ADSENSE

Rabu, 22 Oktober 2014

Resepi Warisan : Sup Tulang Yang Pastinya Sedap!

Resepi sup orang kampung kami mungkin tak sama dengan cara masakan sup yang lain. Masakan sup tulang, daging atau ayam misalnya, biasa yang kita lihat dalam resepi terus direbus dengan pelbagai bahan rempahan yang lain. Bagaimana cara olahannya, sup tetap menjadi satu hidangan yang mampu membuka selera, dan sudah semestinya di sebelah barat sup memang dijadikan salah satu hidangan pembuka atau appetizer... disebut juga sebagai starter atau juga first course. Walaupun sup orang kampung kami tidak bervariasi sebagaimana hidangan sup yang pelbagai seperti sup cair atau sup kental @ pekat yang menggunakan stock daging atau ayam yang khusus, namun masakan ini tidak pernah kami lupakan! 

Sesungguhnya... daku rindu masakan sup orang kampungku terutama sup tulang di majlis kahwin! Maklum... biasanya kalau kenduri kahwin, sekurang-kurangnya akan tumbanglah seekor lembu, dan tulang lembu pasti dijadikan sup untuk hidangan tengahari khas untuk sanak keluarga dan jiran tetangga yang datang rewang dari pagi!

Istimewanya... di kampung kami, tukang masaknya orang lelaki! Kaum wanita menyiapkan segala bahan masakan termasuk memotong bawang dan sebagainya, dan hidangan untuk para tetamu dimasak oleh kaum lelaki secara gotong royong termasuk mengukus nasi minyak sehinggalah ke lauk pauknya. Cuma yang Amie ingat, acar mentah disediakan oleh kaum wanita di dapur. Akan tetapi acar berempah tetap dimasak oleh kaum lelaki.

Oh! Tak mahu cerita panjang sebab ia akan mengundang nostalgia lama... menjadikan daku bertambah rindu! Banyak yang daku rindu.... rindu serindu-rindunya tentang kampung halamanku dan segala yang kutinggalkan di sana. Ya... Allah, mudah-mudahan Bondaku, keluargaku, sanak saudaraku, jiran tetanggaku dan orang kampungku nun di Bukit Hijau sana sihat selalu... amin!

Bahan-bahan:
1 kg tulang lembu
2 batang serai - diketuk
halia sebesar ibu jari - diketuk 
rempah 4 sekawan - 3 kuntum bunga lawang, 3 biji buah pelaga, 1 batang kulit kayu manis &  kuntum bunga cengkih
1 sudu makan lada putih tumbuk
air secukupnya
garam / perasa pilihan
minyak
hirisan daun bawang & daun sup
bawang goreng

Bahan tumbuk:
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
1 sudu makan ketumbar biji
1 sudu teh jintan putih
1 sudu teh jintan manis

Cara:
1. Panaskan sedikit minyak dan tumis bahan tumbuk, serai dan halia hingga wangi. Kemudian masukkan rempah 4 sekawan dan tumis seketika hingga naik bau.
2. Masukkan tulang dan balik-balikkan sehingga bertukar warna atau kelihatan layu.
3. Tambahkan air secukupnya dan masak sehingga kuah mendidih.
4. Perlahankan api dapur dan tutup periuk. Masak sehingga daging tulang empuk.
5. Masukkan lada putih dan perasakan dengan garam / perasa pilihan.
6. Hidangkan panas dengan taburan hirisan daun sup / bawang dan bawang goreng.

Beginilah caranya orang kampung kami masak apa-apa sup... ayam, kambing atau lembu. Ditumis terlebih dahulu kemudian barulah ditambah air. Bonda kata, tujuan tumisan tadi ialah untuk mematikan bau pada daging. 

Selepas bersarapan pagi tadi, (hari ini cuti Deepavali) Amie terus masak sup tulang. Amie tidak terus merenihnya di atas dapur, sebaliknya sebaik sahaja sup mendidih Amie pindahkan ke dalam slow cooker. Agak-agak 4 atau 5 jam kemudian, lembutlah daging tadi... dan mungkin terlerai dari tulangnya. Kemudian Amie pun bantu Encik Suami kemaskan buku-buku di mini perpustakaan kami. Sedang leka mengemas buku dan majalah, perut mula terasa lapar dan pada masa yang sama terbau aroma yang enak... Amie pun mula menghidu tak karuan, lantas beritahu Encik Suami... jiran mana satulah yang masak ni, sedapnya! Jiran sebelah kiri atau kanan? Encik Suami menyahut.... masak untuk hari Deepavali tu! Bila Amie pandang jam di dinding, rupa-rupanya hampir 5 jam kami kemaskan buku! Jam menunjukkan pukul 1 tengahari. Amie pun ke dapur untuk masak tengahari dan beberapa saat kemudian berlari semula ke tempat Encik Suami yang masih memilih dan menyusun buku dan majalah.... dan tak sabar-sabar beritahu:

Rupanya bau tadi dari dapur kita sendiri.... Mummy masak sup tulang dalam slow cooker pagi tadi!

5 ulasan:

azieazah berkata...

Amboiii sendiri masak sendiri lupa. Mujur tak hangus. Hahahaha

Saya pun masak sup tulang dalam rice cooker (sebab tadak slow cooker). Pastu tumis rempah baru pindah atas api.

Alahai... makan daging, kepala ting tong!

Rizziela berkata...

Memang sedap..tp sy x pandai masak..makan umah mertua ajer

Yeni Bubu berkata...

Salam Kak Amie .. Selalu senang membaca cerita kakak .. Serasa sudah kenal semua dg anak2 , terutamanya Firdaus ;-) .. Insya Allah wken ni nak masak sup tulang ala kampung kak amie .. Thx for sharing .

kasihilmar.com berkata...

Betul tu, pasti sedap!

Amie berkata...

Azie,
leka mengemas buku & majalah... rupanya banyak yang dibeli tapi tak sempat baca.... tu yang bila lapar terbau aroma masakan ingatkan jiran yang masak ha hahaha.

Rissiela,
menu campak2 saja tu...

Yeni,
terima kasih sudi singgah dapur Kak Amie... banyak sangat membebelnya ye he hehehe... sampai kenal semua anak-anak kami.

Zanita,
sayang kat resepi orang kampung ni...