ADSENSE

Sabtu, 3 Januari 2015

Enaknya Meratah Sambal Goreng Kering!

Ini masakan tahun lepas, penghujung tahun 2014! Ada doa selamat di kampung, jadi kami setiap keluarga membawa serba sedikit makanan untuk dijamah bersama. Memandangkan Firdaus susah nak lepaskan Amie ke dapur, jadi Amie terfikir alangkah baiknya dapat menyediakan sesuatu yang mudah dan Amie tidak perlu berlama-lama di dapur, dan tidak pula kelam kabut bila tiba masanya untuk membawa makanan tersebut ke kampung.  Salah satu menu yang Amie sempat buat ialah Sambal Goreng Kering. Sambal ini boleh disediakan beberapa hari lebih awal sebelum kami pergi kampung.

Malangnya tempe pula tidak ada. Encik Suami kata semua kedai dan pasar tidak jual tempe! Kenapa ye? Bila Amie telefon Bonda, jawab Bonda bukankah sekarang musim hujan. Ragi yang digunakan untuk membuat tempe perlu dijemur sehingga kering di bawah panas matahari sebelum digaul bersama kacang soya ... oh ye ke! Itu sebab kot tempe tak ada di pasaran beberapa hari belakangan ini. Tak ada tempe pun tidak mengapa kata Bonda. Buatlah dengan bahan yang ada, katanya lagi.

Gambar atas merupakan Sambal Goreng Kering yang Amie buat semasa bercuti di kampung tempohari. Pada masa itu kami gotong-royong menyediakannya sehinggalah siap. Boleh klik DI SINI untuk resepinya.
Gambar di bawah ini pula gambar Sambal Goreng Kering yang Amie hasilkan tanpa tempe, tapi Amie lebihkan suhun. Selain kacang tanah, Amie tambahkan kacang gajus. Berbanding dengan resepi tempohari, Amie tambahkan udang kering dan bawang putih goreng.

Kita lihat resepinya di bawah ini:

Bahan-bahan:
1.5 kg kentang - potong / hiris nipis
1/2 kg ikan bilis - bersihkan dan belah dua
400gram suhun
300 gram tauhu kering (fucuk) - gunting ukuran 2 cm X 2 cm
300 gram kacang tanah
400 gram kacang gajus - pilihan
1 1/2 cawan bawang putih goreng
1 sudu makan pati asam jawa
3/4 cawan gula pasir
garam / perasa pilihan secukup rasa
minyak

Bahan kisar:
40 biji cili kering
1 cawan udang kering - rendam hingga lembut
15 ulas bawang putih
1/2 kg bawang merah
3 cm halia

Cara:
1.  Goreng satu persatu bahan sehingga garing termasuk kentang, ikan bilis, kacang tanah, (kacang gajus) suhun dan fucuk / tauhu kering.
2. Untuk menjimatkan masa, semasa menggoreng bahan-bahan yang disebutkan di atas, bolehlah sambil sediakan sambal. Gunakan kuali yang besar, anggaran muat untuk menggaul kesemua bahan gorengan tadi.Tumis kesemua bahan kisar sehingga pecah minyak. Kemudian tambahkan asam jawa, gula, garam / perasa pilihan. Tumis hingga benar-benar masak sehingga terbit minyak dan sambal menjadi pekat dengan api perlahan.
3. Padamkan api dapur. Masukkan tempe, kentang, ikan bilis, suun dan juga tauhu kering. Gunakan 2 batang sudip untuk menggaul. Ketika menggaul, patahkan suhun dan tauhu kering (jika tidak digunting sebelum digoreng) dengan menggunakan sudip.
4. Akhir sekali masukkan kacang tanah (kacang gajus) dan bawang putih goreng. Gaul sekali lagi hingga rata.
5. Biarkan Sambal Goreng Kering sejuk sebelum disimpan dalam bekas kedap udara.
Adapun Sambal Goreng Kering ini kami ratah-ratah bersama keluarga dan sanak saudara! Rasa susah nak berhenti .....

Ambil semangkuk tak cukup sepiring,
Pingganku sumbing orang tertawa,

Ada yang panggil Sambal Goreng Kering,
Tak kurang yang kata Sambal Goreng Jawa!

2 ulasan:

Bbwana adienia berkata...

x pernah pula wana makan sambal goreng kering ni..tapi nampak menarik..teringin juga wana nak rasa.. :)

Cik Wan berkata...

kalau macam ni Cik Wan ratah je...sayang nak mkn dengan nasi hehehe