Di Sebalik Hujan dan Sekatan : Teruskan Langkah Ziarah ke Makam Nabi Ibrahim A.S
1:54 PTGBismillahirrahmanirrahim.
Walaupun hujan rintik-rintik tidak berhenti, namun langkah kami diteruskan juga untuk ziarah Makam Nabi Ibrahim A.S. di Masjid Ibrahimi. Kawasan itu berada di bandar Hebron dan merupakan antara lokasi paling sensitif di Palestin kerana ia dikongsi serta dipertikaikan antara umat Islam dan Yahudi. Untuk memasuki kawasan ini tidaklah semudah yang disangka sebagaimana kami menziarahi Makam Nabi Daud A.S : Ke Hebron City dan Ziarah Makam Nabi Daud A.S di Bukit Zion
Sebab utama pemeriksaan dan sekatan ketat oleh tentera Isra di pintu masuk disebabkan:
- Faktor keselamatan dan konflik politik.
Kawasan Hebron sudah lama menjadi kawasan ketegangan antara penduduk Palestin dan penempatan Yahudi Isra. Oleh itu, tentera Isra meletakkan kawalan keselamatan yang sangat ketat. - Sejarah serangan di lokasi tersebut.
Pernah berlaku insiden berdarah di masjid tersebut, termasuk pembunuhan beramai-ramai tahun 1994 ketika jemaah sedang solat. Selepas itu, kawalan keselamatan diperketat dan sebahagian masjid dibahagi kepada ruang Muslim dan Yahudi. - Pusat pemeriksaan (checkpoint).
Pengunjung biasanya perlu melalui pengimbas, pemeriksaan beg dan dokumen. Pada hari tertentu, terutama musim cuti, hari kebesaran agama atau keadaan politik tegang, proses menjadi lebih lama. - Hebron di bawah kawalan khas.
Sebahagian kawasan bandar berada di bawah kawalan ketenteraan Isra, menyebabkan pergerakan penduduk Palestin dan pelawat sering terbatas.
Ramai pelawat dari seluruh dunia memang berkongsi pengalaman bahawa proses masuk terasa melelahkan dan mengambil masa. Namun bagi umat Islam, mereka tetap datang kerana tempat itu sangat mulia dan dikaitkan dengan Nabi Ibrahim AS serta keluarga baginda.
| Papan tanda arah ke Ibrahimi Mosque. |
Sebaik turun dari bas, kami menuruni dataran landai. Jalan yang kami lalui sebelum sampai ke sekatan menuju Masjid Ibrahimi itu berada dalam kawasan penempatan atau perkampungan rakyat Palestin di bandar lama Hebron (Al-Khalil). Kawasan sekitar masjid tersebut ialah sebahagian daripada Kota Lama Hebron yang sejak dahulu didiami masyarakat Palestin.
Namun suasananya berbeza daripada kampung biasa kerana kawasan itu berada di bawah kawalan keselamatan yang sangat ketat. Sebelum memasuki masjid, pengunjung biasanya perlu melalui lorong sempit, kedai-kedai lama Palestin, rumah penduduk, dan beberapa sekatan tentera Isra.
Amie gambarkan pengalaman di sini sebagai penuh pemeriksaan keselamatan, ada pintu pengesan logam, tentera berkawal, manakala pergerakan penduduk Palestin agak terbatas.
Selepas gambar di bawah, kami simpan telefon dan berbaris. Di bawah rintik hujan, seorang demi seorang melalui pintu kawalan tentera Isra untuk diperiksa. Setiap seorang melangkah masuk dengan beg masing-masing dan letakkan beg di atas kaunter. Tentera yang memeriksa beg kami hanya keluarkan tangan sahaja, sedangkan bahagian kepalanya disekat terlindung oleh dinding. Jadi, hanya kelihatan tangannya sahaja tanpa kepala. Kami hanya bawa beg kecil sahaja tetapi beg kami tetap diambil, dibuka dan dikeluarkan satu persatu barang yang ada. Tentera-tentera yang berkawal dilengkapi dengan senjata dan memakai penutup wajah.
