Rabu, 31 Oktober 2012

Ikan Merah Masak Kari Mamak Style - Resepi Chahaya Sheila

Assalamualaikum.
Petang tadi Amie cuba resepi istimewa dari dapur SPICES JOURNEY. Agak lama juga Amie meneliti resepi kari ikan yang dimasak oleh Sheila. Berkunjunglah ke dapurnya, pasti anda terliur melihat paparan kari ikan mamak style yang sungguh istimewa! Warna kari Sheila memang cantik, kuahnya berlinang-linang dan mengecurkan liur. Bagaimana pun Amie perlu berpuas hati jugalah dengan hasil air tangan Amie walaupun tidak secantik dan mengancam seperti yang Sheila hasilkan, tapi bila anak-anak kata hasil air tangan Amie sedap, maknanya memang boleh diterima. Mungkin ada beberapa perkara yang perlu Amie perbaiki kerana Amie terlebih bubuh santan sedangkan santan yang digunakan oleh Sheila hanya 100ml sahaja! Jadi, warna kuah kari tenggelam dicerahkan oleh santan! Dan satu lagi,  Amie gunakan rempah kari bukan Ali Babas. Yang lain, memang 100% Amie aplikasi sepenuhnya resepi dan langkah demi langkah yang Sheila berikan sebagai panduan. Disebabkan anak-anak dan Encik Suami sudah menunggu dengan nasi terhidang di atas meja makan, Amie pun terlupa memasukkan terung goreng, kacang bendi dan cili hijau ke dalam masakan. Bila nak tangkap gambar, baru teringat.... jadi hasilnya seperti di bawah ini!


Apa pun terima kasih banyak-banyak ye Sheila... nampak benarlah kerja orang kelam-kabut berbanding dengan kerja penuh komitmen macam Sheila ye.... he he hehh. Untuk resepi dan cara memasakanya, sila ketuk pintu dapur Sheila - Spices Journey. Di situ anda akan memperoleh panduan serta maklumat lanjut mengenai resepi yang lazat ini. Istimewanya, Sheila menambah beras sangai yang ditumbuk halus ke dalam kuahnya. Memang ada kelainan pada rasa masakan ini. Amie gunakan ikan merah, bahagian kepala dan juga beberapa keping isi.



Kepala ikan di atas tu Amie dan Encik Suami yang ratah. Anak-anak makan isi ikan.



Ha... yang di atas ni Amie nak hantar ke rumah Sheila... jom ikut Amie!

Bubur Kacang Durian Bukit Hijau

Assalamualaikum.
Jom makan Bubur Kacang Durian Bukit Hijau! Sebab apa namanya ada Bukit Hijau, sebab Amie gunakan resepi Bonda. Bubuh halia dan bawang putih! Nanti Amie tulis resepinya ye.


Sekarang bukan musim durian di tempat Amie. Sebab teringin makan durian, kami beli durian dari Filipina.



Inilah rupa durian dari Filipina. Sebiji harganya RM30. Anak-anak memang tak makan durian. Jadi, beli sebiji boleh makan sendiri, lebihnya buat bubur kacang!

Selasa, 30 Oktober 2012

Terung Goreng Udang Petai & Ikan Sebelah Goreng

Assalamualaikum.
Entah berapa hari tak menjengok dapur. Amie mesyuarat di luar daerah dan tinggalkan rumah sejak pagi Ahad, jadi badan pun agak letih kerana perlu ambil tindakan segera untuk beberapa urusan. Petang tadi terlelap hingga ke pukul 5.30 petang, sewaktu Encik Suami pulang. Alamak.... belum masak untuk makan malam anak-anak! Amie buru-buru ke dapur, mencari dan menggeledah peti sejuk mencari bahan yang mudah untuk dimasak. Syukurlah ada ikan sebelah yang memang sudah siap dibersihkan dan dipotong-potong. Jadi Amie rendam untuk digoreng. Pada masa yang sama sempat rendam udang dan kupas kulitnya. Jadilah hidangan malam kami sekeluarga .... Terung Goreng Udang Petai dengan Ikan Sebelah Goreng. Encik Suami pula, bila melihat kita kelam-kabut di dapur, dia pun buat sendiri sambal kicap, maklumlah dia melihat Amie hiris-hiris saja cili besar untuk masak terung! Tentulah tak ada rasa pedas!

Cukuplah hidangan makan malam kami dengan 2 menu di atas serta semangkuk kecil sambal kicap hasil air tangan Encik Suami.


