Subuh di Masjidil Aqsa
12:00 PTGBismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum tuan/puan
29/12/25 Isnin (Palestine)
4:40 Berkumpul di Lobby untuk ke masjid.
5: 10 Masuk Subuh. Balik subuh terus sarapan.
8:00 Bergerak ke Maqam Nabi Daud - Hebron Palestin.
Sama-sama berdoa semoga dipermudahkan urusan kita semua.
Tour leader maklumkan kepada kami setelah berhubung dengan pihak hotel, katanya khidmat buggy hanya setekat hotel dengan pintu masuk bahagian luar ke Masjidil Aqsa sahaja. Bermakna kami perlu menempuh perjalanan yang sama jaraknya seperti kelmarin.
Memandangkan tiada perkhidmatan buggy sehingga ke dataran Masjidil Aqsa, Amie cadangkan Encik Suami supaya berehat sahaja di hotel. Malam tadi pun Encik Suami tidak ada selera makan. Risau pula tenaganya tidak mencukupi untuk perjalanan di pagi hari yang dingin itu. Encik Suami bersetuju. Jadinya waktu subuh nanti Amie dengan Firdaus sahajalah yang akan menyertai ahli rombongan ke Masjidil Aqsa. Kami ada dua hari lagi di sini. In syaa Allah pada hari seterusnya, setelah kembali bertenaga mudah-mudahan Encik Suami dapat turut serta solat di Masjidil Aqsa.
Pukul 3:30 pagi Amie bangun dan mandi. Kemudian Amie bangunkan Firdaus untuk bersiap ke Masjidil Aqsa. Tidak lama kemudian Encik Suami pula masuk bilik air dan mandi. Amie tanya kenapa mandi awal sangat? Kata Encik Suami : Hendak solat subuh di Masjidil Aqsa!
Di celah kedinginan pagi, kami redah lorong-lorong berliku dari Bab al-Amud. Hujan yang turun rintik-rintik menimpa baju kami tetapi syukurlah tidak basah kerana kami memakai baju sejuk dan beg sandang jenis kalis air.
Tentera ada di mana-mana lorong sepanjang perjalanan kami ke Masjidil Aqsa. Ada yang berkawal sambil makan roti, dan ada yang bercerita sesama mereka. Dalam hati berkata: Untuk apalah bersengkang mata menjaga kami di subuh yang dingin ini. Tidur berselimut di rumah lagi bagus.... ahaks!
Pintu masuk Masjidil Aqsa hanya dibuka sejam sebelum masuk waktu subuh dan ditutup sejam selepas waktu isya setiap hari. Ketika kami jejakkan kaki di bawah pokok zaitun menuju ke dataran Dome of the Rock, kedengaran bunyi dentingan loceng dari gereja yang berdekatan.
| Berdiri di dataran antara Masjid Qibli dan Dome of the Rock. |
| Masjid Qibli |
Langkah Encik Suami tidak lagi seperti biasa. Beberapa kali dia berhenti, seolah-olah keletihan mula menguasai tubuhnya. Amie hanya mampu memerhati dari belakang dan kadang-kadang berjalan di sisinya, sambil dalam hati berdoa agar Encik Suami terus diberikan kekuatan.
Ketika itu, Amie mula mengerti, bukan mudah untuk sampai ke sini dan dengan ini sudah tentulah Encik Suami lebih sukar lagi untuk melepaskan peluang untuk solat subuh di Masjidil Aqsa. Pengalaman menunaikan umrah tiga tahun lalu di musim sejuk di Tanah Arab tidak sama seperti di Jerusalem. Encik Suami tidak lepaskan peluang mengikuti lawatan, mendaki pelbagai bukit di Madinah dan menapak hingga ke Gua Hira' di Makkah dengan mudah.
Hari ini faktor usia dan tenaga perlu diambil kira!
Masing-masing sudah berusia emas, sudah jadi merpati senja.
Semangat dan keinginan itu ada tetapi tenaga sudah mula berkurangan.
| Pagi pertama di Jerusalem. |
1 comments
subhanallah perkongsian pengalaman dan pic menarik mengujakan
BalasPadam