ADSENSE

Jumaat, 6 Mac 2015

Asam Pedas Ikan Kerapu Untuk Encik Suami!

Kelmarin petang Encik Suami ajak Amie beli ikan. Tiba-tiba dia terpandang longgokan ikan kerapu merah dan kelabu hitam. Bukan main suka hatinya.... samalah seperti MIL, kalau ternampak ikan kerapu di pasar pasti dibelinya. Tapi anak beranak ini sudah tentunya memilih ikan kerapu merah! Dan citarasa Encik Suami... masih sama seperti dulu, ketika MIL masih ada. 
Encik Suami memilih sendiri ikan kerapu merah sambil bersuara... sedap ni kalau masak sambal!
Syukur... semasa hayat MIL masih ada, Amie sempat belajar masak sambal ikan kerapu merah kegemaran keluarga mereka. Ikan kerapu merah ini mereka panggil ikan 'gelek', sebab kata MIL & FIL, sewaktu mereka di Pulau Cocos @ Keeling, ikan-ikan ini nampak 'bergelek-gelek' mengelilingi perahu.... Itulah namanya, selain nama ikan kerapu.

MIL 'wajib' gunakan jus limau nipis sebagai sentuhan terakhir masak sambal ikan gelek @ kerapu. Itu yang Amie ingat sampai bila-bila! Kelmarin memang kami sempat beli beberapa biji limau nipis... tapi entah kenapa, tiba-tiba Amie teringin 'derhaka' terhadap resepi ini. Amie teringin nak makan asam pedas ikan!  Tentulah agak berbeza masakan asam pedas dengan sambal ikan! Amie bayangkan walaupun masak asam pedas tapi Amie akan pastikan kuahnya pekat sedikit. Dan memandangkan isi ikan kerapu sangat lembut, sebelum masukkan dalam kuah asam pedas, Amie goreng terlebih dahulu sebagaimana proses MIL masak sambal. Amie pun mulakan operasi mengasam pedas, dan ketika masakan hampir siap, Encik Suami sudah sampai ke rumah membawa pulang Fuad, Fairuz dan Firdaus.
Seperti biasa, Encik Suami akan menjenguk ke dapur, dan sebelum Encik Suami tegur... Amie bersuara dulu:
Mummy tambah daun kesum, bunga kantan dan serai dalam 'sambal'...
Encik Suami tidak memberikan sebarang respon, sebaliknya berkata: Nak mandi, kejap lagi nak solat Maghrib.


Bahan-bahan:
500 gram (2 ekor) ikan kerapu merah -  bersihkan dan potong 2 - perap dengan secubit garam dan serbuk kunyit
1 kuntum bunga kantan - belah 2
3 tangkai daun kesum - patah-patahkan
2 batang serai - dititik
10 biji kacang bendi
1 sudu makan pati asam jawa - bancuh dengan 1 1/2 cawan air

1 sudu teh garam 
1 sudu teh gula / perasa pilihan
100ml minyak

Bahan kisar:
15 tangkai cili kering
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
2 cm belacan
1 sudu teh lada putih

Cara:
1. Goreng ikan kerapu hingga separuh masak. Ketepikan.
2. Gunakan lebihan bekas minyak gorengan tadi sebanyak 100ml, dan tumis bahan kisar dengan serai menggunakan api sederhana. Pastikan tumisan masak sehingga terbit minyak.
3. Masukkan bancuhan air asam dan biarkan hingga kuah mendidih.
4. Masukkan ikan kerapu bersama kacang bendi.
5. Masak lagi selama 3 minit.
6. Perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan.

Memang Encik Suami bukan kategori cerewet... dan tidak banyak songel. Tidak pula menagih... mana sambal ikan? Sebaliknya, habis diratahnya asam pedas ikan kerapu yang Amie masak dengan kuahnya yang pekat. Anak-anak pula, lebih gemar makan ikan goreng, jadi puaslah kami berdua makan Asam Pedas Ikan Kerapu!
Nanti... kalau ada ikan kerapu merah lagi, Mummy masakkan sambal pulak ye.... kata Amie dalam hati.... hiks!

2 ulasan:

Rohah berkata...

nggayah kuwi kak...mancing selero

kasihilmar.com berkata...

Asam Pedas... it's always my favourite!