Ikan Sebelah Goreng.... bubuh kunyit dan sedikit garam. Lama juga tak jumpa ikan sebelah. Seekor ikan sebelah yang kami beli seberat 1 kg, dan minta penjual ikan bersihkan dan potong-potong! Senang nak masak. Lagi satu, sebab takut dengan giginya yang tajam macam gigi ikan piranha tu... pernah dulu bersihkan ikan sebelah, jari tercucuk giginya... hadoiiii.... bisa! 


Amie masak sekali harung 3 bahan termasuk 2 batang terung Taiwan, petai dan udang. Hasilnya,penuh satu mangkuk! Licin....

Resepi : Terung Goreng Udang Petai
Olahan dan Idea : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
2 batang terung Taiwan - belah 2 dan potong 6
25 biji petai
20 ekor udang kertas sederhana besar - bersihkan dan belah belakang
3 biji cli hijau - hiris
2 biji cili merah - hiris
1 labu bawang besar - hiris nipis
3 ulas bawang putih - hiris nipis
1 sudu makan serbuk pati ayam Maggie
minyak

Cara:
1. Goreng terung hingga masak dan toskan. Ketepikan.
2. Panaskan sedikit minyak.Goreng bawang besar, bawang putih, cili merah dan cili hijau hingga wangi.
3. Masukkan udang dan goreng kacau selama 5 minit.
4. Masukkan petai dan goreng kacau lagi sehingga petai berubah warna.
5. Masukkan terung Taiwan goreng.
6. Taburkan serbuk pati ayam Maggie. Kacau seketika sehingga rata.
7. Padamkan api.


Khamis, 25 Oktober 2012

Nasi Kambing Mandhi

Assalamualaikum dan Selamat Menyambut Aidil Adha pada hari esok. Amie sekeluarga tak balik kampung. Kami beraya seadanya di sini. Sebelum menjelang raya esok, Amie sudah siapkan hidangan Nasi Kambing Mandhi untuk seisi keluarga pada hari ini. Memang agak lama juga hendak memasak resepi ini tetapi tidak terbuat-buat. Akhirnya, terlaksana juga hasrat untuk memasaknya. Itu pun setelah berkali-kali membelek resepi, merujuk sana-sini termasuk blog masakan dan juga majalah masakan. maklumlah, kalau sepuluh yang dibelek, masih terdapat juga perbezaannya, dan Amie pun hampir tidak pasti mana satu resepi yang benar-benar asli ataupun yang sewaktu dengannya. Apa pun sempat juga Amie singgah melihat asal-usul Nasi Mandhi. Nasi Mandhi ialah sejenis nasi kukus atau nasi wap. Ada juga yang menggelarnya nasi kubur kerana asalnya dimasak dalam tanah menggunakan oven khas (Taboon in Yemeni) yang diperbuat daripada batu atau tanah liat dan ditutup rapat dengan bara api. Nasi Mandhi dikatakan berasal dari Yaman dan terkenal di seluruh negara Arab. Hidangan ini menjadi menu utama dalam majlis perkahwinan atau acara keramaian. Nasinya daripada beras panjang bermutu (Basmathi) yang dimasak bersama ayam atau kambing muda yang kecil dengan rempah tertentu. Nasi Mandhi dihidangkan bersama sos atau salsa tomato, serta sayur-sayuran dan jika dihidangkan bersama sup iaitu air rebusan ayam atau kambing dengan perahan lemon, dikatakan rasanya amat lazat! Keistimewaan Nasi Mandhi juga dikatakan terletak pada isi kambing biri-biri yang lembut!


Inilah Nasi Kambing Mandhi yang Amie hasilkan buat pertama kali dalam hidup! Untuk resepi Nasi Mandhi, Amie merujuk  ke dapur RESEPI RAIDAH yang katanya mempelajari resepi ini  dari blog rakannya yang tinggal di Riyadh. Barulah Amie faham mengapa Raidah 'mengasapkan' Nasi Mandhi dengan arang! Rupanya untuk aroma dalam nasi tersebut! Amie juga meneliti resepi yang diolah oleh lydia honey@myresepi.com dan mendapati beliau menyusun ayam atau daging di atas nasi dan kemudian 'mengasapkan' dengan bara arang dengan sedikit minyak zaitun. Amie cuba gabungkan kedua-dua resepi ini dan hasilnya memang sungguh menakjubkan! Namun begitu, ketika Amie memasukkan bara arang ke dalam periuk, Encik Suami berteriak! Ya Allah!!!... teriaknya. Apa yang Mummy buat tu???... ha ha ha ha... kita pun duduk menerangkan satu-satu mengapa kita buat begitu!


