagian bahan kisar kecuali cili kering. Tambahkan sedikit pati asam jawa, garam, gula serta serbuk kunyit dan sedikit minyak. Gaul rata dan perap selama 8 jam atau semalaman di dalam peti sejuk.
3. Untuk satu cucuk sate, gunakan tiga keping potongan daging ayam dan dua keping lemak atau kulit ayam - jika tidak mahu kulit atau lemak, tidak perlu bubuh.
4. Sediakan bara api dan panggang sate sehingga masak dengan melumurkan sedikit minyak di permukaan sate menggunakan serai yang dititik.
5. Untuk kuahnya pula, panaskan 3/4 cawan minyak dan tumis semua bahan kisar sehingga wangi. Masukkan cili kisar dan masak dengan api sederhana panas sehingga pecah minyak.
6. Masukkan air dan biarkan mendidih.
7. Masukkan kacang tanah tumbuk dan kacau selalu supaya tidak berkerak. Masukkan pati santan, pati asam jawa, garam dan gula secukupnya serta kecilkan api. Biarkan kuah mendidih dan pecah minyak.
8. Sebaik-baiknya, biarkan lebih kurang 2 jam sebelum dihidangkan supaya semua bahan ramuan dan rempah-rempahan meresap dalam kuah.
9. Hidangkan sate ayam bersama kuah kacang, hirisan timun, tomato, nasi himpit dan bawang besar.


Wokeh! Sate Ayam King Size sudah siap! Jom...jommmm makan... panas-panas lagi ni! Abaikan bahagian yang hangus-hangus tu... ini pembakar sate amatur beb! Dijamin makan 5 cucuk bersama nasi himpit dan aksesori yang lain akan mengenyangkan perut anda sampai ke malam!



21 comments

  1. sedapnya sate.........
    teringat pulak sate kajang....3 minggu sudah baru mkn.....

    BalasPadam
  2. Salam Kak Amie cayangg.... Tahniah ya kak.. rupanya buku Teritip tu akak yang tulis???? Ohh.... bertuahnya...

    Kak Amie.. ni nak komplen sikit boleh tak.. jangan marah ekk.. banyak nak komplen ni...

    1 - SATAY TU BESOR SANGAT!
    2 - KUAH SATAY TU....
    3 - AKSESORI SATAY TU....

    4,5,6,7,8,....10000000000000 blaa.. blaa.. blaa...

    SEDAPPPPPPPPPPPPPPPPPPPPPPPPPPPPPPPPPPPPPPPPPPPPPPPPPPPPPPPPPPPPPPPPPPPPPPPPPPPPPPPPPPPPPPPPPPPPPPP

    kecur dah ni Kak Amie.. nak gi cari satay jap lagi...

    *pengsan 1 juta kali x 12

    BalasPadam
  3. Sedapnya sate, wahh glamerlah masuk tv ye, hihi

    BalasPadam
  4. Myda,
    Entah berapa puluh tahun tak makan sate kajang! Dah sebati dengan sate buatan sendiri hik hik hikkk

    Sha,
    ha ha hahh dah bagi tau awal-awal tadi, sate ayam king size punya! Makan 5 cucuk kenyang sampai ke malam...inilah padahnya kalau buat ikut suka hati sendiri... kan orang tengok dah pengsan hi hihiiiii

    Aju,
    FIL & family masuk tv, tapi sayangnya FIL pergi sebelum sempat melihat siaran itu...

    BalasPadam
  5. Salam Amie,wah hebat lah jadi penulis jugak rupanya disamping memasak ya tahniah akak ucapkan dan kalau boleh nak lah satay king size bersama kuah dan aksesori nya sekali ya hehee

    BalasPadam
  6. salam amie cayang,akan akak simpan resepi sate..akak mmg tak pandai buat sate tau..lenkali kalau ada bbq mesti nak buat menu ni jugak...^_^

    BalasPadam
  7. Amie, cantiknya gambar gambar sate tu. ajar lah macam mana Amie ambik gambar yg cantik dan sharp tu. sungguh jiwa kacau tengok gambar gambar tu

    BalasPadam
  8. Salam kak amie! kita dtg malam2 ni kak :D nmpk sate akak seddapnyer! kita itu hari buat satay, kita buat kuah byk2 sbb mmg tahu boleh digunakan lagi mkn dgn nasi himpit atau buat sate lagi sbb malas nak buat kuah dia tuuu :D tgk satay akak ni terasa nak kuarkan kuah frozen yg dulu tuu hihihi... TAhniahhhh jugak sbb dah terbitkan sebuah buku, kita tak pandai mengarang, selalu fail sbb ayat tonggang terbalik :D Alfatihah juga buat arwah, sedihnyer kan, sbb dah buat rakaman tp arwah FIL akak tak dpt nk tgk rakaman tu kat tv, boleh bygkan perasaan keluarga akak masa tu bila siaran tu di siarkan kat tv :(

    BalasPadam
  9. kalau sate king size ni agaknya RM1 secucuk tu. hihih...dah lama nani x makan sate.kene tunggu balik kg lah baru jumpa org jual sate di pasar malam.

    seronok baca kisah org cocos dalam blog kak amie. kalau di sekolah nani, tak ramai pun cikgu yang kaun cocos. ada 2-3 orang je. itu pun org2 muda. tak jumpa pulak org cocos yang masih mengamalkan cara hidup dan budaya mereka.

