ADSENSE

Sabtu, 25 Oktober 2014

Kerabu Kacang Botol Sama Isi Ketam Yang Sungguh Menyelerakan!

Salam Maal Hijrah buat semua. Terima kasih para pengunjung yang tak pernah jemu datang bertandang, dan juga selamat datang buat pengikut baru Amie's Little Kitchen. Moga yang datang ke sini akan pulang bersama apa yang dihajati.
Hari ini nak cerita tentang hidangan tengahari kami yang ringkas. Cuti hari Sabtu ini sekali lagi dimanfaatkan bersama keluarga, bukan untuk mengisi perut tetapi mengemas mana yang patut. Maklumlah.... hanya hari cuti begini sahajalah dapat membersih dan mengemas dengan lebih teliti berbanding hari-hari lain. Encik Suami pula ringan tulang mengemas dan menyelongkar dapur, membuang mana yang tak digunakan dan menyapu segala habuk dan sawang sambil sesekali membebel.... memanggil Fairuz dan Fuad sebab Firdaus asyik lolos ke dapur dan membantu mengemas pinggan mangkuk!
Amie pulak, berkira-kira untuk masak hidangan tengahari. Encik Suami ingatkan Amie tentang ikan talapia yang masih banyak dalam peti sejuk. Amie keluarkan, dan pisahkan saiz yang kecil, sederhana dan besar. Sambil menyiang ikan yang tak terkira jumlahnya itu, kami bercerita tentang zaman kanak-kanak kami. Mujurnya... kami sempat melalui fasa tahun 70-an & 80-an, sementara Encik Suami pula lebih awal sekitar tahun 60-an. 
Sebenarnya, cerita asal Amie nak kongsi tentang kacang botol. Terlanjur berceloteh, baiklah cerita kisah pagi ini, kisah tentang hidangan tengahari kami.

Sambil menyiang ikan, masak nasi dan menyediakan kerabu kacang botol kami sulami dengan pelbagai cerita. Amie kata, ikan talapia yang Amie siang terlalu kecil... nak buat macamana? Encik Suami kata, masaklah yang saiz besar. Yang kecil buang sajalah. Katanya lagi, zaman kanak-kanaknya dulu dia bersama abangnya selalu menjala ikan di sungai, dan bawa pulang pelbagai jenis ikan yang saiznya lebih kurang sama dengan saiz ikan talapia yang Amie siang. Bondanya akan goreng untuk lauk makan sekeluarga. Bila Encik Suami suruh buang, dan pada masa yang sama cerita pulak tentang masa kecilnya, rasa bersalah pulak merungut-rungut begitu! Dan sayangnya pula, dah berpuluh-puluh ekor Amie siang yang saiz kecil. Akhirnya Amie putuskan untuk goreng garing-garing... macam goreng ikan sepat ronggeng kering! Aduhai... ampunkan daku! Tiba-tiba rasa terliur nak makan kerabu pucuk paku dengan ikan sepat ronggeng kering yang rangup! Itulah antara hidangan tengahari tersedap pernah Amie makan sewaktu pulang dari sekolah entah berapa puluh tahun lalu!

Tak dapat menahan liur.... ha hahah jom cerita lain pulak selain kerabu pucuk paku dan ikan sepat ronggeng kering!

Kelmarin petang, sewaktu Amie ikut Encik Suami ambil Firdaus di kampung, Amie sempat tangkap gambar pokok cili padi kakak ipar (pengasuh Firdaus). Tiap kali Amie datang ke kampung, ada saja kakak ipar (Wak Pendek) tunjukkan tanam-tanamannya kepada Amie. Itulah Wak Pendek, selain menjaga Firdaus macam intan berlian, tugas sampingannya ialah menanam dan membelai tanam-tanamannya yang pelbagai.

Dulu, selama 40 hari Wak Pendek berulang alik dari kampung jaga Amie dan Firdaus ketika dalam pantang, memang rajinlah Wak Pendek menabur biji lada, biji betik dan entah apa-apa lagi di belakang dapur. Semuanya tumbuh, tapi tak terjaga setelah Wak Pendek tidak lagi datang ke rumah kami.

