~Sepanyol (Algeciras - Granada - Cordova - Seville - Toledo - Madrid)
Senja di Albaizin Quater, Granada
Bismillahirrahmanirrahim.
Kami sangat teruja ketika diberitahu sudah berada di Granada, sebuah perkampungan terakhir komuniti Islam di Sepanyol. Kami juga difahamkan terdapat sebanyak 74 buah masjid di Granada tetapi 73 buah daripadanya sudah dijadikan gereja. Bertambahlah perasaan ingin tahu tinggalan sejarah peradaban Islam di Sepanyol ini.
Petang yang sudah sampai ke penghujungnya, remang-remang senja sudah jelas pada pandangan mata, sampailah kami ke Albaicin, Granada. Albaicin mengikut sebutan dalam bahasa Sepanyol, Albayzin dan al-Bayyāzīn dalam bahasa Arab. Albaizin merupakan kawasan kejiranan Granada dan berpusat di sekitar bukit di sebelah utara Sungai Darro.
Kawasan kejiranan ini terkenal dengan monumen bersejarahnya dan sebahagian besarnya mengekalkan pelan jalan zaman pertengahan sejak zaman Nasrid (abad ke-13 hingga ke-15), walaupun ia telah melalui banyak perubahan fizikal dan demografi selepas berakhirnya Reconquista pada tahun 1492. Albaizin diisytiharkan sebagai Tapak Warisan Dunia pada tahun 1994, sebagai lanjutan daripada tapak bersejarah Alhambra yang berdekatan.
Granada yang bermaksud delima ialah ibu kota wilayah Granada, dalam komuniti autonomi Andalusia, Sepanyol. Granada terletak di kaki pergunungan Sierra Nevada, di pertemuan empat sungai, Darro, Genil, Monachil dan Beiro.
Ada pun paparan gambar-gambar di bawah ini tidaklah khusus kepada tempat tertentu di Albaizin melainkan hanyalah rakaman sekadar yang dapat sahaja. Ketika itu ramai sangatlah pengunjung di sini dan sukarlah untuk bergambar.
Memandangkan masa yang diberi sangat singkat dan sudah menjelang senja menuju ke malam, tidaklah dapat mengambil gambar sepuas-puasnya di sini.
Video setibanya di Albaizin.
Wajah letih - seharian mengharung perjalanan dari Morocco, menyeberang Selat Gibraltar. Tertidur dalam bas, terjaga semula dan inilah wajah lesu ketika senja di Albaizin. |
Rasanya baru beberapa minit berjalan-jalan di sekitar, tiba-tiba kami dapati tour guide, tour leader dan sebahagian besar peserta rombongan sudah hilang dari pandangan! Syukurlah Amie dapat menghubungti tour leader menggunakan telefon. Rupanya mereka sudah bergerak menuju ke masjid! Tour guide meminta kami menunggu seketika sementara beliau berpatah balik untuk ,mengambil, kami.
Alhamdulillah, tour leader 'menjemput' kami untuk ziarah masjid di perkampungan Granada.
Mungkin inilah yang dikatakan pelan jalan zaman pertengahan Zaman Nasrid abad ke-13 hingga ke-15. Walaupun telah melalui perubahan tetapi kelihatan struktur dan jenis batuan masih dikekalkan. Nampak klasik! Seolah-olahnya laluan refleksologi pula.
Oleh kerana kami melalui lorong di waktu malam, tidaklah dapat bayangkan suasananya di waktu siang. Barangkali tidaklah sesibuk suasana di lorong-lorong pasar.
Lorong demi lorong kami lalui, simpang demi simpang kami jejaki tetapi perjalanan masih panjang dan jauh. Tapak kasut yang agak tebal masih dapat 'merasakan' ketajaman batu-batu yang menonjol di sepanjang jalan. Kedinginan malam mula terasa! Bibir dan pipi mula kebas. Dingin yang teramat. Entah berapa bacaan suhu ketika ini.
Sekarang kami sedang menghampiri Plaza del Cementerio de San Nicolás. Kedudukan masjid yang akan kami kunjungi letaknya bersebelahan dengan gereja San Nicolas.