Firdaus Bawa Mommy Masuk Hutan!
7:12 PTGBismillahirrahmanirrahim.
Tak sampai hati melihat Firdaus tercari-cari ikan untuk diberi makan. Nampaknya ikan-ikan di sini jenis liar. Menurut renjer hutan di situ, ikan-ikan belum kenal dengan tangan Firdaus. Itu sebabnya ikan tidak mahau mendekat. Oh, begitu rupanya!
Bagaimanapun, dari satu tempat ke satu tempat Firdaus dengan sabar menabur sedikit demi sedikit makanan ikan walaupun ikan-ikan di situ melarikan diri, bersembunyi di celah-celah batu.
Video kenangan Firdaus mencari ikan untuk diberi makan.
Dia buka selipar, letak di tepi sungai dan berkaki ayam masuk ke dalam air. Duduk di atas batu dengan sabar, sambil tangan 'memujuk' dan 'memanggil' ikan mendekatinya. Air sungai sangat sejuk, katanya.
Kebanyakan pengunjung hanya berada di sekitar Majestic Waterfall sahaja, iaitu air terjun pertama setelah menuruni anak-anak tangga dari pintu masuk. Mereka bergambar dan minum di kafe dan kemudian naik semula ke atas untuk pulang ke Teck Guan Cocoa Village.
Majestic Waterfall
Salah seorang renjer hutan mengajak Firdaus untuk turun ke bahagian bawah mencari ikan. Encik Suami pula asyik bercerita dengan renjer hutan di situ. Jadi Amie putuskan untuk menemani Firdaus. Amie sangka makanan ikan yang dibelinya sudah habis. Rupanya Firdaus simpan sebungkus dalam saku seluarnya. Sedihlah pula rasa hati kita kalau Firdaus tak jumpa ikan. Bersungguh-sungguh dia hendak bagi makan ikan.
Kami menuruni anak-anak tangga, melewati beberapa buah air terjun.
Setiap kali kami sampai di pondok kawalan, renjer hutan akan tunjukkan kawasan yang ada ikan. Katanya, pergilah ke bawah, ada pengawal di situ. Terdengar renjer hutan berhubung dengan renjer hutan di bahagian hadapan dengan menggunakan walkie talkie. Amie terdengar percakapannya: Ada dua orang turun ke bawah! Rasa selamat berada di situ kerana ada yang memerhatikan kami.
Firdaus keluarkan makanan ikan dari saku seluarnya dan menaburkannya di atas air, tetapi ikan-ikan terus melarikan diri.
Entah berapa kali kami temui air terjun!
Waktu ini Amie tidak perasan sebenarnya ada enam air terjun kesemuanya bermula dari Majestic Waterfall. Tujuan Amie hanya temankan Firdaus beri makan ikan. Tak sangka pula bertemu beberapa air terjun, dan empat kali bertemu renjer hutan. Kadang-kadang terserempak dengan beberapa orang pengunjung yang naik tangga, dan ada juga yang sedang berjalan menuruni anak-anak tangga menuju ke hadapan lagi.
Bertemu pula dengan pengawal hutan di sini. Kesemua pengawal hutan yang kami temui sepanjang berada di sini membantu Firdaus mencari ikan! Ada yang berpesan : Lain kali datang sini kami bawa pakaian. Boleh mandi-mandi juga.
Di sini barulah Firdaus jumpa ikan. Sewaktu Firdaus taburkan makanan, banyak ikan datang mendekat tetapi dengan pantas menyembunyikan diri setelah dapat makanan.
Ambil gambar Firdaus di tepi pokok tumbang.
Rupanya bukan sebarang tempat! Di bawahnya ada aliran air terjun.
Subhanallah! Tak puas mata memandang keindahan alam ciptaan Allah.
Setelah makanan ikan habis, Amie ajak Firdaus untuk kembali semula ke Majestic Waterfall.
Entah berapa lama kami menelusuri kawasan air terjun ini!
Abadikan suasana dalam rakaman video.
Sudah turun tangga, kenalah naik tangga semula.
Akhirnya sampailah kami di tempat Encik Suami yang masih bersembang dengan renjer hutan. Rupanya lebih sejam Amie berjalan meredah hutan dengan Firdaus. Menurut renjer hutan, kawasan air terjun di sini merupakan kawasan hutan simpan negeri Sabah. Teck Guan Cocoa Village yang mengusahakan kawasan ini mempunyai perjanjian iaitu, sekiranya ada sekali berlaku kematian dalam kalangan pengunjung maka tempat ini akan ditutup buat selama-lamanya. Itu sebabnya kawalan keselamatan sangat dititikberatkan.