    BalasPadam
  10. kalau sate king size ni agaknya RM1 secucuk tu. hihih...dah lama nani x makan sate.kene tunggu balik kg lah baru jumpa org jual sate di pasar malam.

    seronok baca kisah org cocos dalam blog kak amie. kalau di sekolah nani, tak ramai pun cikgu yang kaun cocos. ada 2-3 orang je. itu pun org2 muda. tak jumpa pulak org cocos yang masih mengamalkan cara hidup dan budaya mereka.

    BalasPadam
  11. aduhhh...nmpak sate malam2 ni mmng mnghru birukan perut...hehehe..

    BalasPadam
  12. salam kak,
    dah macam kat kedai je nih...sedap bebeno tu..

    BalasPadam
  13. asslm Kak Amie...pmulis jugak yer akak ni...alfatihah buat Fil akak yer...

    kak psl sate tu xkisah la potong mcm mne potong...yg penting tu haaa...sedap n myelerakn...nk tiru jugak la nti...byk dh kaut resepi dri sini...xcuba je lum lg...

    nk tnye la kak..psl nsi sardin tu...nasi n sardin akak masak asingkan...jd resepi lauk sardin tu ade x...nk buat td...tp xbpe nk fhm...hehe...mtk tlg yer...syg akak..

    BalasPadam
  14. teringin pulak nak tahu ttg melayu cocos ni amie.
    Kalau nak tahu kenalah beli buku amie.
    Sate tu besar, kalau jual mesti harga lebih mahal...hihi

    BalasPadam
  15. sedapnya mie. kalau beli kat kedai mana boleh dapat king size macam ni. ciput jer..

    BalasPadam
  16. Kak Noor,
    he he heh bukanlah penulis yang konsisten kak he he heh...
    Jomlah makan sama... bila lagi nak jumpa sate king size begini hi hi hiiiii

    Kak Anim sayanggg,
    terima kasih sudi kongsi resepi sate ayam yang sebenarnya ringkas sangat ni, tapi dijamin lebih sedap kalau Kak Anim yang buat! Jangan lupa untuk Amie 5 cucuk apa-apa saiz ye kak.

    Azie,
    Kak Amie main hentam saja ni, tak ada skill tertentu, tangkap gambar ikut suka kepala je...he he heh

    BalasPadam
  17. Ika,
    memang kalau buat kuah sate, buat lebih-lebih sebab boleh cicah dengan apa-apa selain sate, kuahnya pun tahan lama kalau dihangatkan selalu.
    Novel tu, novel kedua setelah tidak menulis sekian lama, maklumlah tuntutan tugas membataskan untuk aktif menulis (ayat orang tak pandai urus masa ni...)
    Betul tu Ika, rasa semacam je semalam tu bila sepanjang 1/2 jam siaran tv tu memaparkan temuramah RTM dengan Allahyarham FIL... beliau seorang yang sungguh mulia hatinya!

    Nani,
    bila buat sate sendiri, puaslah makan, sebab kita yang tentukan nak saiz apa... queen size ke king size, semua boleh... makan pula panas-panas! Aduh Nani... jauhnya kau duduk Mek... kalau idak, dapat juga 5 cucuk sate gemuk-gemuk tu... eh! Bukankah nani tengah diet? Terlupa pulak Kak Amie...

    MP,
    apalagi MP... jomlah makan sama...

    Rohah,
    boleh buka gerai sate ke ni... ha ha Rohalah pelanggan pertama Kak Amie!

    BalasPadam
  18. Qasey Honey,
    sekali pandang bentuk potongannya tu macam gaya orang tamak aje kan QH ha ha hahh... bila dikenalpasti, sebenarnya nak cepat-cepat siap potong sebelum diperap malam tu!
    Kak Amie datang dapur QH tadi... dah bagi tips masak sardin tu.

    Kasih,
    Novel terbitan DBP tu terhad jumlah, pasarannya pun tidak seluas novel popular, tapi jika berminat boleh dapatkan secara on-line di Dawama.Com.
    Berapa kasih nak beli secucuk sate king size ni kalau Amie jual... he he heh

    Ibundo,
    betul tu Ibundo, cumanya kalau kita buat sendiri size begini memang kena pastikan meresap semua ramuan rempahannya dan diperap semalaman, memanggangnya pun sekejap je...dah masak!

    BalasPadam
  19. kak amie..stae tu betul2 menggoda iman.sy ni hantu sate..takat 20 cucuk tu sy sorg jer kak..

    er..saya penha denagr melayu cocos.kalau tak salah dalam majalah 3 pun ada dulu.unik kan kita?

    BalasPadam
  20. Salam k amie..waahhseronoknye sini ade sate...peberet ni kak..lgselera klo kuah kacangnye pedas2 sket..hihi...

    BalasPadam
  21. lama dah tak buat sate....teringin sgt dah ni..adehh sabar jer la dah la tak ada jual sini. nak buat kena tunggu angin betulx2 rajin jer ni..hehe tq kak simpan resepi dulula.

