Bismillahirrahmanirrahim.
Jom tambah ilmu tentang hidupan akuatik terutamanya ikan di laut pantai timur Sabah khususnya di Lahad Datu. Kali ini Amie kongsikan ikan basung. Ikan basung ini sebenarnya ada beberapa jenis. Seorang peniaga ikan di Pasar Ikan LD pernah beritahu Amie bahawa ikan basung ekor hitam lebih sedap berbanding ikan basung ekor putih. Sebenarnya Amie pun tidak tahu perbezaan rasa di antara keduanya kalau peniaga tersebut tidak beritahu!
Bagaimanapun, Amie tahu bahawa ikan basung ekor merah memang sedap! Lagilah kalau dapat saiz agak besar dan digoreng lembik-lembik maka terbitlah rasanya yang lemak dan terasalah manis segarnya. Namun begitu, kewujudan ikan basung ekor merah agak jarang ada di pasar. Kalau kami terjumpa, memang tidak akan lepaskan peluang untuk membelinya.
| Ikan Basung Ekor Merah |
Terlebih dahulu mari kita cerita sedikit tentang keluarga ikan basung ini. Badannya bersisik halus, bentuknya memanjang, langsing dan isinya padat. Nama lain bagi ikan ini ialah:
- Ikan Selayang / Ikan Selayang Mata Besar
- Ikan Sardin
- Ikan Curut
- Ikan Tumoh
- Ikan Selayang Lampai
- Ikan Layang Benggol
- Ikan Layang Jepang
- Ikan Korok
- Indian Scad
- Mackerel Scad
Rujukan : Talk About Fish
Kadang-kadang dalam longgokan ikan basung yang dijual di Pasar LD sama ada ikan basung ekor putih, ekor hitam atau ekor merah terdapat bentuk yang berbeza. Misalnya ada yang bentuk bulat panjang, ada yang agak pipih sedikit dan matanya pula ada yang kecil dan mata besar. Pakar ikan tentu tahu ada nama yang membezakannya tetapi Amie tidak arif tentang itu.
Misalnya dalam sekilogram ikan basung ekor merah yang kami beli, apabila sampai di rumah nampaklah perbezaannya seperti gambar di bawah.
| Ikan Basung Ekor Merah : Ada yang bermata besar, dan ada yang bermata saiz biasa dan bentuk badannya bulat memanjang. |
| Ikan Basung Ekor Merah dengan bentuk badannya yang agak pipih. |
| Ini pula terselit seekor ikan basung ekor putih. |
Gambar atas dan bawah : Ikan Basung
| Ikan Basung Ekor Merah Mata Besar |
Biasanya penduduk tempatan akan goreng garing ikan basung dan dihidangkan dengan sambal kicap. Selain itu, untuk mengekalkan kesegaran dan keenakan ikan basung, biasanya mereka akan masak ampap. Ada juga peniaga yang membuat sambal ikan basung sebagai lauk nasi kuning.
| Set Nasi Ikan Basung |
Ikan basung bukan hanya boleh dinikmati dari dapur sendiri tetapi sudah terkenal sebagai satu set hidangan di restoran di LD. Istimewanya, ikan ini akan digoreng apabila pelanggan membuat pesanan. Jadi, dapatlah menikmati keenakannya dijamah bersama nasi ketika masih panas. Ditambah pula dengan pencecahnya yang terdiri dari cili padi, sambal tomato, hirisan mangga muda serta ulam-ulaman seperti latok.
Biasanya ikan basung @ selayang goreng yang dihidangkan di restoran ialah ikan basung jenis ekor hitam atau ekor putih dan dalam satu set hidangan diletakkan lima ekor. Puaslah meratah!
Bismillahirrahmanirrahim.
Buku Anekdot Raya : Hikmah Aidil Fitri 1443 Hijriah sebenarnya diterbitkan pada tahun 2022, tetapi Amie terlupa untuk jadikan entri. Buku ini adalah terbitan eksklusif Syahida Hassan Enterprise (SHE) dengan nukilan pengalaman beraya dalam tempoh pandemik oleh 14 orang penulis. Hasil tulisan Amie kali ini bertajuk : Itik Panggang Sos Plum.
| Hikmah Aidil Fitri |
| Anekdot Seronoknya Raya : Hikmah Aidil Fitri 1443 Hijriah |
Pandemik akibat wabak Covid-19 telah menukar kehidupan masyarakat seluruh dunia 180'. Kemeriahan sambutan Aidil Fitri tidak dapat dinikmati, sehingga mewujudkan suasana hiba. dua tahun umat Islam terpaksa menyambut perayaan dalam suasana terkurung disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara. Setelah dua tahun wabak ini diperangi, terpancar sinar untuk tahun ini, Aidil Fitri dapat disambut kembali dengan meriah.
Itik Panggang Sos Plum mengisahkan suasana sambutan hari raya tanpa kehadiran Farid dan Fuad. Farid berada UTP di Perak dan Fuad pula di UTHM Johor. Mereka terperangkap oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Hendak beraya ke rumah nenek mereka di Selangor pun tidak boleh. Namun begitu, pada masa yang sama kerajaan mengumumkan ziarah Aidil Fitri selama tiga hari di Sabah di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat.
Kesempatan PKPB ini digunakan untuk mengadakan rumah terbuka untuk keluarga terdekat sahaja. Salah satu hidangan hari raya yang sangat digemari oleh keluarga sebelah suami ialah itik yang diolah mengikut resipi keluarganya. Mereka sudah menyediakan dua ekor itik bersaiz besar (3 kilogram setiap seekor) yang akan dimasak pada hari tersebut.
Sewaktu hendak memasak itik, watak aku (ibu) teringat Fuad yang sangat suka makan itik. Pada masa yang sama teringat pula kata-kata arwah emak mentua: Anak-anak emak tak makan itik selain itik yang emak masak. Yang watak aku fahami maksudnya ialah: Anak-anak emak (ipar duai) tidak akan menjamah menu itik selain olahan yang sama seperti air tangan arwah emak mentua.
Arwah emak mentua akan merebus itik hingga empuk, kemudian dilumur dengan lada putih tumbuk bersama bahan perasa dan digoreng tenggelam dalam minyak yang banyak!
Akibat teringat-ingat Fuad, akhirnya watak aku tersalah masak itik! Watak aku memasak itik mengikut resipinya sendiri yang memang turut digemari anak-anak iaitu Itik Panggang Sos Plum. Ketika para tetamu datang, aku menghidangkan semua hasil masakannya, kecuali itik panggang. Apabila suami aku bertanya, aku mengatakan tersalah masak dan tidak ikut resipi arwah emak.
| Tart Nona |
Pihak penerbit meminta beberapa keping gambar yang berkaitan dengan anekdot Itik Panggang Sos Plum. Amie kirimkan gambar tart nona, antara kuih raya yang dihidangkan dan juga Itik Panggang Sos Plum. Resipinya ada di sini: ITIK PANGGANG SOS PLUM.
| Gambar-gambar yang terdapat dalam Anekdot Seronoknya Raya. |
| Gambar Fuad ketika sambutan hari raya tahun 2022, membantu cuci pinggan di dapur sewaktu rumah terbuka raya. |