Di sekitar Masjid Ibrahimi memang terdapat banyak kawalan keselamatan dan peraturan pergerakan. Rombongan pelancong atau jemaah tidak dibenarkan berhenti membeli cenderahati di gerai Palestin di luar masjid, kerana beberapa sebab:
- Kawalan keselamatan tentera.
Tentera Israel kadang-kadang mengehadkan tempat berhenti atau berkumpul di kawasan tertentu, terutama berhampiran checkpoint dan pintu masuk masjid. - Faktor masa dan keselamatan rombongan.
Pemandu pelancong atau mutawif mungkin mahu mengelakkan kesesakan, pemeriksaan tambahan atau risiko terpisah daripada kumpulan. - Keadaan politik yang sensitif.
Di Hebron, suasana boleh berubah dengan cepat. Ada masa tertentu kedai diarahkan tutup atau pergerakan dihadkan. - Laluan khas pelawat.
Sesetengah pelawat dibawa masuk dan keluar melalui laluan tertentu yang dikawal, jadi mereka tidak bebas bergerak seperti di tempat pelancongan biasa.
Ramai pelawat memang berasa sedih kerana ingin membantu peniaga Palestin dengan membeli cenderahati, makanan atau barangan tempatan. Bagi penduduk Palestin di sekitar masjid, jualan kepada pelawat sangat penting untuk kehidupan mereka.
Begitulah.
| Gambar ini Amie ambil sebaik sahaja melepasi sekatan tentera Isra. |
Menuju ke Masjid Ibrahimi.
Setelah menaiki anak-anak tangga, kami memasuki ruang masjid.
Melalui paparan digital yang tertera di dinding Masjid Ibrahimi, dapatlah kami membaca maklumat tentang perkara berikut yang Amie terjemahkan dari Bahasa Arab:
Tarikh : 29 12.2025
Hari : Isnin
Waktu : 12:21 tengah hari
Subuh : 5:11
Syuruk : 6:36
Zohor : 11:42
Asar : 2:26
Maghrib : 4:51
Isya : 6:12
| Mendengar penerangan daripada Mr. Hassan tentang Masjid Ibrahimi atau Al Haram Al Ibrahimi. |
Bahagian ini menunjukkan mimbar tempat khutbah dibaca. Di sebelahnya terdapat binaan berselubung kain hijau yang menandakan makam tokoh suci atau ruang simbolik berkaitan keluarga Nabi Ibrahim. Makam Nabi Yaakub A.S juga dipercayai berada di kawasan ini, Dalam tradisi Islam di Hebron, terdapat makam simbolik Nabi Ibrahim, Nabi Ishaq, Nabi Yaakub dan isteri mereka.
Pada ketika ini, Mr. Hassan memperkenalkan kepada kami rombongan guru perempuan Palestin yang datang melawat ke Masjid Ibrahimi.
Sempat ambil gambar tiang yang unik yang diperbuat dari batu marmar berjalur dengan warna yang menarik di dalam masjid.
Beginilah bentuk makam yang terdapat di dalam Masjid Ibrahimi. Antaranya Makam Nabi Ishaq A.S.
| Ruang makam berkubah kecil. |
Ini juga struktur makam dalam masjid. Reka bentuk kecil berkubah dan berpagar hijau sering digunakan untuk melindungi kawasan makam atau tempat ziarah. Tiang-tiang marmar menunjukkan campuran seni bina Byzantine dan Islam awal.
| Mihrab jubin biru. |
Mihrab ini sangat cantik dengan jubin biru bercorak Ottoman - Turki. Corak sebegini menyerupai seni Iznik dari zaman Uthmaniyyah. Ia merupakan ruang solat kecil atau mihrab tambahan dalam kompleks masjid.