Gambar di atas sudah tentunya gambar Kambing Mandhi. Amie gunakan resepi daripada lydia honey@myresepi.com dan membuat sedikit penambahan mengikut resepi Kambing Mandhi dalam Majalah RASA keluaran Julai 2012.  Lydia menggunakan seekor ayam, tetapi Amie gunakan 1kg daging biri-biri. Setelah merebus daging bebiri mengikut cara rebusan ayam Lydia, Amie toskan sebentar dan perap bersama saffron dan serbuk kunyit seperti dalam resepi Majalah RASA. Minta izin ye Lydia, dan maaf dipinta kerana membuat sedikit perubahan dalam resepi ini. Amie panjangkan resepi Lydia untuk tatapan rakan-rakan pengunjung yang lain.

Resepi : Kambing Mandhi
Sumber : lydia honey@myresepi.com & Majalah RASA Julai 2012
Olahan: Amie's Little Kitchen


Bahan-bahan:
1 kg daging biri-biri - Amie potong lebih kurang 10cmx12cm setiap keping 
1/2 sudu teh ketumbar biji - tumbuk
1/2 sudu teh jintan manis kasar - tumbuk
1/2 sudu makan lada hitam - tumbuk
1 sudu teh All Spices
1 labu bawang besar- belah 4
7 ulas bawang putih - diketuk
3cm halia - diketuk
1-2 helai daun bay - Amie tak ada stok
1 sudu makan saffron - Amie rendam dalam 30ml air panas (Majalah RASA)
1 sudu makan serbuk kunyit (Majalah RASA)
garam secukup rasa - Amie tambah 1 sudu makan serbuk pati ayam Maggie
air secukupnya - Amie gunakan 1 liter air

Cara:
1. Didihkan air dalam periuk / kuali.
2. Masukkan kesemua bahan di atas kecuali saffron dan serbuk kunyit.
3. Masak dengan api sederhana panas selama 1 jam setengah.
4. Keluarkan daging bebiri dan toskan. Ketepikan air rebusan daging bebiri untuk dijadikan sup.
5. Gaul daging bebiri dengan saffron dan juga serbuk kunyit. Jika kurang rasa, boleh tambah sedikit garam atau serbuk pati ayam.
6. Perap seketika dan bungkus di dalam foil kemudian bakar dalam ketuhar selama 1 jam. Mengikut Majalah RASA, daging hendaklah dibakar pada suhu 250'C tetapi Amie gunakan api sederhana panas sahaja.

Oleh kerana Amie hendak 'asapkan' daging bersama dengan nasi, jadi Amie sediakan terlebih dahulu menu kambing bebiri. Setelah daging bebiri berada dalam oven, barulah Amie merendam beras dan sementara menanti beras kembang, Amie membuat kerja-kerja menghiris bawang dan sebagainya. Jadi, sebaik sahaja nasi hampir kering, kambing bebiri sudah masak sempurna dan boleh dikeluarkan dari oven untuk 'diasapkan'.





Untuk Nasi Mandhi, Amie gunakan resepi Raidah sepenuhnya walaupun di 3/4 jalan, ada sedikit perubahan Amie lakukan semasa proses 'mengasap' dengan memasukkan Kambing Mandhi bersama! Terima kasih Raidah.... semasa Amie tumis rempah-rempahan Nasi Mandhi, Encik Suami yang sedang mencuci kereta menjengah ke dapur... katanya, bau tumisan sampai ke luar rumah ikut pintu dapur yang terbuka!

Resepi : Nasi Mandhi
Sumber : Resepi Raidah
Olahan : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
4 cawan/pot beras basmathi ~ rendam 20 minit dan toskan
3 camca besar minyak sapi
4 1/2 cawan air atau secukupnya
1 biji bawang besar ~ hiris halus
3 ulas bawang putih ~ hiris halus
1 inci halia ~ hiris halus btg mancis
1/3 cwn kismis
Rempah tumis ~ 1 batang kayu manis, 1 kuntum bunga lawang, 3 biji buah pelaga, 5 kuntum bunga cengkih
Sedikit pewarna kuning
Garam secukup rasa.



Cara penyediaan nasi:
1. Panaskan minyak tumis rempah tumis, bawang putih, bawang besar dan halia hingga harum dan bawang layu. Masukkan kismis, goreng sebentar dan masukkan pula air, biar mendidih.
2. Bila mendidih, padamkan api dan tuang ke dalam rice cooker. Masukkan beras dan garam secukup rasa, kacau rata dan masak seperti biasa.