    BalasPadam

TERIMA KASIH TINGGALKAN KOMEN.

Labels

~Australia (Perth) ~Balkan ~Bosnia and Herzegovina ~Brunei Darul Salam ~China (Shenzhen - Guilin - Yangshuo - Guangzhou) ~Cuti-Cuti Malaysia ~Ekspedisi ~Europe ~India (New Delhi - Srinagar - Pahalgam - Gulmarg) ~Indonesia ( Padang - Bukit Tinggi - Jambi - Palembang - Jakarta ) ~Indonesia ( Sumatera Barat - Bukit Tinggi - Padang ) ~Indonesia (Bandung - Jakarta - Jogjakarta) ~Travelogue ~Indonesia (Kalimantan Timur: Nunukan - Tarakan - Balikpapan - Samarinda - Tenggarong) ~Indonesia (Sidoarjo - Surabaya - Malang) ~Indonesia (Surabaya - Malang) ~Italy ~Jalan-Jalan Cari Ikan ~Jalan-Jalan Cari Makan ~Johor ~Kedah ~Kelantan ~Kenali Hidupan Akuatik ~Korea Selatan - Seoul - Nami Island ~Kuala Lumpur ~Madinah 2023 ~Makkah & Madinah ~Makkah 2023 ~Melaka ~Muhasabah Diri ~Negeri Sembilan ~Nepal (Kathmandu-Pokhara-Dhampus-Machhapuchhre Base Camp) ~Pahang ~Penginapan / Homestay / Hotel / Resort ~Perak ~Pulau Pinang ~Putrajaya ~Sabah ~Saudi Arabia ~Selangor ~Tempat Menarik di Malaysia ~Thailand ( Bangkok - Hua Hin) ~Thailand (Hatyai) ~Travelogue ~Turki ~Umrah ~Umrah 2023 ~Vietnam ( Da Nang - Hoi An - Ba Na Hills) Acar Advertorial Agar-Agar Air Asam Aneka Hidangan Nasi Aneka Hidangan Sup Aneka Jenis Serunding Anekdot Antologi Puisi Apam Asian Food Festival Awards Ayam / Itik / Burung BBQ Bekal Makanan Biskut Buah Bubur Buku Cerita / Komik / Cerpen / Novel Buku Motivasi Buku Resepi Buku Resipi Buku Sejarah Buku Travelog / Novelog Cerita Dari Dapur Cerita Dari Pasar Cerpen Kanak-Kanak Chips Contest / Kuiz / GA Desserts Dried Pasta: Spaghetti/ Spiral / Fusili / Rigatoni / Fettuccine / Risoni / Lasagne / Conchiglie / Tagliatelle / Macaroni / etc Dumpling / Wantan / Siew Mai / Dim Sum Food Review Hari Raya Hasil Karyaku Herba Hidangan Berbuka Puasa Hidangan Berpantang Hidangan Bersahur Hidangan Tengah Hari / Malam Hidangan Tengahari / Malam Himpunan Kad Ucapan Ikan Japanese Food Jeruk / Pickles Johor Juadah Hari Raya Juices / Smoothies Kek Kek Lapis Kek Lapis Sarawak Kek Sarawak Kelas Masakan Keluarga Kerabu Kerang-Kerangan Ketam / Sotong / Udang Khidmat Foodpanda Kiriman Komentator Korean Food Kudapan Kuih Raya Kuih Tradisional Nusantara Kuih-Muih Kuiz / GA Lain-Lain Laksa / Mee / Mee Hoon / Kuey Teow Lembu / Kambing / Lamb / Rusa Lobster Malaysian Food Festival Masakan Ala Kadazan / Dusun Masakan Ala Bajau Masakan Ala Bugis Masakan Ala Cina Masakan Ala Cocos Masakan Ala Jawa Masakan Ala Mamak Masakan Ala Nyonya Masakan Ala Pakistan Masakan Ala Thai Masakan Brunei Masakan India Masakan Indonesia Masakan Minang Masakan Negeri Sembilan Masakan Pahang Masakan Sabah Masakan Sarawak Masakan Singapura Masakan Suluk Masakan Timur Tengah Masakan Tradisi Kedah Masakan Tradisi Kelantan / Terengganu /Pantai Timur Masakan Tradisi Melayu Melaka Masakan Tradisi Perak Masakan Tradisi Pulau Pinang Masakan Tradisional Nusantara Masakan Utara Menu ala Fusion Minuman Panas / Sejuk Muffin Nuffnang Oleh-oleh Otak-Otak Pastry Pemakanan Sihat Pembelian Online Petua Di Dapur Pie Pizza Puding Resepi Amie's Little Kitchen di Media Cetak Resepi Bonda Roti Sambal Sambutan Hari Istimewa Santai Bersama BEN ASHAARI Sarapan Pagi / Minum Petang Sate Sayur Seafood Segmen : Meriahnya Dunia Masakan Segmen Share Resipi Setulus Kasih Soto & Coto Telur Tempahan Western Food Wordless Wednesday

Subscribe