Sekarang, keliling rumah Wak Pendek pulak yang penuh dengan pokok sayur-sayuran, serai, labu dan entah apa lagi. Subur-subur pula tu.... Dengan tak malunya, Amie pun petiklah hasil tanaman Wak Pendek yang satu ini.... si kacang botol yang muda!

Amie teringat ada sedikit isi ketam, jadi kononnya nak buat Kerabu Kacang Botol Sama Isi Ketam... buat yang pedaaassss!!!! Okey tak...
Sementara itu, ikan talapia saiz kecil pun siap digoreng garing. 

Ikan talapia ini bercampur hitam dan merah. Bolehlah..... gantikan ikan sepat ronggeng kering yang macam kerepek tu! Dah siap goreng ikan talapia, kita tengok resepi Kerabu Kacang Botol Sama Isi Ketam di bawah ini. 
Amie tumbuk cili padi warna merah dengan bawang goreng dan sedikit belacan, dan kemudian masukkan secawan kelapa parut dan ditumbuk lagi tapi taklah sampai lumat. Kalau tengok gambar di bawah ini, yang putih di atas bawang besar tu isi ketam. Amie kukus isi ketam hingga masak, dan kemudian toskan airnya sebelum digaul dengan bahan kerabu yang lain.


Bahan-bahan:
10 batang kacang botol - hiris nipis
1 cawan isi ketam - kukus
1 cawan kelapa parut - tumbuk separuh hancur
5 helai daun cekur - hiris nipis
1 labu bawang besar - hiris nipis
3 sudu makan jus limau kasturi
garam / gula / perasa pilihan

Bahan tumbuk:
2 ulas bawang putih - goreng
3 biji bawang merah - goreng
sedikit belacan - goreng
10 biji cili padi merah

Cara:
1. Gaulkan bahan tumbuk dengan kelapa parut yang ditumbuk separuh lumat.
2. Dalam sebuah mangkuk besar, campurkan kacang botol, daun cekur, bawang besar, bahan tumbuk yang digaul serta isi ketam.
3. Gaul sebati, dan perasakan dengan garam / gula serta perahan jus limau kasturi.
4. Hidangkan.


Jemput makan.... hidangan kampung!

Ketika di meja makan pun Encik Suami masih bercerita tentang pengalamannya menangkap ikan sewaktu kecil dulu.... kali ini diceritakannya pula kepada Fairuz dan Fuad. Fairiz & Fuad pula tidaklah pula cerewet melihat ikan talapia kecil-kecil ... Amie pun dah sediakan jawapan kalau tak makan, takut tercekik tulang, goreng telur sajalah!

Alhamdulillah.... Fairuz makan dengan penuh semangat termasuk kerabu kacang botol! Fuad pulak ... menambah nasi, dan meratah ikan talapia goreng cicah mayonis! Masha Allah! Amie ajar makan ikan talapia guna 2 tangan.... pegang ikan dengan tangan kiri, buang kepalanya dengan tangan kanan. Lepas tu pisahkan isi dengan tulang, dan masuk mulut! Kami pun makanlah dengan penuh selera, dan nampaknya kepala dan tulang ikan semakin menimbun!

Lihat perbandingan ikan yang belum dan sesudah dimakan... atas dan bawah ha aha hahahha...!

Sewaktu Amie tinggalkan meja makan, Fuad masih meratah ikan talapia. Ini baki ikan di hadapan Fuad... tak tahulah habis ke tidak kesemua ikan tu....!

3 ulasan:

inahar ali berkata...

woww..kerabu ngan isi ketam..mmg meliurkan amie!! daappnyer!!

Faudziyah Haji Ariffin berkata...

eh ..eh.. ehhhhhh... amie ni ! terlior saya dengan kerabu kacang kelisa tu. ikan goreng tu pon nampak sedapp. macam garing saja .. bestnyaaa.. !

kasihilmar.com berkata...


Kerabu botol Amie, nampak begitu menyelerakan!
Saya suka kombinasi kerabu dan ikan goreng, boleh makan nasi bertambah-tambah..