ADSENSE

Isnin, 12 Januari 2015

Talam Keledek

Sebenarnya tak banyak koleksi kuih muih di dapur Amie ini. Suatu hari Encik Suami bersuara: Anak Mummy tu (Firdaus) suka makan kuih. Nampaknya kenalah Mummy rajin-rajin godek tepung ye!
Adusssss!
Tepung! Amie suka sangat buat cekodok udang campur jagung tin! Itulah satu-satunya menu kegemaran seisi keluarga selain kek coklat yang disukai anak-anak. Tiba-tiba.... Firdaus pulak suka makan kuih! Setiap pagi sebelum dihantar ke kampung, Encik Suami singgah beli kuih ketayap. Ya Allah! Suka sangat Firdaus dengan kuih ketayap atau kuih lenggang (panggilan penduduk tempatan). Kuih kedua, Firdaus suka makan kuih cempiang. Haa... yang ini Amie tak tahu nak cerita macamana... Amie pun tak pernah buat!
Rupanya Firdaus suka makan tepung!
Itu pasal akhir-akhir ini Amie mula paparkan resepi kuih.... buat bekalan Firdaus setiap pagi.
Malam tadi, Amie sempat buat Talam Keledek.... talam comel yang disukai Firdaus.

Amie tidak gunakan pewarna untuk kuih ini. Amie gunakan keledek ungu. Air rebusan keledek ungu Amie campurkan ke dalam pengisar bersama kelapa parut untuk mendapatkan santannya. 

Rasa Talam Keledek ini lemak manis di bahagian bawah yang berwarna ungu itu, sementara bahagian kepalanya pula lemak masin.

Bagi yang dah biasa buat kuih talam, pejam sebelah mata pun boleh buat.... he heheh... tapi bagi Amie yang tak selalu buat kuih begini, memang kenalah hati-hati mengolahnya, takut sangat terlembik atau keras hasil kejadiannya nanti. Alhamdulillah Talam Keledek ini sedap! Tak keras dan tak lembik. Kalau inginkan warna ungu yang lebih terang, tambahkan pewarna ungu.

Terlebih dahulu sediakan acuan kuih loyang yang ingin disediakan sama ada loyang atau sebagainya, dengan melengserkan sedikit minyak. Pastikan air kukusan sudah mendidih sebelum memasukkan bahan untuk dikukus. Gunakan api panas sederhana. Jika api terlalu kuat atau besar, permukaan kuih talam akan berombak.

Lapisan Bawah:
300 gram keledek ungu - rebus hingga empuk - toskan dan simpan airnya - lecek / kisar keledek hingga halus
2 cawan tepung beras
3 sudu makan tepung ubi
1 cawan gula pasir
1 liter santan dari sebiji kelapa (gunakan air rebusan keledek untuk mengisar / perah santan)
1 sudu teh garam halus 

Lapisan Kepala:
80 gram tepung beras
3 sudu makan tepung jagung
1 liter santan dari sebiji kelapa
1 1/2 sudu teh garam halus

Cara Membuat Lapisan Bawah:
1. Gaul sebati semua bahan untuk Lapisan Bawah kecuali keledek.
2. Jerang di atas api sederhana, dan kacau hingga hampir pekat.
3. Padamkan api dapur. Masukkan keledek dan gaul rata.
4. Tuang ke dalam acuan pilihan (loyang) dan kukus selama 25 minit. Seperti biasa Amie suka masukkan dalam acuan lompang dan masa mengukus lebih kurang 15 minit.
5. Seterusnya, untuk menyediakan Lapisan Kepala pula, satukan semua bahan dan gaul sebati.
6. Jerang di atas api sederhana , dan kacau hingga naik wap. 
7. Gores Lapisan Bawah dengan garfu, dan kemudian tuangkan Lapisan Kepala ke atasnya.
8. Kukus lebih kurang 30 minit. (Jika gunakan acuan kecil / lompang - masa mengukus lebih pendek).
9. Biarkan sejuk sebelum dipotong.

Malam bukan sebarang malam,
Malam yang pendek saya inginkan,
Talam bukan sebarang talam,
Talam keledek saya hidangkan.

3 ulasan:

Acik Erna berkata...

Amie..biasa talam keladi kan .acik tak pernah makan lagi talam keledek ni.nampak sedap.
Firdaus ni mcm acik la amie suka makan kuih.

Suzana Ibrahim berkata...

sedap nampak kuih talam ni,nnati nak cuba la dengan keledek kuning.yang purple jarang dapat.

Amie berkata...

Acik,
ooye keeee... ada ganglaa Firdaus ya

Suzana,
anak-anak sangka bahagian yang purple tu saya bubuh pulut!