Assalamualaikum.
Nampaknya hari ini Amie puas betul tidur! Tidur petang pula tu! Maklumlah semenjak dua menjak ini siang malam duduk di rumah tak ke mana-mana. Bangun tidur perut terasa lapar pula. Teringat kek kukus yang Amie buat sambil sediakan hidangan tengahari tadi. Ha..... inilah hasilnya.
Resepi asalnya Kek Kukus Asam Manis daripada dapur Yatie Memories - Sinar Kehidupanku yang dipanjangkan dari dapur Ita Masam Manis. Amie sudah mencubanya untuk pertama kali pada minggu lepas, dan oleh kerana bahan yang digunakan pun masih ada dalam simpanan, jadi Amie teruskanlah projek mengukus kek ini untuk hidangan petang. Bagaimanapun memandangkan Amie hanya 40 gram kepingan haw flakes, jadi Amie tambah 60 gram cranberry kering. Amie pun turut melakukan sedikit penderhakaan dengan menambah beberapa titik pewarna merah jambu ke dalam adunan.
Bahan-Bahan:
- 325 gm mentega
- 250 gm gula kastor
- 300 gm tepung naik sendiri
- 6 biji telur
- 1 sudu teh esen vanilla
- beberapa titik pewarna merah jambu
- 100 gram kepingan asam manis ~ dipotong halus ( Amie gunakan 40 gram kepingan haw flakes dan 60 gram cranberry kering)
Cara- Caranya:
- Sediakan loyang berukuran 8x8x3 inci. Sapukan mentega pada loyang dan alas dasar loyang dengan kertas kek. Panaskan kukusan dengan api yang besar.
- Pukul mentega dan gula hingga sebati. Masukkan telur satu persatu dan terus memukul hingga rata.
- Tambahkan esen vanilla dan pewarna merah jambu dan teruskan pukul. Akhir sekali masukkan tepung dan kepingan asam manis.
- Tuangkan adunan yang telah siap ke dalam loyang. Tutup loyang dengan kepingan aluminium foil.
- Kukus kek selama 1 jam dengan api yang besar atau sehingga kek masak dengan sempurna.
- Sejukkan kek sepenuhnya di atas redai setelah masak sebelum dipotong dan dihidangkan.
**Aluminium foil hendaklah disapukan mentega di permukaan yang hendak ditutup adunan. Maksudnya di sebelah bawah supaya kek tak melekat bila dah masak nanti. Selamat Mencuba.
Esok.... sekolah kami ditutup! Harap keadaan akan segera kembali pulih seperti sedia kala.... tapi entahlah... memandangkan sudah merata tempat pencerobohan dilakukan!


