ADSENSE

Ahad, 18 November 2012

Dalca Daging Kambing (Lamb)

Assalamualaikum.
Selamat berhujung minggu buat semua pengunjung Amie's Little Kitchen. Nampaknya cuaca bertambah sejuk kerana hujan berterusan dari tengahari. Mendung dari pagi menyebabkan pakaian di ampaian lambat kering dan bila hujan turun di tengahari, terpaksalah angkat semua pakaian  yang masih lembap dari jemuran. Memandangkan cuaca mendung dan dingin, elok benarlah kita sediakan hidangan yang boleh menghangatkan tubuh. Lama benar Amie tidak masak dalca, dan sebenarnya pada malam majlis kecil-kecilan dua hari lepas salah satu menu yang Amie sediakan ialah dalca tulang rusuk. Bagaimana pun disebabkan kesibukan dan keletihan pada malam tersebut, selera untuk makan pun turut hilang. Ditambah pula dengan adanya pelbagai hidangan lain. Pagi tadi, tiba-tiba teringin pula untuk menikmati dalca! Amie gunakan daging kambing bebiri pula. Seisi keluarga kecil kami tidak ada masalah dengan hidangan daging bebiri, jadi mudahlah kerja masak-memasak Amie hari ini.


Sebelum Amie paparkan resepi Dalca Daging Kambing untuk dikongsi bersama, apa kata terlebih dahulu kita tambah info tentang asal-usul resepi ini. Menurut Mamak Haji, resepi dal atau kari parupu merupakan resepi variasi Benggali yang bersesuaian dengan selera orang Malaysia serta pekerja-pekerja asing dari benua kecil India. Keenakan masakan kari dal atau kari parupu ini bergantung kepada cara masak kacang parupu. Terdapat 3 jenis kacang parupu di negara kita. 
Pertama : Kacang parupu yang berwarna kekuningan dan leper yang diimport dari negara India. Ia lebih leper dan nipis dan cepat dimasak.
Kedua :  Kacang parupu yang bersaiz besar dan tebal sedikit dari kacang parupu India dan harganya lebih murah dari parupu India. Kacang ini diimport dari Australia dan orang India biasa menggelarnya dengan nama Parupu Australia. Kacang jenis ini sesuai untuk dibuat makanan ringan seperti masala vadeh.
Ketiga : Parupu berwarna oren yang dikenali dengan nama Parupu Mysore dan bersaiz lebih kecil dan lebih mahal daripada kedua-dua parupu di atas. Parupu Mysore juga mempunyai rasa, haruman dan warna yang terbaik berbanding kacang jenis pertama dan  jenis kedua dan biasanya digunakan dalam resepi benggali.

Kata Mamak Haji, biasanya kari parupu atau kari dal orang Melayu kuahnya tidak cukup pekat dan kacang parupunya tidak cukup masak. Ini disebabkan kacang parupu dimasak sekali dengan rempah atau perencah rempah. Kacang parupu perlu dimasak asing dan menurut Mamak Haji lagi kalau tidak kena cara rendamannya, kacang parupu akan hancur semasa direbus. Sukatan air yang digunakan semasa merebus kacang parupu ialah satu kali ganda dari paras kacang parupu. 1/2 kilogram kacang parupu sebaik-baiknya direbus antara 45 minit hingga ke 1 jam dengan api dapur biasa. Oleh itu, cara terbaik yang boleh kita gunakan untuk memudahkan masakan ini ialah dengan menggunakan pressure cooker atau merendam kacang parupu terlebih dahulu. Sekiranya air membuak ketika merebus, masukkan sedikit air sejuk dalam periuk rebusan dan teruskan merebus sehingga kacang parupu lembut. Kari parupu ini boleh disediakan dengan pelbagai jenis sayuran termasuk labu air, kacang panjang, kentang, terung, labu ular, labu manis, lobak merah dan sebagainya. Masyarakat Tamil di negara kita pula, kata Mamak Haji gemarkan kari parupu yang dicampur dengan tomato, lobak merah, bunga kobis, terung dan ubi kentang. Resepi yang boleh dicuba sudah tentulah kari parupu yang dicampur selain sayur-sayuran, juga boleh ditambah daging ayam atau daging dan tukarkan menjadi DALCA yang sangat enak untuk dimakan bersama nasi tomato, nasi minyak atau nasi beriani!

