Salam wangi seharum mawar merah sedang berkembang! Sejak pagi tadi, buka saja pintu dapur memang bau harum semerbak ros merah menusuk hidung. Jadi sepanjang hari ini hati sangat gembira sambil menyanyi-nyanyi menyiapkan kerja rumah dan ketika memasak di dapur. Kami menikmati hidangan Nasi Kuning Sambal Ikan Tongkol.
Resepi : Nasi Kuning Sambal Ikan Tongkol
Sumber : Amie's Little Kitchen
Nasi Kuning
Bahan-bahan:
5 pot rice cooker beras wangi - cuci dan toskan airnya
2 batang serai - dititik
3cm halia - hiris halus
1 sudu serbuk kunyit
1 sudu besar serbuk pati ayam Tumix
500ml pati santan
Cara:
1. Didihkan air dalam periuk pengukus.
2. Masukkan santan bersama serai, halia, serbuk kunyit dan serbuk pati ayam Tumis ke dalam kuali. Buka api dapur dan biarkan sehingga mendidih.
3. Masukkan beras dan kacau sekali-sekala sehingga beras kembang dan mengering.
4. Pindahkan beras dari kuali ke dalam periuk pengukus.
5. Kukus selama 15-20 minit atau sehingga nasi masak.
Sambal Ikan Tongkol
Bahan-bahan:
6 keping ikan tongkol
garam secukupnya
gula secukupnya
1 sudu teh kunyit
2 batang serai - diketuk
minyak
1sudu teh pati asam jawa
3/4 cawan air
Bahan kisar:
15 biji cili kering
5 biji bawang putih
7 biji bawang merah
1.5cm belacan
Cara:
1. Lumurkan ikan tongkol dengan garam dan kunyit. Goreng hingga masak. Ketepikan.
2. Panaskan sedikit minyak dalam kuali. Tumis semua bahan kisar sehingga terbit minyak.
3. Masukkan air, pati asam jawa dan serai.
4. Masukkan ikan tongkol yang telah digoreng. Biar masak sehingga kuah memekat.
5. Masukkan garam dan gula secukupnya.
6. Tutup api dan sedia untuk dihidangkan.
Amie sediakan sup yang sememangnya enak manis dengan kurma merah dan harum dengan bau cendawan shiitake. Amie campur dengan buah kundur dan juga kentang serta hirisan halia muda! Ha... di bawah ini ialah ros merah yang sentiasa mengembalikan kenangan manis lebih 18 tahun yang lalu....
Bunga ros merah desa yang harum semenrbak inilah yang si dia gunakan untuk mengorat Amie suatu ketika dahulu. Yang melucukan, si penghantar tersalah orang dan jambangan bunga ros bersama orkid diterima oleh kawan baik Amie. Ketika si dia menelefon kawan tadi untuk menyatakan duduk cerita sebenar, kawan Amie terlebih dahulu mengucapkan terima kasih di atas pemberian bunga itu! Ha... apa jadi selepas itu??? Sebenarnya waktu itu Amie pun tak tahu si dia mengirim bunga ros! Apa pun kalau sudah namanya jodoh, memang tak ke mana. Si dia tanam sepokok bunga ros di tepi rumah sewa Amie sewaktu kami bertunang, dan selepas diijabkabulkan.... berbungalah sekuntum ros merah yang sangat cantik! Ketika itu musim hujan, bertambah suburlah pokok bunga ros kami!Sekarang, walaupun lebih 11 tahun menghuni rumah sendiri, si dia tetap mengabadikan kenangan ros merah bersama. Ditanamnya pokok bunga ros merah ini di tepi dapur, dan bila Amie buka pintu... sekiranya ada bunganya, terciumlah semerbak mewangi ros desa ini. Mudah-mudahan begitulah cinta kami.... harum, mekar dan indah sepanjang masa!
Hmmm.... makan Nasi Kuning Sambal Ikan Tongkol sambil mengimbau nostalgia lalu.... manis dan indah!