3. Bila nasi kering, buat lubang ditengah nasi dan letakkan aluminium foil.  (Pada masa inilah Amie susun kepingan daging bebiri). Masukkan 1 sudu minyak (Amie gunakan minyak zaitun) dan seketul arang yang telah dibakar. Tutup tudung periuk selama 2 minit supaya aroma asap arang tadi meresap ke dalam nasi.
4. Buka semula tudung periuk dan keluarkan aluminium foil bersama arang tadi - Amie juga keluarkan daging bebiri.
5. Titiskan 2-3 titik pewarna kuning, kacau/gembur nasi dan masak nasi sehingga masak.




Sos:
1 biji tomato ~ hiris
5 biji cili besar hijau (nk pedas tmbh lagi) ~ hiris
1 tangkai batang ketumbar ~ dihiris halus
Garam
Gula
Perahan lemon

Amie terpengaruh dengan cili besar hijau, jadi Amie gunakan tomato tua (hijau kuning), jadi sos pun warna hijau!

Cara penyediaan:
~ Kisar semua bahan dengan perahan air lemon, sekejap sahaja. Jangan sampai terlalu hancur.

Ulam:
~ Boleh dimakan bersama hirisan timun, tomato serta ulam2 kampung.


Anak-anak tidak sabar untuk menikmati Nasi Kambing Mandhi! Amie pun kelam-kabut mengambil gambar.  Kata anak-anak, daging bebiri sangat lembut! Memanglah nak oiii.... Mummy rebus 1 jam setengah, lepas tu panggang pulak 1 jam lagi! Kata Encik Suami pula, sup (air rebusan kambing bebiri) sangat sedap! Hmmm... pendek kata semuanya sedap belaka! Lepas ni memang nak buat lagi, tapi nak gunakan ayam pula! Dengan kata lain, Amie cukup berpuas hati kerana dapat menghasilkan Nasi Kambing Mandhi yang enak dan amat lazat ini!

Terima kasih yang tidak terhingga buat penyumbang resepi ini, Lydia & Raidah.


Sumber :
1.http://saifudin-mtb.blogspot.com/2012/09/restoran-mekah-juadah-ala-arab-di-alor.html
2.http://www.myresipi.com/top/detail/16996
3.http://resepiraidah.blogspot.com/2009/09/nasi-mandhi-abu-dhabi.html

Rabu, 24 Oktober 2012

Ketam Masak Lemak Cili Padi Dengan Nenas

Assalamualaikum.
Selamat menyambut Aidil Adha buat semua. Bagi yang pulang ke kampung, hati-hati di jalan raya. Moga selamat pulang ke kampung dan selamat kembali ke rumah sendiri. Sebelum raya menjelang sehari lagi, jom sama-sama kita ratah dulu Ketam Masak Lemak Cili Padi Dengan Nenas di bawah ini.


Yang suka meratah ketam tentulah anak-anak!


Resepi : Ketam Masak Lemak Cili Padi Dengan Nenas
Olahan : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
1.5 kg ketam - bersihkan dan potong ikut cita rasa
1/2 biji nenas - kupas dan potong ikut suka
600ml santan cair
300ml santan pekat
1 batang serai - dititik
2 biji lada hijau - belah 2
4 biji bawang merah - tumbuk
20 biji cili padi - tumbuk
1 sudu teh serbuk kunyit
garam / gula / perasa pilihan
minyak

Cara:
1. Masukkan bawang merah, cili padi dan serai serta serbuk kunyit ke dalam periuk berisi santan cair.
2. Masukkan ketam dan kacau sekali-sekala sehingga kulit ketam berubah warna.
3. Masukkan nenas dan santan pekat, garam dan perasa pilihan.
4. Kacau sekali-sekala sehingga ketam masak dan nenas menjadi layu.
5. Padamkan api, dan sedia untuk dihidangkan.




Amie suka ketam betina yang ada telur!



Tu dia.... yang kuning  oren di tengah isi ketam itulah telur yang Amie cari!

Isnin, 22 Oktober 2012

Rosemary Grilled Chicken (Ayam Panggang Rosemary)

Assalamualaikum.
Atas permintaan anak-anak, sekali lagi Amie buat Ayam Panggang Rosemary. Kali ini Amie sediakan mengikut resepi sepenuhnya, yang Amie ambil dari DAPUR IBUNDO. Sumber resepi adalah dari tuan yang sama iaitu dari dapur Wana - POTRET KASIH. Makan malam kami sudah tentulah seekor ayam panggang dengan 10 biji kentang seberat 1kg! 


