Daftar Masuk Harmony City Hotel dan Perjalanan Menuju ke Masjidil Aqsa
8:27 PTGBismillahirrahmanirrahim.
Lebih kurang pukul 3:15 petang kami daftar masuk di Harmony City Hotel. Menurut tour leader, tempat penginapan kami merupakan salah satu tempat yang hampir dengan Masjidil Aqsa. Alhamdulillah, memandangkan kami akan berada di sini selama tiga malam, hal ini akan memudahkan kami untuk menunaikan solat di masjid tersebut. Perjalanan dari hotel ke Masjidil Aqsa mengambil masa sekitar 20 minit.
Harmony City Hotel berada di luar Kota Lama (Old City Jerusalem) manakala Masjidil Aqsa pula terletak di dalam kawasan Kota Lama. Untuk sampai ke Masjidil Aqsa dari hotel perlu berjalan kaki sejauh 1 hingga 1.6 kilometer bergantung lorong yang dilalui. Biasanya perlu masuk melalui pintu seperti Bab al-Amud (Damascus Gate) atau Jaffa Gate, kemudian berjalan ke arah kompleks Al-Aqsa
| Firdaus di luar Harmony City Hotel. |
Pada mulanya kami sangka Harmony City Hotel hanya hotel bajet tetapi bukan! Tempat penginapan ini lebih kepada hotel kategori sederhana (mid-range). Harmony City Hotel ini menawarkan bilik selesa, kemudahan moden dan sarapan serta merupakan salah satu lokasi dekat tempat utama seperti Al-Aqsa & Old City (walking distance).
Dari segi harga untuk hotel bajet di Jerusalem biasanya di bawah USD100 (RM450.00) semalam, manakala hotel sederhana seperti Harmony City Hotel sekitar USD100 - USD200 semalam.
Apabila Amie rujuk Pak Google, katanya Harmony City Hotel Jerusalem ialah hotel 4 bintang. Maksud 4 bintang itu dinilai dari segi kemudahan lengkap seperti WiFi, lounge, sarapan, dan sebagainya. Kesimpulannya, bilik selesa dan moden, khidmat yang baik dan sederhana selesa.
| Satu bilik ada tiga katil single. |
Ramai pelancong memang perasan perkara ini, iaitu hotel 4 bintang di Palestin nampak lebih sederhana berbanding di negara kita. Ini bukan kerana tak cukup bagus, tetapi lebih kepada beberapa faktor penting umpamanya:
- Standard penarafan berbeza.
Sistem bintang bukan global sepenuhnya. Di negara kita, penarafan hotel dikawal ketat oleh Kementerian Pelancongan Malaysia dengan standard fasiliti yang tinggi. Di Palestin, penarafan mungkin lebih fleksibel dan bergantung kepada pihak tempatan, jadi 4 bintang di sana tidak semestinya setara dengan 4 bintang di Malaysia. - Keadaan ekonomi dan politik.
Palestin berdepan situasi geopolitik yang kompleks. Pelaburan dalam sektor pelancongan tidak semewah negara seperti Malaysia. Banyak hotel beroperasi dengan bajet yang lebih terhad. - Fokus kepada fungsi, bukan kemewahan.
Hotel di Palestin lebih menekankan kebersihan, keselesaan asas dan lokasi strategik contohnya dekat Masjid Al-Aqsa. Berbanding di negara kita Malaysia, hotel di sana kurang fokus kepada dekorasi moden dan kemudahan mewah seperti spa besar atau kolam renang premium - Bangunan lama dan warisan sejarah.
Banyak hotel di kawasan seperti Jerusalem adalah bangunan lama, ada nilai sejarah tinggi, sukar diubahsuai secara besar-besaran, jadi nampak klasik atau sederhana - Jenis pelancong berbeza.
Ramai yang datang ke Palestin adalah pelancong keagamaan dan ziarah tempat suci. Jadi keutamaan mereka bukan hotel mewah, tetapi dekat tempat ibadah, selamat dan mudah akses.
Hotel 4 bintang di Palestin bukan kurang bagus, tetapi standardnya berbeza kerana faktor budaya, ekonomi dan tujuan pelancongan. Kalau dibandingkan secara terus dengan Malaysia dan negara lain yang industri pelancongannya sangat maju, memang akan nampak perbezaan.
Kalau diikutkan hati rasanya hendak terus masuk dalam selimut dan hangatkan diri di bawah suhu 15'C ketika itu. Namun kami dikehendaki berada di lobi sebelum pukul 4:20 petang. Hal ini kerana kami perlu berjalan menuju ke Masjidil Aqsa sebelum tiba waktu maghrib yang dijadualkan pada pukul 4:50 petang. Maghrib di sini 4:50 petang, bukan 5:50 petang atau 6:50 petang! Takut sudah baring atas katil, terlajak tidur pula! Waktu isya pula pukul 6:10!