Terima kasih di atas perkongsian info tentang resepi kari dal / kari parupu sehingga menjadi DALCA ye Mamak Haji. Kalau ada info yang tersilap, minta Mamak Haji perbetulkan. Bagaimanapun resepi Dalca Daging Kambing Amie ini merupakan olahan mengikut kebiasaan resepi orang Melayu kita tetapi Amie cuba ikut resepi yang Mamak Haji berikan, walaupun ada sebahagiannya ikut olahan Amie sendiri. 



Bahan-bahan:
250 gram kacang parupu / dal - Amie gunakan 1 cawan (rendam hingga kembang)
1 cawan santan - Amie gunakan santan pekat
3 biji cili hijau - belah 2
1 sudu kecil halia cincang
3 biji cili kering - Amie tambah kepada 7 biji dan kisar
1 sudu kecil serbuk cili
1 sudu kecil serbuk kunyit
1 sudu kecil biji jintan putih
1 sudu kecil biji jintan manis
1/2 sudu kecil garam masala - sekiranya ada - Amie tidak bubuh
1 sudu kecil gula
secubit Astafeida - sekiranya ada
garam secukup rasa
minyak untuk menumis

Bahan tambahan:
Amie tambah 5 sudu makan serbuk kari daging
~ Amie rebus 600 gram daging kambing bebiri hingga lembut
~ 4 biji ubi kentang - belah 2
~ 1 batang lobak merah - potong 4 dan belah 2
~ 7 batang kacang panjang - patah-patahkan
~ 2 biji tomato - belah 2
~ 1 batang kulit kayu manis
~ 3 kuntum bunga lawang
~ 4 ulas bawang putih - kisar
~ 7 biji bawang merah - kisar

Cara:
1. Masak kacang parupu dengan 2 cawan (cup) air, masukkan serbuk kunyit dan serbuk cili. Sekiranya tak cukup air semasa memasak boleh tambah air sedikit tetapi jangan terlalu banyak. Setelah cukup lembut, ketepikan - Amie rendam terlebih dahulu kacang parupu / dal hingga kembang dan kemudian rebus hingga lembut.
2. Panaskan periuk atau kuali dengan api sederhana besar dan masukkan minyak untuk tumis. Bila minyak panas masukkan cili kering,   biji jintan putih dan manis,  sekiranya suka boleh masukkan daun kari sedikit dan halia cincang. Bila biji rempah mula meletop, masukkan cili hijau - Amie masukkan bawang putih, bawang merah, kulit kayu manis dan bunga lawang dan setelah naik bau Amie perlahankan api serta masukkan serbuk kari dan tambah sedikit air.
3. Masukkan “serbuk astofeida” sekiraya suka pada baunya.  Astofeida ini bentuk serbuk yang diperbuat dari bawang putih. Awas jangan sampai hangus tumisan anda nanti pahit pula kari anda. Masukkan serta-merta parpu yang telah masak tadi ke dalam tumisan. Tumis campuran parupu dalam 2-3 minit lagi dengan adunkan rempah-rempah tadi - Amie tidak tambah serbuk Astofeida.
4. Masukkan air mengikut kepekatan yang anda kehendaki. Pada masa ini juga, sekiranya anda suka bolehlah masukkan sayur-sayuran seperti, kentang, tomato, dan karot. Biarkan kentang masak empuk. Pada masa ini Amie masukkan daging kambing bebiri yang telah direbus. Masukkan garam secukup rasa. Perhatikan Mamak Haji suruh masukkan garam diakhir ubi kentang masak kerana garam akan melambatkan ubi kentang masak. Sekiranya garam dimasukkan diawal masakan, kita tidak boleh tentukan jumlah garam yang diperlukan ia semasa cair dan selepas bertukar menjadi pekat. Dengan sebab itu masukkan garam di akhir setiap masakan.
5. Masukkan santan dan tentukan kepekatan kari yang anda kehendaki. Biarkan ia dimasak 5 minit lagi sehingga mendidih untuk tidak cepat basi. Ketika ini Amie masukkan kacang panjang, dan tomato dan masak selama 1 minit lagi. Tutup api dapur dan hidangkan. Kari parupu ini amat sesuai menjadi kuah pencicah untuk roti canai, capati, tosai atau roti potong. Khasiat parupu yang tinggi protein itu sangat sesuai untuk kanak-kanak dan juga kepada yang ingin menjaga diet dalam pemakanan.



Wokey....Dalca Daging Kambing sudah tersedia dengan kuahnya yang pekat dan aromanya yang menggoda selera! Jom nikmati bersama di dapur Amie. Boleh makan dengan nasi, dan tidak kurang enaknya cicah roti!


Amie pilih roti canai! Memang sengaja masak lebih supaya boleh cicah dengan sebarang roti! Bismillah....