Inilah rupa kejadian Ayam Panggang Rosemary atau lebih terkenal dengan nama Rosemary Grilled Chicken hasil air tangan Amie. Kelmarin Amie hanya gunakan bahagian peha, tapi hari ini gunakan ayam bulat pula. Seronok sangat bila anak-anak kata rasanya sangat lazat! Terima kasih sekali lagi buat Wana dan juga Ibundo yang telah memanjangkan versi Ayam Panggang Rosemary ini. Memang Amie menderhaka sedikit dari resepi asal kerana Amie gunakan jus lemon seperti Ibundo dan juga sedikit serbuk pati ayam. Kalau Ibundo gunakan Knorr, Amie pula gunakan Maggie. Amie juga gunakan air ayam yang bercampur rempahan menjadi sos seperti yang Ibundo sarankan.



Minta izin aduhai Wana & Ibundo untuk Amie panjangkan resepi yang lazat ini di sini untuk tatapan rakan-rakan pencinta resepi.

Resepi : Rosemary Grilled Chicken
Sumber : DAPUR IBUNDO & Wana - POTRET KASIH
Olahan : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
1 ekor ayam - guna peha ayam pun boleh
5-6 ulas bawang putih
1 sudu besar daun rosemary kering
1 inci halia
1 sudu besar lada hitam
1 sudu makan jintan kasar (bundo ganti dengan rempah allspice)
2-3 sudu besar gula perang 
2 sudu kecil garam
sedikit perasa - guna kiub ayam dihancurkan (bundo guna serbuk pati ayam knorr)
2 sudu besar jus limau- guna limau nipis (bundo guna lemon)
3 sudu besar olive oil ( minyak zaitun)
5 biji kentang - Amie tambah menjadi 10 biji kentang
2 biji tomato
6 biji baby carot-guna karot biasa dibelah pun boleh
sedikit mentega - untuk sapu atas ayam


Cara:
1. Ayam di potong 4 atau dibiar tidak di potong kemudian dibersihkan. Ketepikan dulu. Tumbuk halia hingga lumat kemudian perah jus halia pada ayam. Gaul rata.
2. Panaskan minyak zaitun. Goreng bawang putih hingga kekuningan. Angkat dan ketepikan dulu.
3. Tumbuk daun rosemary kering hingga lumat kemudian masukkan lada hitam, jintan kasar, tumbuk kasar.
4. Masukkan bawang putih yang telah di goreng tadi kedalam lesung dan tumbuk bersama rempah.
5. Masukkan lebihan minyak zaitun ( masa menggoreng bawang putih ) tadi, gula perang, garam, serbuk perasa, dan jus limau ke dalam rempah yang telah di tumbuk tadi. Gaul rata. Sesuaikan rasa rempah ikut citarasa anda.
6. Gaulkan rempah tumbuk bersama ayam. Masukkan ayam dalam bag berzip perap dalam petisejuk beberapa jam. (Bundo masukkan dalam bessen dan tutup dengan foil)
7. Kentang di kopek dan di rebus 3/4 masak . Ketepikan. Lebihan rempah ayam tadi boleh di lumur pada kentang.
8. Susun ayam, kentang, buah tomato, baby karot di dalam tray pembakar. Sapukan sedikit butter pada ayam dan sayur-sayuran dan bakar dalam ketuhar 180- 200 darjah celcius selama 1 jam.

Pesan Ibundo:

Bila ayam itu dipanggang, ia akan mengeluarkan banyak air.  Jangan dibuang.  Bundo gunakan air ayam yang penuh dengan rempah ratus itu sebagai sosnya. Masukkan air ayam di dalam periuk dan tambah dengan satu atau dua sudu besar tepung jagung.  Masak sehingga kuah pekat.



Alhamdulillah.... Ayam Panggang Rosemary masak sempurna sebelum Maghrib menjelang tiba dan kami seisi keluarga menikmatinya sehingga ke cebisan daging yang terakhir....  hanya tinggal tulang sahaja yang akan menjadi habuan kucing!


Amie tidak menyahut apabila anak-anak menyarankan supaya Amie buat lagi Ayam Panggang Rosemary..... siap dengan kentang dan juga sosnya!

