ADSENSE

Khamis, 9 Oktober 2014

Sedapnya Ayam Percik!

Amie buat Ayam Percik ni cara biasa-biasa saja. Selalu sangat Amie teringat ayam percik yang dijual di pasar Sungai Buluh, Jeram. Warnanya merah... ada rasa manis, rasa lemak sedikit dan juga rasa asam yang sebati dengan rempah-rempah yang lain. Tak sabar Amie nak bawa pulang ketika menunggu penjual ayam percik tersebut membakarnya, dan kemudian dicelup sekali ke dalam lebihan sambalnya sebelum dibungkus. Bila sampai rumah, sedang-sedang rasa hangat panas ayam percik yang dipanggang tadi. Memang sedap!Beberapa kali juga Amie cuba buat  ayam percik yang sama tapi rasanya masih tak sama. Ada saja yang tak kena. Tapi seingat Amie, ada semacam bau-bau sate ketika ayam percik tersebut dipanggang! Itulah yang Amie cuba cari resepinya dari semasa ke semasa. Petang tadi Amie sempat masak 2 ketul peha ayam dijadikan Ayam Percik. Encik Suami, Fairuz & Firdaus di rumah kakak ipar. Jadi tinggalkan Amie dengan Fuad di rumah.
Agaknya kalau Amie panggang di atas bara api, menjadi juga Ayam Percik ni, tapi apakan daya kita hanya mampu memanggangnya dalam ketuhar! Jadilah hasilnya seperti di bawah ini.

Inilah hasilnya Ayam Percik yang Amie buat petang tadi. Disebabkan terlalu teruja nak makan, cepat-cepat Amie ambil gambar dan terlupa pulaklah nak lumurkan lagi kuah percik di atas peha ayam tu. Tak dapatlah nak tengok kuahnya yang merah meleleh... he hehhehe.  Gambar ni Amie ambil sebaik sahaja Amie keluarkannya dari ketuhar.

Sebaik sahaja Amie ambil gambar, Amie terus solat Maghrib. Bila balik semula ke dapur, sudah hilang peha ayam yang satu... rupanya Fuad sudah tak sabar-sabar nak makan. Katanya, kalau boleh dia nak makan dua-dua peha Ayam Percik tu!

Kita tengok bahan-bahan yang Amie gunakan untuk mengolah Ayam Percik Ini. Amie ingat pesan Bonda... katanya kalau nak gunakan rempah, jangan terlalu banyak... kita bukan nak makan rempah, kita cuma nak sedikit rasa dan bau rempah. Ya... Bonda, Amie sangat ingat pesan Bonda itu. Jadi, Amie berhati-hati menyukat jumlah rempah yang patut Amie gunakan supaya tidak berlebihan. Memandangkan Amie hanya olah 2 ketul peha ayam, jadi Amie pastikan kuahnya tidak berlebihan. Amie hanya gunakan sebatang serai, ambil isinya yang putih dan lembut, sedikit ketumbar, jintan putih dan jintan manis, beberapa keping hirisan lengkuas dan halia serta sekeping asam gelugur. Amie gunakan lebih gula pasir untuk mendapatkan rasa manis masam pedas yang memang Amie suka sangat Ayam Percik di Sungai Buluh... mungkin sudah tidak ada lagi ayam percik atau penjualnya! Oh yaaa... sambung tentang resepi tadi, Amie tambahkan buah keras, dan gunakan 500ml santan.

Bahan-bahan:
2 ketul daging ayam bahagian peha
1 keping asam gelugur
minyak
garam / gula / perasa pilihan

Bahan kisar:
15 biji cili kering
3 ulas bawang putih
1 labu bawang besar
1 batang serai - ambil isinya yang putih - hiris-hiris
3 biji buah keras
3 keping hirisan halia
3 keping hirisan lengkuas
1 sudu makan ketumbar biji
1 sudu teh jintan putih
1 sudu teh jintan manis

Cara:
1. Panaskan sedikit minyak dan tumis semua bahan kisar sehingga terbit minyak.
2. Masukkan gula secukupnya, asam keping dan juga garam / perasa pilihan.
3. Tambahkan santan dan biarkan kuah mendidih. 
4. Sementara itu panaskan ketuhar.
5. Masukkan peha ayam dan masak sehingga ayam menjadi setengah masak.
6. Keluarkan peha ayam dan letakkan di atas dulang pembakar.
7. Bakar peha ayam dalam ketuhar hingga masak.

....Amie tidak lumurkan lagi kuah ketika hendak membakar ayam, sehinggalah ayam masak sebab kuah sudah melumuri seluruh bahagian peha ayam.... itu sebab kot sampai terlupa nak bubuh kuah lebihannya sewaktu ambil gambar he hehehhe.


                                                     Sedapnya Ayam Percik!

4 ulasan:

Shiela berkata...

Geram jer nengok peha ayam tu..

Yana Shaiful berkata...

alahaii kak Amie cayang..daku sudah terguda dgn peha ayam itu hehee.. tringat pulak ayam percik putih mak kat kg..huhuu rs nak blk kg jee..

Mas berkata...

mengancamnya tengok...
peberet ni .. yum.. yum..

Mamasya berkata...

Aslmkum Amie

sedap nampak ayam percik Amie hidang ni. mamasyapun suka ayam percik merah mcm pasar mlm sedap rasa kuahnya.