Bismillahirrahmanirrahim.
21 Disember 2024, bersamaan pada hari Sabtu pukul 5:45 Encik Suami memulakan pemanduan dari Lahad Datu ke Kota Kinabalu. Jarak perjalanan LD - KK sejauh 400 kilometer. Namun begitu destinasi kami tidak sampai ke bandaraya Kota Kinabalu, hanya sampai ke Sepanggar iaitu di Borneo Tree House.
Sepanjang perjalanan hujan renyai-renyai mengiringi kami. Encik Suami tidak sedap perut, kita pun sama! Tiga kali kami singgah stesen minyak untuk melegakan perut. Kami tidak berani makan, takut perut tambah meragam.
Sebenarnya Encik Suami ingin mengelakkan kesesakan jalan raya terutama sepanjang jalan dari Ranau menuju Kundasang. Itu sebabnya kami keluar awal dari LD. Pukul 12:50 kami singgah di Restoran Anjung Selera, Ranau.
Oleh kerana hendak jaga perut yang meragam, Amie cadangkan makan masakan bersup sahajalah.
Makanan yang dipesan:
- Nasi Putih & Ayam Goreng
- Bihun Sup Campur
- Bakso Campur
- Teh Ais
- Kopi O
Firdaus : Nasi Putih & Ayam Goreng |
Oleh kerana semua meja makan penuh, kami duduk sahaja di bahagian luar yang menempatkan sebuah meja dan tiga buah kerusi. Tak sabar Firdaus hendak makan!
Bismillah. |
Hirup kuah sup panas di kala hujan renyai dan suhu sejuk memang sanagat menyelerakan!
Sudah masuk kereta, Encik Suami kata, harga keseluruhan RM46.00. Kita minta resit. Encik Suami kata tak ada resit diberi. Tertanya-tanya juga berapa harga semangkuk Bihun Sup Campur dan Bakso Campur itu.
Sekarang kami berada di persimpangan jalan di pekan Ranau. Arah ke kiri menuju ke Kota Kinabalu dan arah ke kanan menuju ke Telupid. Kami hendak meneruskan perjalanan ke Kota Kinabalu, dan terlebih dahulu kenalah melintasi Kundasang.
Jom perlahan-lahan memandu ke destinasi dituju.
Nampak langit mendung, awan warna kelabu.