Bismillahirrahmanirrahim.
Di kesempatan ini Amie ingin kongsikan pengalaman menghadiri majlis berzanji di rumah jiran sebelah yang diadakan pada hari Khamis malam Jumaat. Majlis ini diadakan sempena meraikan pernikahan anak lelaki jiran kami yang akan melangsungkan pernikahannya keesokan paginya (Jumaat). Sewaktu kami melangkah masuk ke ruang tamu, kelihatan bakal pengantin lelaki sedang membaca Quran (khatam Quran). Pengantin lelaki ini umurnya di antara Fairuz dengan Fuad begitu. Waktu kanak-kanak mereka selalu bermain bersama, tetapi belajar di sekolah yang berbeza.
Antara tetamu yang hadir tediri daripada jiran tetangga dan saudara-mara.
![]() |
| Pengantin lelaki sedang khatam Quran. |
Kita pun terus menyelinap ke dapur tempat berkumpul kaum wanita menguruskan makan minum. Jadi, dapatlah tolong isi lauk-pauk dan kuih-muih ke dalam pinggan hidangan.
![]() |
| Kuih Nagasari |
Antara kuih yang disediakan termasuklah kuih nagasari.
![]() |
| Kuih Koci |
![]() |
| Dodol Bugis |
Pada mulanya apabila Amie lihat dari jauh, Amie sangka ini kek coklat yang dikukus dalam acuan lompang. Apabila tuan rumah mempersilakan kami makan (sambil susun kuih-muih dalam talam), lain pula rasanya! Rupanya sangkaan Amie salah. Ini namanya Dodol Bugis! Aduhai! Berketul-ketullah masuk Dodol Bugis dalam perut kita malam itu. Sudahlah lembut, tak liat, kurang manis pula. Memang tak pandai berhentilah suap ke mulut! Buat macam dapur sendiri hihihiiii.
Ada lagi satu kuih yang mengelirukan mata yang memandang! Nampak tak seperti potongan kek warna coklat kemerah-merahan dalam piring atas talam di hujung sana. Itu bukan kek! Itu ialah baulu pecak!
Malam itu sempat kupas telur rebus bubuh atas pulut. Ada dua jenis pulut iaitu pulut hitam dan pulut biasa. Ini dipanggil soko'.
Lauk istimewa soko' ini ialah Ayam Masak Lengkuas atau Nasu Likku.
Pelbagai jenis lauk-pauk disediakan oleh tuan rumah. Selain soko' dengan Ayam Masak Lengkuas, hidangan nasi biasa disajikan bersama lauk-pauk seperti udang. Rasa udang memanglah sedap tetapi masakannya juga terlebih sedap. Senang-senang nanti bolehlah sembang-sembang dengan jiran minta resipinya.... ahaks
Ada Ayam Masak Santan, Rendang Daging, Ikan Masak Sambal, Ayam Goreng Rempah dan Ikan Bolu Panggang.
Ikan Bolu Panggang itu memang cukup istimewa apabila dihidangkan bersama sambal khas sebagai pencecah.
Setelah selesai membantu siapkan hidangan dalam talam, tuan rumah ajak kita ke ruang tamu. Majlis berzanji sedang berlangsung.
Selesai majlis berzanji diadakan pula majlis berinai. Eh, rupanya ada malam berinai untuk pengantin lelaki. Teruknya kita, baru tahu. Maklumlah hidup dalam masyarakat pelbagai kaum, Sudah tentu sedikit sebanyak terdapat perbezaan adat mereka. Walaupun majlis ini hanya dihadiri oleh keluarga terdekat dan jiran tetangga, tetapi tuan rumah ajak kita dan Encik Suami 'menginai' bakal pengantin. Tak ada gambar kami inai pengantin ...hiks!
Seterusnya, tuan rumah (isteri) ajak kita untuk saksikan upacara seterusnya. Sayangnya kita terlupa, tak dapat ingat apa nama adat ini (dalam bahasa Bugis).
Kita sempat melihat pisang disuap ke mulut bakal pengantin.
Sekarang selesailah sudah majlis berzanji, merangkap majlis khatam Quran, majlis berinai dan (tak tahu nak sebut).
Bacaan doa makan.
Para tetamu sedang menjamu selera.
Demikianlah sedikit perkongsian majlis berzanji di rumah jiran sebelah. Esok, hari Ahad akan diadakan majlis bersanding pula.








































