ADSENSE

Sabtu, 18 Oktober 2014

Mee Goreng Daging

Lama benar tak paparkan resepi sarapan pagi. Awal pagi tadi Encik Suami sudah keluar untuk ke tempat kerjanya. Tak lama kemudian telefon berbunyi... Encik Suami rupanya. Katanya, tak ada orang jual makanan di gerai seperti selalu. Jadi macamana? Amie kata, tak kisahlah... bukan Amie tak boleh buat sarapan untuk anak-anak. Banyak bahan di dapur yang boleh diolah untuk dijadikan sarapan.Tak sampai berapa minit, Encik Suami muncul di pagar membawa bungkusan. Ada susu untuk Firdaus, satu tin nestum, satu bungkus lampin pakai buang, dan ada dua bungkus mee... sebungkus mee hoon dan sebungkus mee kering. Nampaknya risau benar Encik Suami kalau Amie tak sempat buatkan sarapan pagi untuk anak-anak...
Antara mee hoon dan mee kering, Amie pilih mee kering untuk digoreng. Amie masak biasa-biasa saja, tak bubuh sos cili atau cili kisar, sebab Firdaus pun nak makan. Jadi, pagi tadi kami anak-beranak sarapan Mee Goreng Daging. 

Belakangan ini banyak kali masak daging... mee goreng pun bubuh daging sebab nak habiskan saki baki daging dalam peti sejuk. Sempat pulak ceplok 2 butir telur masuk mee goreng.... haaaa hidangan tinggi kalori dan kaya dengan kolestrol dah ni. Menternak lemak pepagi begini memang best! Eloklah seimbangkan sedikit lelemak tu dengan minuman teh ringan tambah hirisan lemon.

Bahan-bahan:
1 bungkus mee kering - celur hingga lembut dan toskan
1 cawan hirisan daging
2 batang sawi - potong-potong
1 batang lobak merah - potong-potong panjang
2 biji telur
1 labu bawang besar - cincang
3 ulas bawang putih - cincang
2 sudu makan sos tiram
4 sudu makan sos tomato
4 sudu makan kicap manis
minyak

Cara:
1. Panaskan sedikit minyak dan tumis bawang besar serta bawang putih hingga layu.
2. Masukkan hirisan daging bersama hirisan lobak merah. Tumis hingga masak.
3. Masukkan sos tiram, sos tomato, dan kicap manis. Gaul rata.
4. Masukkan mee dan sayur sawi. Kacau sebati.
5. Pecahkan telur dan gaul bersama mee goreng.
6. Padamkan api dapur.

Mee Goreng Daging siap!

1 ulasan:

Wani berkata...

rasa pun dah lama tak goreng mee macam ni