ADSENSE

Sabtu, 4 Januari 2014

Nasi Lemak Lobak Merah & Sambal Hati

Selamat berhujung minggu buat semua. Terima kasih kerana masih sudi berkunjung ke dapur Amie yang semakin hari  agak kurang memaparkan resepi terbaru. Bukan apa, semenjak dua menjak ini, sejak Firdaus mula pandai berdiri jatuh nampaknya kenalah beri tumpuan lebih kepadanya. Tambahan pula, setelah dua kali Amie tinggalkan untuk menghadiri mesyuarat sepanjang Disember 2013 (setiap kali mesyuarat mengambil masa 4 hari), dan setiap kali itu jugalah Firdaus demam. Terakhir kalinya, pada 24 Disember lepas kami terpaksa kejarkan Firdaus ke hospital menjelang pukul 4 pagi akibat demam panas walaupun pada sebelah malamnya kami sudah bawa ke klinik. Satu perangai baru Firdaus mula muncul akhir-akhir ini yang tambah menyukarkan untuk berpisah seketika dengannya..... Firdaus tidak mahu menyusu botol kalau berada di rumah, dan sudah tentunya akan bergantung dengan susu badan sepanjang waktu! Jadinya.... tak banyak waktulah jawabnya untuk Amie selalu berada di dapur!
Mujurlah kalau Amie bertugas, Firdaus masih mahu menyusu botol ketika di bawah jagaan kakak ipar. 


Pagi tadi Amie sempat sediakan Nasi Lemak Sambal Hati untuk hidangan keluarga. Itu pun setelah memandikan, menyusu dan menyuapkan bubur untuk si kecil Firdaus. Akhirnya.... walaupun hampir pukul 11 pagi, siaplah juga masakan Amie. Dan sekarang, bolehlah Fairuz & Fuad  menikmatinya. Amie tunggu Encik Suami pulang dari tempat kerja menjelang pukul 1 tengahari nanti.
Kali ini Amie masak nasi lemak dengan lobak merah. Saja Amie buat begini ... untuk habiskan stok lobak merah yang tak pandai surut sejak dibeli minggu lepas!

Resepi : Nasi Lemak Lobak Merah
Olahan: Amie's Little Kitchen

Bahan untuk nasi lemak:
4 cawan beras  - cuci dan toskan
3 biji lobak merah - cuci bersih dan potong dadu
1 biji kelapa parut
600ml air
3 cm halia - hiris
1 biji bawang putih - hiris
3 kuntum bunga cengkih
5 cm kulit kayu manis
sehelai daun pandan (disiat-siat dan disimpul)
sedikit garam

Cara:
1. Campurkan lobak merah bersama kelapa parut dan air ke dalam pengisar. Kisar hingga halus, dan kemudian tapis. Buangkan hampas kelapa bersama hampas lobak merah. Ambil santannya yang bercampur jus lobak merah tadi.
2. Didihkan air dalam periuk pengukus.
3. Didihkan santan tadi bersama halia, bawang putih, bunga cengkih, kayu manis dan daun pandan.
3. Masukkan beras dan sedikit garam. K
acau sekali - sekala sehingga beras kembang dan santan kering.
4. Masukkan dalam periuk pengukus.
5. Kukus 20-25 minit atau sehingga nasi benar-benar masak.



Untuk sambalnya pula Amie masak terlebih dahulu bahan untuk sambal dan kemudian Amie bahagi 2. Satu bahagian untuk Sambal Hati dan satu bahagian lagi untuk Sambal Ikan Bilis 

Resepi : Sambal Hati & Sambal Ikan Bilis
Olahan : Amie's Little Kitchen

Bahan untuk sambal:
300 gram ikan bilis - bersihkan, cuci dan tos dan 1/2 kg hati - hiris ikut suka, gaul dengan sedikit garam dan kunyit - ketepikan

1 cawan petai - belah 2
1 labu bawang besar - hiris kasar dan bahagi 2
1 sudu makan pati asam jawa (bancuh dengan sedikit air)
garam  dan gula secukup rasa

minyak

Bahan kisar:

40 biji cili kering
10 biji bawang putih
10 biji bawang merah
3 cm belacan

1 batang serai - hiris kasar

Cara:
1. Tumis bahan-bahan kisar hingga pecah minyak. 
2. Masukkan bancuhan pati asam jawa, garam dan gula. Biarkan seketika.
3. Ambil separuh sambal dan masukkan ke dalam kuali yang berlainan. Sambal yang selebihnya tinggalkan dalam kuali yang sama.

4. Masukkan ikan bilis, petai  serta bawang besar dan masak dengan api perlahan sehingga kuahnya pekat.
5. Dalam kuali sambal yang satu lagi, masukkan gorengan hati bersama hirisan bawang besar dan masak sehingga kuah menjadi pekat.


Anak-anak sudah tentunya ingin makan nasi lemak dengan sambal ikan bilis!



Sesekali makan nasi lemak dengan sambal hati pun rasa sodap! Jangan lupa aksesori lain... Amie lengkapkan  hidangan dengan kacang gajus goreng, ikan bilis, lobak merah celur dan timun.



Jemput.....

2 ulasan:

Rohah berkata...

selamat tahun baru 2014...
mmg gojes ni...dpt mkn nasi lemak..

ummiross berkata...

Cantiknya telur goreng tu Amie..

Moga Firdaus dah sembuh sepenuhnya..