Ini merupakan pintu masuk ke ruang Makam Nabi Ibrahim A.S.
| Makam Nabi Ibrahim A.S. |
| Hanya dapat ambil gambar dari celah-celah jaringan. |
| Panel marmar dan ukiran khat. |
Ini ialah hiasan dinding dengan seni arabesque dan khat al-Quran. Bulatan kosong di tengah kemungkinan tempat lampu, hiasan atau tanda tertentu pada asalnya. Tulisan di atas merupakan ayat al-Quran dan doa.
Sebelum ke Palestin, kami digalakkan menyediakan wang untuk diderma di mana-mana masjid yang kami kunjungi. Kami gunakan mata wang USD untuk tujuan tersebut.
| Mihrab Masjid |
Ini ialah mihrab, iaitu ruang penunjuk arah kiblat tempat imam memimpin solat. Hiasan marmar, ukiran geometri dan tulisan khat emas menunjukkan seni bina Islam zaman Mamluk dan Uthmaniyyah. Lampu gantung besar melambangkan keagungan ruang ibadah.
Masjid ini memang sangat istimewa kerana menjadi antara tapak paling suci dalam Islam selepas Masjid al-Haram, Masjid Nabawi dan Masjid al-Aqsa menurut sebahagian ulama dan tradisi sejarah Islam.
Suasana dalam gambar juga nampak tenang dan penuh seni warisan Islam klasik. Warna hijau, emas dan marmar itu memang sangat sinonim dengan masjid-masjid bersejarah di Palestin dan Syam.
| Pemegang Pintu Lama |
Pemegang pintu lama ini kelihatan seperti pemegang atau pengetuk pintu tembaga antik. Rekabentuk matahari atau roda seperti ini biasa ditemui pada pintu masjid lama dan bangunan bersejarah Timur Tengah. Ia bukan sekadar hiasan tetapi juga lambang seni pertukangan logam Islam yang halus.
| Makam Siti Sarah |
Selesai menziarahi Makam Siti Sarah, kami mula meninggalkan Masjid Ibrahimi.
| Sejuk terasa sampai ke tulang! |
| Kami menuruni anak tangga. |
Dalam tradisi Yahudi dan Kristian, tempat ini juga sangat suci dan dikenali sebagai “Cave of the Patriarchs” kerana dikaitkan dengan para nabi keturunan Ibrahim. Kebanyakan makam yang dilihat pengunjung di dalam masjid sebenarnya ialah binaan penanda di bahagian atas tanah. Ruang gua atau kubur asal dipercayai berada lebih dalam di bawah struktur masjid, dan tidak dibuka secara umum.
Bangunan asal di kawasan ini dikatakan sudah wujud sejak zaman Rom kuno, kemudian diperindah dan dijadikan masjid oleh kerajaan Islam selepas pembukaan Palestin pada zaman Salahuddin al-Ayyubi dan era Mamluk serta Uthmaniyyah.
Di penghujung tangga, kami berhenti seketika untuk mendengar penenrangan dari Mr. Hassan.
Rupanya kami sedang berada di hadapan pintu Makam Nabi Yusuf A.S. Ya Allah ya Tuhanku! Amie baca kisah Nabi Yusuf A.S seawal darjah lima sewaktu sekolah rendah! Teringat kisahnya yang dianiaya oleh saudara-saudaranya. Buku yang Amie baca tidak ada sebarang gambar, jadi hanya dapat bayangkan bagaimana Nabi Yusuf A.S dicampakkan ke dalam perigi!