Menurut renjer hutan itu lagi, sekiranya waktu cuti umum dan cuti sekolah, bilangan pengunjung mencecah 1,000 orang dalam sehari. Kebanyakan pengunjung hanya datang ke Majestic Waterfall sahaja. Patutlah Amie lihat tidak putus-putus gerabak kelapa sawit ulang-alik membawa penumpang dari Teck Guan Cocoa Village ke Cocoa Culture Spring!
Renjer hutan tadi tanya Amie, adakah sampai di tempat batu bersusun. Amie pun tak perasan mana satu batu bersusun. Katanya lagi, kalau Amie sampai di situ jarak dari cafe di Majestic Waterfall ialah sejauh 1 kilometer. Ada juga kelihatan beberapa orang pengunjung meneruskan perjalanan ke sana.
Apabila mendengar jarak 1 kilometer itu, tiba-tiba rasa mengah pula... ahaks! Walaupun tak sampai ke tempat batu bersusun tapi peluh yang mengalir naik turun tangga menjadi bukti jauh jugalah kaki ini melangkah.
Columnar Basalt : Google |
Apabila Amie tanya Pak Google, dapatlah gambaran sebenar tentang Columnar Basalt di Teck Guan Cocoa Village. Memang tempat ini terdapat dalam peta di pintu masuk Cocoa Culture Spring. Dapatlah tambah ilmu tentang pembentukan Basalt Columnar yang dipelihara dengan baik di hutan simpan. Basalt ialah sejenis batuan gunung berapi. Warna daripada kelabu kepada hitam dan berbutir halus. Basalt tanpa cuaca berwarna hitam atau kelabu.
Columnar Basalt : Google |
Dalam hutan pun disediakan tandas!
Kami tidak kembali ke Majestic Waterfall, sebaliknya terus mendaki ikut tangga sebelah kiri untuk sampai ke pintu keluar.
Beginilah rupa anak-anak tangga yang kami daki untuk sampai ke pintu keluar.
Di sebelah kanan kami, disediakan tali yang diikat kukuh pada tiang.
Sempat juga pegang tali ini untuk bawa badan naik ke atas! Maklumlah tangganya curam dan perlu banyak tenaga untuk terus melangkah.
Alhamdulillah. Walaupun peluh bercucuran tetapi sampai juga ke tangga terakhir.
Gerabak kelapa sawit.
Syukur, sebaik sahaja sampai di pintu keluar sudah kelihatan sebuah gerabak kalapa sawit datang membawa pengunjung. Kami terus naik gerabak untuk pulang ke Teck Guan Cocoa Village. Perjalanan memakan masa selama 15 minit. Firdaus sempat mengira waktu. Katanya kami berada di Cocoa Culture Spring selama dua jam setengah. Lama juga kami di sini. Bermula dari jam 10 pagi, dan kembali semula ke Teck Guan Cocoa Village tepat pukul 12:45 tengah hari. Kami berpapasan dengan gerabak yang membawa pengunjung ke Cocoa Culture Spring. Di hentian gerabak, aduhai... ramai pengunjung sedang menanti giliran untuk ke Cocoa Culture Spring.
3 comments
Selalunya ikan tak menolak rezeki, pemalu sangat nampaknya ikan kat situ..
BalasPadamKalau mandi mesti best ni! Banyak air terjun dan nampak bersih juga airnya. Saya kalau datang tempat macam ni mesti nak mandi!
Jungle treking best jugak tu. Kena pakai pakaian yang sesuai la nak masuk hutan. Mesti syok kalau boleh camping kat situ.
BalasPadamPandai pula ikan-ikan ni memilih ye. Gigih Firdaus bagi makan ikan. Pandai pulak tu simpan sikit dalam poket. Tak putus asa dia. Dalam tak sedar dah jauh kak Amie dan Firdaus jalan. Sejam juga tu lamanya. Dah berjalan melihat keindahan air terjun jadi masa berjalan dengan cepat tanpa kita sedar. Baguslah kat sini ramai renjer hutan. Kita jadi yakin kalau keselamatan terjaga. 1km kira jauh tu, tak dapat lah nak tempat batu bersusun tu. Tapi cantik tempatnya. Fuhh...tapi naik tangga dia tu boleh tahan mengah jugak kak Amie. Masuk sini dah macam hiking pulak dah. Turun naik yang serba mencabar.
BalasPadam