ADSENSE

Isnin, 12 Mei 2014

Nasi Lemak Tumis & Sambal Udang Aroma Pandan

Assalamualaikum dan selamat pagi.
Nasi Lemak Tumis yang Amie paparkan ini merupakan hidangan sarapan pagi kami seisi keluarga kelmarin. Memandangkan sibuk dengan beberapa urusan makan-makan keluarga di kampung, jadi entri masakan terpaksa ditunda dan Alhamdulillah hari ini Amie dapat kongsikan bersama.



Sekali lagi Amie berkesempatan mencuba resepi dari buku masakan Hidangan Tradisi Pulau Pinang oleh Puan Hasma Basir. Kali ini Amie cuba masakan Nasi Lemak Tumis.  Lauk pauknya pula Amie olah mengikut citarasa keluarga. Amie rasa teruja untuk mencuba Nasi Lemak Tumis memandangkan bahan yang digunakan agak sedikit berbeza dengan resepi nasi lemak yang selalu Amie hasilkan. Kita lihat sama-sama apakah bahan-bahan pilihan Puan Hasma Basir di bawah ini.


Resepi : Nasi Lemak Tumis
Sumber : Hidangan Tradisi Pulau Pinang oleh Puan Hasma Basir

Bahan A:
3 cawan beras - cuci bersih dan toskan

Bahan B:
2 biji bawang merah - hiris
2 cm halia - hiris
1/2 cawan minyak

Bahan C:
5 biji buah pelaga
2 helai daun pandan

Bahan D:
3 cawan santan 
1 sudu makan garam - ratakan

Biasanya kita jumpa kulit kayu manis atau bunga lawang serta bunga cengkih dalam nasi lemak, tapi kali ini kita jumpa buah pelaga pula.



Cara:
1. Panaskan minyak dalam periuk dan tumis Bahan B hingga layu kekuningan.
2. Masukkan pula Bahan C dan diikuti dengan Bahan A.
3. Gaul kesemua bahan dan masak sehingga beras menjadi kering.
4. Kemudian tuangkan santan dan kacau rata. Tutup api dapur selama 15 minit.
5. Hidupkan kembali api dapur dan masak nasi hingga tanak.

Inilah yang Amie rasa keunikan resepi ini kerana setelah kesemua bahan digaul rata, dimasak pula hingga beras kering... dan setelah dituang santan, api dapur pula dipadamkan dan dibiarkan selama 15 minit! Dan kemudian dimasak lagi sehingga nasi tanak!

Amie dapati Nasi Lemak Tumis kelihatan cantik berkilat! Fuad (tukang komen masakan) mengatakan nasi lemak ini sungguh enak! Memandangkan tidak ada resepi tentang lauk pauk Nasi Lemak Tumis (melainkan ada gambar sambal dan telur dadar tanpa penerangan), jadi Amie memilih sendiri lauk pauk yang hendak digandingkan dengan nasi tersebut.


Amie sediakan Sambal Udang Aroma Pandan pula! Rasanya sudah tentulah selain sedap, harum menambah selera sampai Fuad berkali-kali menambah sampai licin sambal di kuali! Kita lihat resepinya di bawah ini:

Resepi : Sambal Udang Aroma Pandan
Olahan : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
800 gram udang kertas - bersihkan dan buang kulit
1 labu bawang besar - mayang kasar
1 sudu teh pati asam jawa - bancuh dengan 1/2 cawan air
5 helai daun pandan - siat dan simpul
1/2 cawan minyak
garam / gula / perasa pilihan

Bahan kisar:
20 biji cili kering
1 genggam udang kering - rendam hingga kembang - toskan
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah


Cara:
1. Panaskan minyak dan goreng daun pandan hingga terbit bau.
2. Masukkan bahan kisar serta gula dan tumis hingga terbit minyak. Jika terlalu kering, masukkan bancuhan air asam jawa.
3. Masukkan udang dan tumis sehingga udang masak.
4. Perasakan dengan garam / perasa pilihan.
5. Keluarkan daun pandan apabila hendak menghidangkan sambal.



Amie tambah keropok papadom dalam hidangan.



Ada sesiapa ingin mencuba resepi ini?



Dipersilakan dengan segala senang hati. Hidangan yang bakal anda sajikan pasti menggoda selera seisi keluarga untuk menikmatinya!

3 ulasan:

adda syuhada berkata...

Sekali makan, akan tambah berkali2 nih.

Yatie berkata...

waduhhhhh kemecer aku...uweenakkkkk bangetttt...

Yatie berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.