22 ulasan:

mama sara nur berkata...

assalam
sanapun ujan ye k.amie...hari ni axtv dlm rumah je la kan he he
memang lapo je ni sejuk2, makan tido
tergugat jgk tgk dalca K.Amie yg sedap ni emmm kriuttt bunyi perutku he he

aeinio berkata...

askm.. aduhh sedapnya dalca.. kambing lak tuh.. ain ambik ya resepi ni amie... tq.. nnt nak cuba... :)

amy berkata...

aduhh kak amie...semua nampak sedap..boleh bukak restoran nih lapar plak ujan2 ni..:)..

Evelyn Gemina berkata...

Salam dear kak amie,

Ada2 saja menu istimewa kak amie yang menggamit kalbu, memang menyelerakan sungguh, dah lama x makan cam ni, aduhaiii.....

Amie berkata...

Mama Sara Nur,
jom jommm makan.... hari ni masak dalca sebelanga!

Aeinio,
silakan ....buat sedap2 ye, nanti dah siap panggil kita makan ha ha ha ahh

Amy,
memang kalau hujan hari2 perut cepat lapar... nis sedia banyak2 supaya anak-anak tak merengek2 minta buatkan makanan...

Evelyn,
kak Amie pun lama dah ngidam nak makan dalca, hari ni baru puas makan...

Temuk berkata...

Nampak "tasty" sungguh dalca Amie tu. Yang lebih penting, Ayah ingin ucapkan kepada Amie dan En. Suami, Selamat Menyambut Ulang Tahun ke 18. Semoga berbahagia selalu.

Amie berkata...

Ayah Temuk,
Lama sangat tak masak dalca, sesekali masak penuh sebelanga!
Terima kasih ucapan itu, alhamdulillah... memang hari ini genap 18 tahun usia perkahwinan kami! Mudah-mudahan....amin.

Cendana Kasih berkata...

pergh...kena ngan nasi minyak mmg mantop laaa.... aduuhhh... teringinnyer...

Dede Thea berkata...

Hujan hujan dan hujan ini cocok di musim dingin bertsantap menu hangat seperti karya AMIE ini,kambing adalah kesukaan saye,Izinkan saye mencuba resepi ini Amie,,,,Terimakasih

Amie berkata...

Cendana Kasih,
tak sempat buat nasi minyak CK... dah tak sabar nak makan he he heh

DedeThea,
silakan... masak yang enak2 ya...

ummiross berkata...

Terima kasih Amie berkongsi tips yang bagus ni.

Penyuluh Perikanan berkata...

waou lezat nih

izan mama mia berkata...

owh..lamb...

sHa AhM@d berkata...

wahhh..terbaik..kambing..tapi sha tak makan kambing hehehe..roti canai tu yang sedap..

Kakzakie berkata...

Baru kakak tahu dal pun dipanggil perupu.

Best betul tengok gambar yg Amie tepek, rasa macam nak makan je.

Azian Elias berkata...

Dalca yang cantik tu digambung pulak dgn perata, mak aiii.. terliur di waktu hujan nii. laparrr...

Wattie berkata...

Salam Amie,
Waaaa....bestnya dalca. KIta peminat tegar resepi MamakHaji. Nampak sungguh sedap la Amie, pekena pula ngan roti canai, perrgghh.....

Tina Othman berkata...

aduh sedapnya kak amie,terasa2 pulak tina nak makan dalca ni

Sue @ Nenie berkata...

Salam Kak Amie..ohhhh terguda sungguh saya tgk dalca ni..Dahlah sejak akhir2 ni saya dah suke makan kambeng....

Amie berkata...

Ummiross,
alhamdulillah... yang bagus kita kongsi bersama ye Ummi.

Penyuluh Perikanan,
terima kasih...

Izan Mama Mia,
ye lamb...

Amie berkata...

Sha,
terima kasih Sha... ada yang makan ada yang tidak.

Kakzakie,
jemput kak... ni Amie pun baru tahu bila jelajah restoran Mamak Haji...

Azian Elias,
betul tu Azia... time hujan, sejuk gini memang menu ni saah satu pilihan yang menepati!

Amie berkata...

Wattie,
ni kenal dengan Mamak Haji pasal Wattie dok selalu sebut nama Mamak haji kat resepi yang Wattie masaklah ni... Amie pun teruja nak kenal siapa Mamak Haji tu he he heh...

Tina,
jomlah makan sama Tina... dalca ni satu belanga!

Sue,
dah mula makan kambing ye... yeayyyy dah ada gang!