ADSENSE

Jumaat, 10 Ogos 2012

Iftar Hari Ke 21 : Chicken Sweet Chilli Sauce & Sup Jagung

Assalamualaikum.


Sampai rumah petang tadi tepat pukul 3 petang. Rendam 2 ketul ayam bahagian peha. Kemudian baring-baring di ruang tamu untk sejukkan badan seketika. Apa nak dimasak ayam 2 ketul tu nanti. Masak sup? Masak asam pedas? Atau goreng saja? Mata pun terpejam dan terlelap. Tak pula dapat mimpi nak masak apa. Hampir pukul 5 petang, barulah bergerak ke dapur. Masih terfikir-fikir apa hendak dimasak. Akhirnya Amie kupas 2 biji mangga di bawah ini. Siap sudah satu menu berbuka puasa.


Ketika memotong buah mangga, tiba-tiba terfikir pula untuk bubuh mangga atas ayam. Ayam mangga? Oh... dapat idea. Selesai memasukkan mangga ke dalam peti sejuk, Amie bersihkan ayam. Tumbuk bawang putih, halia dan lada hitam. Perap ayam dengan bahan tumbuk tadi. Amie tambah sedikit sos tiram, kicap manis dan minyak bijan. Kemudian Amie tutup dan biarkan ayam perap tadi. Sementara itu Amie masak nasi. Kemudian Amie kupas 2 biji kentang dan potong baji. Panaskan minyak dan goreng kentang hingga masak. dalam minyak yang sama, Amie goreng ayam perap tadi dengan menggunakan api sederhana panas. Oleh kerana masa menggoreng agak lama sedikit, Amie sediakan pula bahan untuk membuat Sup Jagung.


Sup Jagung sudah siap! Sesungguhnya anak-anak memang sangat suka hirup Sup Jagung. Sup Jagung Amie sungguh ringkas cara penyediaannya. Amie tidak bubuh sebarang bahan lain seperti isi ketam, cendawan dan lain-lain sebab krim jagung itu sendiri sudah cukup lazat!

Resepi : Sup Jagung
Sumber : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
1 tin jagung krim
300ml air
2 biji telur - pukul ringan
1 sudu teh serbuk pati ayam Tumix
1 sudu teh tepung jagung - bancuh dengan sedikit air
hirisan daun sup / daun bawang
hirisan cili merah
bawang goreng

Cara:
1. Masukkan jagung krim bersama air ke dalam periuk. Didihkan dengan api sederhana panas.
2. Setelah mendidih, masukkan serbuk pati ayam Tumix dan bancuhan tepung jagung.
3. Tuangkan telur ayam yang telah dipukul sambil terus dikacau di dalam periuk.
4. Tutup api dan tutup periuk.
5. Hidangkan panas bersama bahan hiasan seperti daun sup atau daun bawang, hirisan cili merah dan bawang goreng.

Ketika menyediakan Sup jagung, Encik Suami pun sampai ke rumah dan terus ke dapur membawa beberapa bungkusan. Salah satu bungkusan yang dibawa berisi sate ayam seperti di bawah ini.


Nampaknya hidangan terakhir yang belum siap tentulah ayam yang sedang Amie goreng. Tangan pun sibuk menyelongkar peti sejuk mencari bahan yang boleh dijadikan aksesori ayam goreng. Amie temui sos cili Thai, sekuntum bunga kantan, mangga muda dan daun ketumbar. Dalam remang-remang senja hampir waktu berbuka puasa, cepat-cepat tangan menghiris mana yang sempat. Jadilah hidangan seperti di bawah ini, Sweet Chicken Chilli Sauce.


Resepi : Chicken Sweet Chilli Sauce
Sumber : Amie's Little Kitchen

Bahan A:
2 keping daging ayam bahagian peha 
3 ulas bawang putih - tumbuk
2 cm halia - tumbuk
1/2 sudu makan lada hitam - tumbuk
1 sudu makan sos tiram
1 sudu makan kicap manis cair
1 sudu makan minyak bijan
1 sudu teh tepung jagung
minyak

Bahan B:
1/2 cawan sos cili Thai
1/2 cawan Chicken Sweet Chilli Sauce
1/2 cawan air

Bahan C:
2 biji kentang - kupas dan potong baji, goreng hingga masak
1/2 kuntum bunga kantan - hiris
1 biji mangga muda - ricih halus
1/2 labu bawang besar - mayang halus
3 tangkai daun ketumbar - hiris halus
1 biji cili merah - hiris

Cara:
1. Gaul daging ayam dengan kesemua Bahan A kecuali minyak. Perap seketika dan kemudian goreng hingga masak dengan menggunakan api sederhana panas. Angkat dan toskan.
2. Untuk sos, campurkan kesemua Bahan B dan didihkan atas api sehingga kuah memekat. Ketepikan.
3. Potong ayam goreng ikut cita rasa dan susun di atas piring.
4. Hiaskan dengan menggunakan Bahan C, dan tuangkan sos ke atasnya - Amie tuangkan sos dahulu dan kemudian hiaskan dengan Bahan C.

Selamat berbuka puasa!

4 ulasan:

♥♥azatiesayang ♥♥ berkata...

Salam amie..
Kreatif sungguh Amie..masukkan mcm2 bahan..jadilah menu yg sgt sedap & menarik!

ijayuji berkata...

Salam kak amie! maaf ya kak dtg lambat sikit ari ni kita lepak betul asyik ulang alik antar ank g tuition :( 2 org g tuition sama tempat tp waktu lain2 kena hantar n pick up pheewww... nak tumpang moreh kat sini :D kita ari ni mkn roti jala ajerr nasik tak makan ehehe..

EmbunRosaliza berkata...

Assalam amie, mlm tadi tak sempat meyinggah tgk menu amie, memang kreatif la amie dlm bab msk2 ni, tgk ayam tu sedap sangat mesti rasa pedas2 n manis kan, oh sup jagung tak pernah buat dan takpernah terfikir pun nak buat mcm tu, nampak sedap

Tihara berkata...

dapnye sate..setakat bulan pose saya tk penah ag beli sate kak..nak wat seniri jauh sekali..hihik :)