Sedapnya Mee Goreng Daun Kucai
10:39 PG
Kerja Encik Suami setiap pagi kalau balik bercuti di kampung Amie:
Suka meronda ke gerai keliling kampung cari sarapan pagi... nasi lemak, roti canai, dan karipap. Dibelinya berbungkus-bungkus nasi lemak. Katanya murah sangat. 70 sen sebungkus. Iyolaaa... memang murah sangat tapi tengoklah saiznya.... sesuailah dengan harganya! Nasinya sekepal, dibubuh sambal, ikan bilis dan telur goreng. Kalau harga RM1.40 sen tentulah dapat dua kepal! Nak kenyang makan nasi lemak kenalah makan 3 atau 4 bungkus!
Satu lagi, dibelinya roti canai sampai 10 keping. Katanya, nanti kalau cucu cicit Bonda datang, bolehlah makan kalau lapar.
Dibelinya juga karipap... sebab dia tahu Amie suka makan karipap... makan intinya saja tau!
Pantang dengar ada pasar malam, baik di Bukit Cheraka, Kapar, Ijok atau Batang Berjuntai, bergegaslah dia ke sana.
Apa benda yang dicarinya?
Pecal! Memang tak jemu-jemu Encik Suami makan pecal! Pernah kami bercuti sepanjang bulan puasa di kampung, setiap petang memang juadah berbuka puasanya hanya pecal! Kalau boleh sahur pun dia nak makan pecal! Kadang-kadang Amie usik dia... dulu tak mahu makan pecal sebab ada cekur dalam kuah kacangnya, sekarang dia pulak yang tercari-cari pecal!
Itu cerita Encik Suami. Walaupun hari-hari dibelinya nasi lemak, roti canai dan karipap tapi Amie nak buat sarapan juga. Nak sediakan sendiri.
Walaupun sekadar mee goreng yang ringkas tapi Amie puas hati sebab seringkali memendam rasa nak makan mee kuning. Kalau di Lahad Datu, biasanya kami gunakan mee kering dan rasanya sudah tentulah berbeza sedikit dengan mee kuning basah. Tak payah hidangkan mee goreng ni. Goreng dan biarkan saja dalam kuali. Nanti kalau dah datang cucu cicit Bonda yang kecik-kecil comel tu, masing-masing tahulah mencarinya bila perut rasa lapar.
Mee gorengku sudah masak. Masih dalam kuali... mmmmm, selain aromanya yang menyelerakan, suasana dapur pun sungguh menyegarkan sebab buka saja tingkap terus nampak pelbagai bunga-bunga segar. Angin pagi pula menerpa lembut ke muka.... asyiknya! Rasa tak mau balik ke Lahad Datu!
Amie bubuh banyak daun kucai dalam mee goreng ini. Goreng biasa-biasa saja, tak bubuh cili sebab nanti ada budak-budak kecik yang nak makan. Kang pedas pulak. Kesiankan....
Bahan-bahan:
1 kg mee kuning - bilas dan toskan
15 biji bebola ikan - belah 2
4 keping kek ikan - belah 2
10 batang kucai - potong 3 cm
2 cawan taugeh
3 ulas bawang putih - cincang
1 labu bawang besar - cincang
2 sudu makan udang kering - redam hingga lembuk dan tumbuk kasar
1 sudu makan sos tiram
6 sudu makan kicap manis Cap Kipas Udang
4 sudu makan minyak
Cara:
1. Panaskan minyak dan tumis bawang putih dan bawang besar hingga layu.
2. Masukkan udang dan tumis lagi hingga terbit bau.
3. Seterusnya masukkan kepingan kek ikan dan bebola ikan. Gaul sebati.
4. Masukkan mee kuning, diikuti dengan sos tiram dan kicap manis.
5. Gaul rata hingga sos kicap menyerap ke dalam mee, dan akhirnya masukkan taugeh serta kucai.
6. Kacau beberapa kali dan padamkan api dapur.
Kalau perut dah rasa lapar lepas main-main bersama kawan, anak-anak dah tak peduli apa ada dalam mee goreng! Kucai ke, taugeh ke... semua masuk perut!
4 comments
Lepas selesai masak.. tutup makanan dengan daun pisang..
BalasPadamMmg nostalgia..
Shamsiah,
BalasPadamyaaa... nostalgia kampung.
terasa sedapnya mee goreng Amie tu..dengan wangi daun pisang
BalasPadamUlasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
BalasPadam