Kami ditempatkan di Bilik 201, tingkat dua.
Ketika selak langsir, dapatlah melihat pemandangan di luar.
Di tepi tingkap hotel ada pokok lemon.
Seperti biasa, tidak sempat buka televisyen skrin rata! Masuk bilik hanya untuk bersihkan diri dan tidur sahaja,
Antara kemudahan asas yang disediakan termasuklah tuala, tisu, sterika, minuman dan juga sejadah dan juga senaskhah al-Quran.
Tuala yang disediakan berbau harum!
Bilik airnya pun selesa. Yang penting ada water heater!
Kelengkapan mandian tersusun rapi.
Kesemuanya berasaskan dead sea minerals.
Tepat 4:20 petang kami keluar dari hotel dan bergerak menuju ke Masjidil Aqsa. Ketika ini hujan turun renyai-renyai. Suhu yang sudah sedia sejuk bertambahlah sejuknya!
Mulakan langkah dengan menyebut nama Allah : Bismillahirrahmanirrahim.
Kami perlu berjalan melalui kaki lima hotel dan premis perniagaan dan seterusnya melewati lampu isyarat untuk sampai ke seberang jalan.
Pada perasaan kami pukul 4:20 petang itu masih siang, tetapi di sini sudah menghampiri senja!
Sewaktu menunggu lampu isyarat bertukar warna, mata sempat merenung Bab al-Amud (Bab al-‘Amud), juga dikenali sebagai Damascus Gate di Jerusalem di seberang jalan.. Pintu gerbang batu besar dengan reka bentuk kubu benteng ini kelihatan sangat kukuh. Bahagian atas berbentuk bertingkat seperti tembok pertahanan dan laluan masuk melengkung (arch) yang dalam.
Lampu isyarat masih merah, dan angin musim sejuk di Jerusalem menusuk hingga ke tulang. Nafas yang keluar kelihatan seperti asap halus di udara dingin senja itu. Namun dalam kesejukan yang menggigit itu, hati kami hangat dengan satu tujuan iaitu menuju ke Masjidil Aqsa.
Apabila lampu bertukar hijau, kami melangkah melintas jalan raya. Di hadapan kami berdiri pintu batu yang gah, Bab al-‘Amud, pintu yang telah menyaksikan perjalanan manusia sejak berabad lamanya. Dibina semula pada zaman Sultan Suleiman the Magnificent, namun asal-usulnya jauh lebih lama, sejak zaman Rom lagi. Betapa ramai manusia yang pernah melintasi pintu ini dan kini, giliran kami.
Langkah demi langkah mendekati pintu batu yang gah itu terasa seperti memasuki lembaran sejarah. Dindingnya yang tua dan kukuh seakan menjadi saksi perjalanan para nabi, ulama dan umat Islam sejak berabad lamanya. Di sinilah laluan manusia dari pelbagai pelosok dunia bersatu, membawa doa dan harapan yang sama.
Melangkah masuk melalui Bab al-Amud, kami seakan memasuki dunia yang berbeza. Lorong-lorong sempit diwarnai dengan gerai buah-buahan segar, cenderamata dan kain-kain berwarna-warni.
Jauh di sudut hati sempat membisikkan rasa syukur kepada-Nya kerana diberi kesempatan melepasi Bab al-Mud!
Udara dingin masih terasa, tetapi perjalanan ini semakin hangat dengan rasa teruja. Setiap lorong yang dilalui seperti membawa kami semakin dekat dengan Masjidil Aqsa. Di balik dinding batu yang tebal dan banyak lorong, entah di mana letaknya tempat suci kiblat pertama umat Islam itu!
Namun perjalanan ini tidak sunyi dari ujian.
Kami simpan baik-baik HP di dalam beg. Di sana-sini ada mata-mata yang sedang memerhatikan kami.
Kami simpan baik-baik HP di dalam beg. Di sana-sini ada mata-mata yang sedang memerhatikan kami.
Kami perlu berdepan dengan pemeriksaan tentera Isra. Pandangan mereka tajam, gerak geri kami diperhatikan. Semua beg kami diperiksa. Ada rasa debar di dada. Namun kami tetap berjalan tenang, menundukkan pandangan, sambil dalam hati tidak putus berdoa agar dipermudahkan. Teringat pesan tour leader : Buat-buat bodoh sahaja di depan tentera Isra tapi jangan nampakkan sangat bodoh itu!
Dalam dingin yang mencengkam, dalam suasana yang penuh berhati-hati, langkah tetap diteruskan dari lorong ke lorong!
0 comments