Ahad, 21 Oktober 2012

Nasi Ayam Panggang Rosemary

Assalamualaikum.
Hari minggu yang redup ini, Amie cuba satu resepi gandingan timur dan barat. Amie masak Nasi Ayam tetapi berlauk Ayam Panggang Rosemary. Kemudian Amie tambah acar timun bubuh kacang tanah tumbuk serta sos sambal. Untuk Nasi Ayam, Amie tidak masak seperti kebiasaan, kerana Amie gunakan minyak zaitun sebagai pengganti marjerin. Selalunya Amie masak cara kukus tetapi kali ini Amie gunakan rice cooker saja.




Resepi : Nasi Ayam
Idea dan Olahan : Amie's Little Kitchen


Bahan-bahan:
4 cawan beras basmathi - rendam selama 10 minit dan kemudian basuh bersih
3cm halia - hiris nipis
3 ulas bawang putih - hiris nipis
1 batang kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
4 sudu makan minyak zaitun
1 sudu makan serbuk pati ayam Maggie
1 helai daun pandai - siat dan simpulkan
air secukupnya - anggaran 1:1.5 (1 cawan beras = 1.5 cawan air)

Cara:
1. Campurkan kesemua bahan di atas ke dalam rice cooker.
2. Tekan suiz memasak dan jangan dibuka sehingga nasi masak dan kering.


Resepi : Ayam Panggang Rosemary

Bahan-bahan:
1 ekor ayam (saya potong biasa/ stock camtu je yg ada..) - Amie gunakan 3 ketul bahagian peha
5-6 ulas bawang putih
1 sudu besar daun rosemary kering
1 inci halia
1 sudu besar lada hitam
1 sudu makan jintan kasar
2-3 sudu besar gula perang
2 sudu kecil garam
Sedikit perasa (saya tak letak)
2 sudu besar jus limau
3 sudu besar olive oil (minyak zaitun)
5 biji kentang
2 biji tomato
6 biji baby karot (saya gantikan dengan lada benggala)
Sedikit mentega
Amie tinggalkan kentang, tomato dan baby carrot memandangkan Ayam Panggang Rosemary akan disantap bersama Nasi Ayam.

Cara penyediaan:
1.Ayam dipotong 4 atau dibiar tidak dipotong kemudian dibersihkan.Ketepikan dulu.Tumbuk halia hingga lumat kemudian perah jus halia pada ayam.Gaul rata.
2.Panaskan minyak zaitun.Goreng bawang putih hingga kekuningan.Angkat dan ketepikan dulu.
3.Tumbuk daun rosemary kering hingga lumat kemudian masukkan lada hitam, jintan kasar, tumbuk kasar.
4.Mauskkan bawang putih yang telah digoreng tadi kedalam lesung dan tumbuk bersama rempah.
5.Masukkan lebihan minyak zaitun (masa menggoreng bawang putih) tadi, gula perang, garam, serbuk perasa dan jus limau ke dalam rempah yang telah ditumbuk tadi.Gaul rata.Sesuaikan rasa rempah ikut citarasa anda.
6.Gaulkan rempah tumbuk bersama ayam.Masukkan ayam dalam beg berzip dalam peti sejuk beberapa jam.(saya masukkan dlm tupperware)
7.Kentang dikopek dan direbus 3/4 masak.Ketepikan.Lebihan rempah ayam tadi boleh dilumur pada kentang.
8.Susun ayam, kentang, buah tomato, baby karot dalam tray pembakar.Sapukan sedikit butter pada ayam dan sayur-sayuran dan bakar dalam ketuhar 180-200 darjah celcius selama 1 jam.
Amie tinggalkan yang ke 7.


Alhamdulillah, resepi hari ini diterima baik oleh seisi keluarga! Cuma... Ayam Panggang Rosemary kena buat lebih! Maklumlah, dengan kelazatannya yang tidak terhingga, lembut isinya sampai ke tulang, anak-anak pun macam tak puas makan!
Terima kasih buat Rohah dan Wana, kerana sudi kongsi resepi yang lazat ini.


Akhirnya..... selesai tugas yang kupikul!

Assalamualaikum dan selamat berhujung minggu. Hari ini, hari untuk bersantai-santai. Jadi, entri pun ringkas dan padat gitu.... he he heheh


Gambar di atas ialah gambar Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail yang merupakan tetamu kehormat sempena sambutan Jubli Emas penubuhan sekolah tempat Amie bertugas. Beliau merupakan bekas pelajar dari SM St Dominic, Lahad Datu, Sabah. 


Walapun majlis makan malam dijadualkan bermula pada pukul 8 malam, dan para tetamu tiba pada pukul 7 malam, tetapi sebaik sahaja Amie tiba pada pukul 6.20, Sebahagian tetamu yang terdiri daripada bekas pelajar telah mula membanjiri ruang dewan!


