Kalio Daging Tetel
5:33 PTG
Fuad dengan Fairuz tidak sabar-sabar untuk makan nasi berlauk Kalio Daging Tetel! Sabar ya anak-anak... biarlah Kalio Daging Tetel masak dengan sempurna, lembut dagingnya, dan meresap segala rempah-rempahannya. Tunggu beberapa minit lagi supaya terbit minyaknya agar kelihatan cantik... itu sebabnya Mummy gunakan api perlahan supaya masaknya sekata, dan molek sempurna hasil kejadiannya!
Terima kasih Umie Maria Hakem! Sekali lagi Umie titipkan resepi dari jauh... dari Cardiff! Moga Umie Maria diberi kesihatan yang baik dan cergas sepanjang waktu di perantauan! Ingin rasanya bertemu Umie Maria, tapi apakan daya.... Amie di Lahad Datu, Umie di United Kingdom. Nampaknya hanya FB & telefon sahajalah jadi penghubung kita ye Umie. Resepi asalnya, Umie cadangkan masak kalio daging tetel dengan nangka muda. Sayangnya, tidak terjumpa pula nangka muda di pasar seminggu dua ini! Bila Umie Maria kata bubuh kentang pun boleh, Amie pun terus bergegas ke dapur menyiapkan Kalio Daging Tetel ini. Kebetulannya, memang sebelum raya Encik Suami telah membeli daging tetel, tinggal menunggu nangka muda saja, tapi tak apalah ye Umie Maria, lain kali Amie cuba pula campur dengan nangka muda, dan sudah tentu rasanya enak berganda-ganda!
Anak-anak makan Kalio Daging Tetel dengan nasi, Amie cicah dengan buras ( sejenis makanan tradisional kaum Bugis, pemberian jiran). Dalam gambar di atas tu buras dari pulut hitam. Kalau ikutkan selera Fuad dengan Fairuz, habis satu kuali Kalio Daging Tetel dikerjakan, tapi Amie simpan sedikit untuk Encik Suami yang belum pulang dari kerja. Selebihnya kami tiga beranak makan sepuas-puasnya macam orang tak pernah makan! Memang tak pernah pun makan Kalio Daging Tetel yang enak ini!
Amie kongsikan resepinya di bawah ini.
Resepi : Kalio Daging Tetel
Sumber : Umie Maria Hakem (Cardiff)
Bahan-bahan:
1 kg daging tetel - (kebetulan daging yang dibeli sudah siap dipotong)
1 liter santan daripada 1 biji kelapa
1 batang serai - dititik
5 helai daun limau purut
garam / gula / perasa pilihan
minyak
(Amie tambah kentang kerana tak dapat cari nangka muda)
Bahan kisar:
15 biji cili padi
5 biji cili merah
5 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
2.5cm halia
2.5cm lengkuas
1 sudu makan ketumbar biji
1/2 sudu makan jintan putih
1/2 sudu makan jintan manis
1/2 sudu makan lada hitam
(Amie gunakan cili kering - sepatutnya gunakan cili padi & cili merah seperti dalam resepi supaya kuah nampak lebih cantik warnanya)
Cara:
1. Panaskan sedikit minyak. Tumis semua bahan kisar, dan serai sehingga terbit minyak.
2. Masukkan daging tetel dan gaul sebati. Masak sehingga daging tetel layu dan mengeluarkan air.
3. Tambahkan santan da perlahankan api, Renih sehingga daging tetel empuk.
4. Masukkan daun limau purut, garam, gula atau perasa pilihan.
5. Biarkan seketika dan tutup api dapur.
Kalio Daging Tetel yang Amie hasilkan ini nampak pekat. Menurut Umie Maria, kuahnya perlu banyak seperti masakan lomak!
Wokey... terima kasih banyak-banyak Umie Maria! Memang sodap! Nanti nak cuba yang campur nangka muda pulak... nak buat macam masak lomak, nak gunakan cili padi, dan lada hitam! Mesti terangkat punya!
2 comments
Sedap-sedap....
BalasPadamDaging tetel tu mcm mana ek? hohoho
BalasPadam