Dulu bukannya senang untuk mendapatkan bahan bacaan kecuali dari perpustakaan atau zaman kami disebut kutubkhanah. Jadinya, dua tiga kali jugalah membacanya dari kulit depan sehinggalah ke kulit belakang sambil membayangkan rupa baginda Nabi Yusuf A.S yang dikatakan sebagai pemuda paling menawan sehingga Zulaikha, isteri pembesar Mesir, jatuh cinta kepadanya.
| Inilah pintu ke Makam Nabi Yusuf A.S. |
| Maqam Youssef Ealayah Alslam |
| Pintunya berkunci! |
Makam Nabi Yusuf ialah tempat yang sangat terkenal dalam tradisi Islam, Yahudi dan Kristian. Kisah di sebalik makam ini berkait dengan perjalanan hidup Nabi Yusuf yang sangat panjang dan penuh ujian.
Nabi Yusuf dibuang oleh saudara-saudaranya ke dalam perigi. Baginda kemudian dibawa ke Mesir sebagai hamba. Akhirnya Allah mengangkat baginda menjadi pembesar Mesir kerana kebijaksanaan dan ketakwaannya. Nabi Yusuf wafat di Mesir.
Namun, terdapat riwayat lama yang menyebut bahawa Nabi Yusuf pernah berpesan agar jasadnya dipindahkan kembali ke tanah nenek moyangnya di bumi Kanaan (Palestin). Dalam tradisi Bani Israel, jasad baginda kemudian dibawa keluar dari Mesir dan dikebumikan di kawasan Syam, iaitu di sekitar Nablus hari ini.
Sebab itu Makam Nabi Yusuf berada di Palestin walaupun kisah besar hidup baginda berlaku di Mesir. Tempat makam itu sangat sensitif dari sudut sejarah dan politik kerana dianggap suci oleh Muslim, Yahudi dan Kristian. Kawasan sekitar Nablus sering menjadi kawasan ketegangan. Ada masa tertentu pelawat hanya boleh singgah sebentar atau melihat dari luar demi keselamatan. Jemaah yang ziarah Palestin hanya sempat berhenti di depan pintu atau melihat dari jauh, seperti pengalaman kami.
Kisah Nabi Yusuf juga dianggap antara kisah paling indah dalam al-Quran, khususnya dalam Surah Yusuf.
| Gambar dari perkarangan Makam Nabi Yusuf A.S ke makam keluarga Nabi Ibrahim A.S. Kelihatan anak-anak tangga yang masih basah oleh hujan. |
Sebelum meninggalkan perkarangan pintu Makam Nabi Yusuf A.S, tiba-tiba muncul perasaan sayu sehingga Amie menoleh sekali lagi ke arah tangga menuju ke makam keluarga Nabi Ibrahim A.S. dan mengambil gambar dari pintu masuk berwarna hijau. Perasaan itu sangat bermakna kerana selama ini hanya mengikuti kisah nabi-nabi berdasarkan pembacaan dan mata pelajaran Pendidikan Agama Islam, tetapi tidak pernah bermimpi suatu hari nanti Allah izinkan kaki ini sampai ke bumi para nabi. Inilah saat paling menyentuh hati iaitu ketika menoleh buat kali terakhir, melihat tangga, pintu hijau dan gerbang lama sambil hati terasa berat untuk pergi.
Mungkin kerana jauh di sudut hati, tersedar bahawa tempat itu bukan sekadar lokasi bersejarah, tetapi tempat yang mengingatkan manusia tentang perjalanan iman, pengorbanan dan kerinduan kepada Allah serta keluarga para nabi.
Sesungguhnya ada tempat yang kita datang sebagai pelawat, tetapi pulang dari perjalanan ziarah sebagai kenangan yang diharapkan dapat mendekatkan hati kepada Allah dan kekal hidup dalam ingatan sepanjang usia.
| Sayu! |
Perjalanan yang pada mulanya sukar disebabkan sekatan tentera Isra dan kedinginan dalam hujan itulah yang sangat melekat dalam ingatan. Semoga perjalanan itu menjadi pengalaman yang memberi kekuatan jiwa, menambah rasa syukur dan membuka lebih banyak penghayatan tentang kehidupan saudara-saudara kita di bumi anbia.
0 comments