ADSENSE

Isnin, 27 November 2017

Pengat Keladi

Bila sebut tentang pengat keladi, maka terbayanglah pencuci mulut yang sangat popular di kampung kami masa kecil-kecil dulu. Maklumlah, hidup sebagai anak tani, memang tak lari dari menyantap hidangan berasaskan ubi, keladi, keledek, jagung, pisang dan sebagainya! Ketika bulan puasa, Bonda tidak ketinggalan menyediakan pengat sebagai pemanis mulut. Sepanjang bulan puasa, memang ada sahaja pengat yang Bonda olah termasuk pengat keladi! Biasanya Bonda memilih jenis keladi minyak atau keladi bantan untuk dibuat pengat atau dalam bahasa kami disebut kolak keladi!

Keladi yang Amie olah hari ini bukan keladi minyak atau keladi bantan. Tak tahu keladi apa...ahaks! Kaka ipar yang kirim dari kampung pada minggu lepas. Bila Amie kupas kulitnya, isinya nampak putih kekuningan dan masih dalam keadaan elok. Alhamdulillah, setelah masak menjadi pengat, sedaplah pula rasanya! Rasa empuk dan kenyal-kenyal!


Bahan-bahan:
500 gram keladi - kupas kulit dan potong dadu - cuci dan toskan
1 tin isi jagung
1/2 cawan sagu biji -  cuci dan toskan 
600 ml santan cair
200 ml santan pekat
5 sudu besar - jika suka manis boleh tambah (boleh gunakan gula melaka atau gula perang)
secubit garam
1 helai daun pandan - siat dan simpul


Cara memasak:
1. Masukkan santan cair ke dalam periuk bersama keladi, dan isi jagung serta daun pandan. Masak hingga mendidih.
2. Tambahkan gula pasir dan sagu biji. 
3. Apabila gula telah larut dan keladi mula empuk, masukkan santan pekat dan secubit garam.
4. Padamkan api dapur setelah kuah pengat mula mendidih.

 Keladi cepat empuk, jadi jangan masak terlalu lama, nanti hilang rasa kenyalnya!

3 ulasan:

adda syuhada berkata...

laparrrr tgk gmbr makanan ni

Phong Hong berkata...

Amie, PH nak dua mangkuk!

LiNa_Pg berkata...

Sedapnya kak amie..tambah2 cuaca sejukkkkk ni