Alhamdulillah, sebelum itu Amie bersama seorang rakan yang ditugaskan sebagai pengurus jamuan telah memastikan segala persiapan khususnya untuk makanan berjalan lancar!


Lebih kurang pukul 5 petang, kami pulang ke rumah masing-masing untuk menyiapkan diri bagi menghadiri majlis pada sebelah malamnya. Waktu Mahgrib tepat pada pukul 5.55, dan memandangkan rumah Amie tidak jauh dari dewan, tidaklah Amie terburu-buru untuk segera sampai. Yang penting 73 buah meja makan sudah tersedia!



Di atas.... merupakan aturcara dan termasuk menu yang bakal dihidangkan, dari meja Utama Raya. Pihak sekolah bersetuju untuk mengambil tempahan daripada Utama Raya dan Restoran Ceria. Syukur Alhamdulillah, dari hari pertama Amie berhubung dengan kedua-dua pembekal makanan ini, kerjasama yang ditunjukkan sangat memberangsangkan! Kami berbincang dari masa ke semasa tentang persiapan makan malam ini bersama Tuan Pengetua dari A sehinggalah ke Z!


Pemilik Restoran Ceria: Pasangan suami isteri, Encik Datu Mazlan dan Puan Juslinah Aman Setia. Encik Datu Mazlan merupakan bekas rakan sekerja Amie suatu ketika dahulu, dan Puan Juslinah pula bekas murid Amie yang juga merupakan ketua kelas  Amie yang sangat rajin dan penyabar!


Kelihatan wajah ceria Tan Sri Abdul Ghani Patail sepanjang majlis berjalan!


Tan Sri Abdul Ghani Patail, seorang Peguam Negara yang sentiasa merendah diri, murah dengan senyuman dan sudah tentunya malam tadi keletihan kerana sesi bergambar dengan beratus-ratus tetamu yang bersusun menunggu giliran! Antara ucapan beliau yang mencuit hati ialah tentang pengalamannya sebagai bekas pelajar SM St Dominic, dan kebetulan pada majlis tersebut, hadir salah seorang bekas gurunya. Cerita beliau..... pernah sekali beliau dirotan oleh guru kerana kenakalannya, apabila pulang ke rumah beliau mengadu kepada ayahnya tetapi apa yang beliau dapat ialah ayahnya menambah satu lagi rotan ke atasnya sebagai mengukuhkan bahawa perbuatannya memang patut diberi hukuman! Tapi sekarang katanya, keadaan sudah berubah... apabila pelajar didenda kerana kesalahannya, ibu bapa akan membuat laporan ke balai polis, dan beliau sendiri menerima emel daripada ibu bapa.... ha ha haa   satu dewan tertawa!



Cikgu Leong Weng Onn, Pengurus Besar jualan cendera kenangan , sedang menerangkan sesuatu kepada Cikgu Lasalama Lai, salah seorang ahli jawatankuasa majlis. Antara barang-barang jualan termasuklah Magic Mug, tuala dan di bawah ini....



Abum SM St. Dominic berharga RM150, yang mengandungi gambar-gambar kenangan sejak penubuhan SM St Dominic 50 tahun lalu sehinggalah tahun 2012. Selain mengadakan sambutan Jubli Emas, majlis ini juga bertujuan untuk mengumpul dana tabung sekolah, memandangkan sekolah kami bukanlah sekolah yang menerima bantuan penuh daripada pihak kerajaan, melainkan hanya bantuan modal sahaja. Jadi, mudah-mudahan selepas ini kami akan menerima berita baik, kerana difahamkan selain jualan tiket dan meja, banyak penyumbang yang terdiri daripada bekas pelajar sekolah ini telah bermurah hati menderma  dari puluhan ringgit, ratusan, ribuan, malah sehingga puluhan ribu setiap induvidu, termasuk Tan Sri Abdul Ghani Patail sendiri!


Diringkaskan cerita, akhirnya sampailah ke penghujung majlis! Sempatlah bergambar kenangan walaupun tidak masuk semua AJK. Maklumlah, dalam keadaan sibuk, tetamu melebihi 700 orang, dan masing-masing ada tugasan yang perlu dilaksanakan, jadi bergambarlah mana yang sempat! Apa pun majlis berjalan dengan lancar dan meriah dengan diiringi pelbagai persembahan termasuk Tarian Sambut Tetamu, beberapa tarian tradisional etnik Sabah termasuk Tarian Mengalap, Tarian Darling-Darling Kreatif, Tarian Panansang dan Tarian Poco-Poco serta beberapa buah lagu seperti Take Me Home Country Road, Shanghai Beach (Kantonis), The Moon Represents My Heart (Mandarin) dan sebagainya yang dialunkan oleh bekas-bekas pelajar.



