ADSENSE

Jumaat, 5 Disember 2014

Resepi Orang Jawa Kampungku : Sambal Goreng Kering

Kami sampai kampung pada petang 25 November. Syukur Alhamdulillah, sempat menghadirkan diri dalam majlis kenduri tahlil dan doa selamat di rumah kakak di Batang Berjuntai pada 27 November. Tercapai hasrat Bonda dan kakak tunggu kepulangan kami untuk bersama dalam majlis tersebut, dan kata Bonda doa selamat itu untuk dua orang kakak Amie yang akan tunaikan umrah pertengahan Disember ini. Moga selamat pergi dan selamat kembali.... mudah-mudahan akan mendapat umrah yang mabrur.... amin ya Allah.

Amie ambil kesempatan balik kampung dengan mempelajari resepi warisan keluarga kami, dan juga yang menjadi kebiasaan dalam menu masakan orang kampung kami. Resepi Sambal Goreng Kering ini selalunya kami buat ketika menyambut hari raya, dan juga untuk dijadikan salah satu di antara berjenis-jenis lauk untuk nasi ambeng. Kebiasaannya untuk menjimatkan masa, kami juga buat sambal goreng basah tapi jika ada banyak masa memang Sambal Goreng Kering jadi pilihan kami. Sambal ini tahan untuk beberapa hari. 

Amie berkira-kira untuk membawa Sambal Goreng Kering ke tempat kenduri, di rumah kakak di Batang Berjuntai. Jadi, pada 26 November, kebetulan ada pasar malam di Bukit Cheraka, dapatlah Amie membeli keperluan untuk Sambal Goreng Kering. Bonda kata, tempoh nak sediakan menu ini memakan masa yang agak lama, dan biasanya Bonda buat dua atau tiga hari sebelum kenduri atau sebelum menjelang hari raya. Sebenarnya banyak versi resepi ini, tapi terpulang kepada citarasa dan kemampuan seseorang untuk memilih bahannya. 

Amie gunakan 35 keping tempe yang dibungkus dalam kertas dan daun pisang. Tempe yang Amie gunakan ini tempe buatan orang kampung kami. Harganya 40 sen sekeping. Amie lihat Kak Ros potong bentuk dadu. Kepingan tempe dibelah empat dan kemudian dihiris nipis. Begitu juga dengan kentang. Kak Ros kupas 2.5 kg kentang dan hiris nipis sama bentuk seperti hirisan tempe. 
Apa pun terpulanglah nak hiris macamana, yang penting kalau nak buat sambal kering ni kenalah hiris nipis.
Bonda pula bantu membersihkan ikan bilis sebanyak 1 kg. Kalau tak mahu gunakan ikan bilis, boleh gantikan dengan udang kering. Nampaknya, sepanjang malam kami bergotong royong membuat Sambal Goreng Kering. Bahan yang Amie gunakan ini Amie agak-agak mencukupi untuk disajikan kepada lebih 50 orang tetamu.

Bahan-bahan:
35 keping tempe - potong / hiris nipis
2.5 kg kentang - potong / hiris nipis
1 kg ikan bilis - bersihkan dan belah dua
300 gram suhun
300 gram tauhu kering (fucuk) - gunting ukuran 2 cm X 2 cm
1/2 kg kacang tanah
1 cawan bawang putih goreng
1 sudu makan pati asam jawa
3/4 cawan gula pasir
garam / perasa pilihan secukup rasa
minyak

Bahan kisar:
50 biji cili kering
1/2 cawan udang kering - rendam hingga lembut
15 ulas bawang putih
1/2 kg bawang merah
3 cm halia

Cara:
1.  Goreng satu persatu bahan sehingga garing termasuk tempe, kentang, ikan bilis, kacang tanah, suhun dan fucuk / tauhu kering.
2. Untuk menjimatkan masa, semasa menggoreng bahan-bahan yang disebutkan di atas, bolehlah sambil sediakan sambal. Gunakan kuali yang besar, anggaran muat untuk menggaul kesemua bahan gorengan tadi.Tumis kesemua bahan kisar sehingga pecah minyak. Kemudian tambahkan asam jawa, gula, garam / perasa pilihan. Tumis hingga benar-benar masak sehingga terbit minyak dan sambal menjadi pekat dengan api perlahan.
3. Padamkan api dapur. Masukkan tempe, kentang, ikan bilis, suun dan juga tauhu kering. Gunakan 2 batang sudip untuk menggaul. Ketika menggaul, patahkan suun dan tauhu kering (jika tidak digunting sebelum digoreng) dengan menggunakan sudip.
4. Akhir sekali masukkan kacang tanah dan bawang putih goreng. Gaul sekali lagi hingga rata.
5. Biarkan Sambal Goreng Kering sejuk sebelum disimpan dalam bekas kedap udara.

Alhamdulillah.... Sambal Goreng Kering hanya tinggal kenangan!
Tak tahu bila larat nak buat lagi!

14 ulasan:

Cheq Sue berkata...

Walaupun saya buka 'jawa'..... tapi saya gemar sgt sambal kering ni kak amie. Cuma tauhu je x makan...

adda syuhada berkata...

dah lama tak mkn sambal gini...

rahel berkata...

sedapnya ni kak...nanti boleh buat guna resep ni...tq

ICook4Fun berkata...

Apa itu Suun in the ingredients list Cik Amie?

Amie berkata...

Cheq Sue,
saya pun tak minat tauhu tapi yang ni saya suka sebab guna tauhu kering.

Adda,
saya pun dah lama tak makan, tu pasal cari pasal masak-masak he hehhe..

Rahel,
silakan bu

ICook4Fun,
suun tu sebutan kami, ejaan sebenar ialah suhun,

Umie Jazz berkata...

Assalamualaikum amie pasti berselera kalau dpt makan dgn nasik pnas..digaul pulak sambalnya dgn nasik...

Temuk berkata...

Amie
Yang ini memang "one of the best Javanese dishes"! Ngiler terkenangkannya... yang arwah ibu ayahanda biasa sediakan.

Amie berkata...

Ummie,
Waalaikumussalam... betul tu... kalah lauk lain he hehhe.

Ayahanda Temuk,
inilah kesempatan keemasan untuk Amie abadikan resepi orang kampung di sini... moga resepi ini tak lapuk dek hujan & tak lekang dek panas!

sue berkata...

nak buat la...suke sambal ni...sy guna resepi ni ye..tq..

D'ZB USRATI PRODUK berkata...

Salam Amie. Sambal ni boleh tahan berapa lama ya? Halalkan resepi yg sy ambil.T.kasih.

eriq eina berkata...

org kg sy,kg bkt kuching,law setiap knduri wajib ada,,mmg pebret la....kecor air liur ni...

eriq eina berkata...

org kg sy,kg bkt kuching,law setiap knduri wajib ada,,mmg pebret la....kecor air liur ni...

frida norm berkata...

Assalamuaalaikum Kak Amie.
Sekian lama saya jadikan blog kak Amie sumber rujukan masakan saya. Hari ini mencari resepi sambal Jawa kering ni... terbaca pula nama kampung di BB tu. MasyaAllah... tempat saya tu!!

Salam kenal ya Kak Amie.
Bundawidya.

Aminah sayed kamaruddin berkata...

SEDAP NAMPAKNYA ..IZINKAN SAYA CUBA RESIPI INI.. TRIMA KASIH