Ikan Layar Masak Lada Putih Resepi Mak Mentua Yang Sangat Sedap!
3:26 PTG
Assalamualaikum.
Jumpa lagi. Hari ini Syawal ke-7.
Alhamdulillah. Sepanjang sambutan raya kali ini tertunai hasrat untuk bertemu saudara-mara sebelah Encik Suami di LD. Anak-anak pun seronok beraya bersama walaupun kepenatan membantu Amie di dapur. Maklumlah semuanya lelaki, dan siapa lagi nak diharapkan bantu kalau bukan Encik Suami dan anak-anak. Anak-anak bujanglah yang menyusun kuih-muih dalam balang, membersihkan dan menghias rumah serta mencuci pinggan mangkuk di dapur sewaktu kami mengadakan rumah terbuka untuk keluarga, saudara mara, jiran tetangga dan rakan-rakan.
7 hari asyik menjamu selera dengan masakan berasaskan daging dan ayam termasuk rendang, masak merah, masak opor, masak kicap, sate ayam, sate rusa dan sebagainya. 7 hari jugalah rasa rindu ingin menjamah nasi putih dengan ikan goreng atau telur dadar! Rasanya puas sudah makan nasi himpit, ketupat, buras dan tumbuk! Bukan apa, baik siang atau pun malam kami cuba memenuhi undangan jamuan raya di rumah teman dan saudara-mara. Kami sendiri berebut waktu untuk mengadakan jamuan raya di rumah sendiri memandangkan anak-anak yang pulang bercuti pun ingin menyambut raya bersama teman-teman di LD.
Apa pun syukur Alhamdulillah. Udangan majlis rumah terbuka yang kami hadiri, kami cuba menjamah serba sedikit hidangan yang telah disajikan. Tuan rumah telah bertungkus-lumus menyediakan pelbagai juadah, jadi kurang manis kalau kita tidak menjamahnya. Kalau banyak undangan, tidak perlulah makan banyak dan sekenyang-kenyangnya di sesebuah rumah yang dihadiri, cukuplah sekadar isi perut sedikit.
Hari ini kita cerita tentang lauk makan nasi kami tengahari tadi.
Dua hari lepas, sewaktu pulang dari bertandang ke rumah adik ipar di Silabukan, kami sempat singgah di gerai ikan segar di tepi jalan. Di hati memang sudah memasang angan-angan untuk beli ikan basung @ selayang atau ikan-ikan yang sewaktu dengannya. Nalik rumah, bolehlah masak nasi dan goreng saja ikan tadi, buatkan sambal kicap dan sayur masak bening. Tapi, lain ikan yang hendak dibeli, lain pula yang dibawa pulang! Ikan basung @ selayang ada di depan mata, tetapi sebelah mata lagi terpandang ikan layar!
Akhirnya terlupa beli ikan basung@selayang sebaliknya Encik Suami borong 3 kilogram ikan layar! Ikan basung@selayang kami sudah lupakan dan membayangkan pula Ikan Layar Masak Lada Putih terhidang di atas meja dengan nasi putih panas berwap! Hurrrmmm.. nak dijadikan cerita, malam itu masak benda lain pula sebab rakan-rakan Farid dan Fuad datang beraya! Jadi, ikan layar terus masuk peti sejuk bahagian beku!
Ketika Ikan Layar Masak Lada Putih sedang dimasak, Farid menjengok ke dapur! Apa Mommy masak ni? Baunya sampai masuk bilik saya! Inilah Ikan Layar Masak Lada Putih, resepi arwah MIL yang sangat ringkas tapi sedapnya sampai menjilat jari! Kuahnya nampak berminyak, tapi sebenarnya sebahagian minyak tersebut keluar lelemak ikan layar yang terdapat pada bahagian perut dan sirip di bahagian belakangnya. Jangan risau, kalau tak dapat makan banyak bahagian isi ikan, sebab makan nasi dengan kuahnya pun sudah cukup sedap!
Ini gambar kepingan ikan layar yang Amie ambil dari entri yang lalu. Lihat bahagian belakang dan perut ikan yang nampak berlemak itu! Bahagian inilah yang sering menjadi rebutan berbanding bahagian isi ikan layar! Ikan layar ini nampaknya tidak bersisik, tetapi sebenarnya di bawah kulitnya yang berwarna gelap itu penuh dengan sisik seperti yang Amie tunjukkan di bawah ini.
Kena cungkil atau kuis kulit ikan untuk buang sisiknya. Sisik di bahagian perut dan belakang ikan layar pula berupa jarum-jarum panjang yang tajam. Lain kali Amie tunjukkan rupa sisisknya yang panjang dan tajam seperti jarum.
Setelah dibersihkan, bolehlah p[otong-potong ikan layar ikuit suka. Saiz ikan ini memang besar, jadi memang kena potong sebelum memasaknya, kecuali kalau ingin memanggangnya dalam bentuk kepingan. Gambar di atas bukanlah ikan layar yang Amie masak hari ini. Amie ambil sebagai contoh dari entri lepas.
Ikan Layar Masak Lada Putih sudah siap terhidang. Memang anak-anak berebut makan. Amie sengaja masak lebih supaya anak-anak dapat menikmati sepuasnya setelah agak lama tidak menjamah ikan...hiks!
Sambil makan nasi, Encik Suami bercerita bagaimana arwah FIL membeli hampir 10 kilogram ikan layar setiap kali 'menemui' ikan tersebut di pasar. Dahulu ikan layar memang banyak dijual, tetapi sekarang sangat jarang ditemui. Itu sebabnya FIL suka simpan stok ikan layar! Terbayang kembali bagaimana MIL masak ikan layar kalau kami datang ke kampung. Selain goreng saja dan dihidangkan bersama sayur lodeh pucuk ubi campur jantung pisang serta pucuk betik, MIL suka masak dengan lada putih. Lada putih yang MIL gunakan bukan sedikit, tapi segenggam! Hahaaaa... MIL ambil saja dari balang yang berisi penuh lada putih! Maklumlah, MIL buat sendiri lada putih, tuai dari pokok lada putih di belakang rumah. Amie pun tak tahu sukatan lada putih yang MIL gunakan, cuma dapat merasa lada putih yang agak kasar tapi sedap dalam masakannya! Beberapa kali Amie cuba masak ikan layar tetapi tidak sesedap masakan MIL sehinggalah Amie tambahkan lebih banyak lada putih dan asam jawa, barulah agak sama rasanya seperti masakan MIL.
Bahan-bahan:
1.2 kg ikan layar - bersihkan - potong ikut saiz yang disukai
1 sudu besar pati asam jawa - bancuh dengan secawan air
garam / perasa pilihan secukupnya
1/2 cawan minyak
Bahan tumbuk:
1 sudu besar lada putih
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
4 cm halia
Cara memasak:
1. Panaskan minyak dan tumis bahan tumbuk hingga terbit bau.
2. Masukkan ikan layar dan gaul. Biarkan seketika sehingga ikan layar berubah warna.
3. Tuangkan bancuhan air asam jawa.
4. Biarkan sehingga masak mendidih, serta keluar minyak dan kemudian perasakan dengan garam /perasa pilihan secukupnya.
5. Padamkan api dapur.
Tapi kalau dah jumpa lauk begini, dah tak pandang lauk lain...hiks!
0 comments