Adapun.... cik puan ketua jamuan sudah mengukir senyum lebar ketika ini kerana tugas telah selesai! Walaubagaimanapun, kerana syok sendiri, terlupalah pula untuk mengambil gambar makanan! Alhamdulillah, segala yang dirancang berjalan lancar dengan kerjasama semua pihak termasuk warga pendidik SM St Dominic, PIBG dan Persatuan Alumni SM St Dominic.

Selasa, 16 Oktober 2012

Ayam Masak Semur Bukit Hijau

Assalamualaikum.
Akhir-akhir ini rasa rindu selalu membuak di dada.Rindu pada Bonda. Rindu kampung halaman dan rindu segala kenang-kenangan sewaktu bersama keluarga suatu masa dahulu! Apakan daya, diri terbuang jauh di rantau, pulang hanya sekali-sekala sekiranya ada kesempatan. Rindu ini tidak mampu dibayar oleh wang ringgit! Oh... tiap kali menelefon Bonda, tiap kali itulah terasa bersama Bonda duduk menemaninya di atas tangga, sambil berbual-bual di petang hari. Alangkah mahalnya harga sebuah rindu! Tiba-tiba terdetik di hati untuk memahat dan mengabadikan segala kenangan bersama keluarga di kampung dalam ruangan ini! Sudah tentunya Amie akan abadikan segala masakan dan hasil air tangan Bonda dalam label khas yang Amie namakan Resepi Bonda! Sebelum ini, Amie pernah paparkan resepi AYAM MASAK SEMUR yang Amie olah berdasarkan pemerhatian dan pengalaman memasak ketika di kampung. Namun, setelah diperhalusi sekali lagi, dan setelah mendapatkan kepastian daripada Bonda, sekali lagi Amie paparkan dengan nama Ayam Masak Semur Bukit Hijau pula. Ada sedikit penambahbaikan untuk mengekalkan keaslian resepi dari segi ramuan dan cara masakan, misalnya Amie tambahkan sedikit rempah-rempahan seperti ketumbar, jintan putih dan jintan manis, memandangkan selama ini Amie memasak semur tanpa rempah-rempahan tersebut. Kali ini hasil masakan Ayam Masak Semur Bukit Hijau lebih kering, berbanding sebelumnya kerana menurut Bonda, dengan cara begini, masakan lebih tahan lama, dan tidak mudah basi memandangkan daging ayam dan kentang digoreng terlebih dahulu. Ini kerana Ayam Masak Semur memang merupakan salah satu hidangan semasa kenduri-kendara dan dijadikan sebagai salah satu daripada beberapa lauk-pauk dalam nasi berkat dan juga dijadikan lauk punjungan! Memang benarlah kata Bonda, sebab zaman dulu mana ada peti sejuk untuk simpan lebihan masakan.


Resepi : Ayam Masak Semur Bukit Hijau
Sumber : Masakan Orang Kampung Bukit Hijau
Olahan: Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
700 gram daging ayam - potong menjadi 12 bahagian 
3 biji kentang - kupas kulit dan potong baji
6 sudu makan kicap pekat atau 1 cawan kicap cair
1 labu bawang besar - belah 6
2 biji lada merah - belah 2 dan potong 2
1 sudu teh pati asam jawa 
1 cawan air
1 sudu makan lada putih - tumbuk
1 batang kulit kayu manis
 3 biji buah pelaga
3 kuntum bunga lawang
garam dan gula

Bahan tumbuk : 
3 ulas bawang putih
5 ulas bawang merah
2cm halia
1 sudu makan biji ketumbar
1 sudu teh jintan putih
1 sudu teh jintan manis

Cara:
1. Gaul ayam dengan sedikit garam dan serbuk kunyit. Goreng hingga separuh masak dan ketepikan.
2. Goreng kentang hingga masak dan ketepikan.
3. Panaskan sedikit minyak. tumis semua bahan tumbuk bersama kulit kayu manis, buah pelaga dan bunga lawang sehingga wangi.
4. Masukkan asam jawa, air dan kicap. Biarkan sehingga kuah mendidih.
5. Masukkan ayam dan masak sehingga kuah pekat.
6. Masukkan lada putih dan gaul sebati.
7. Perasakan dengan sedikit garam dan gula, tetapi sekiranya anda menggunakan kicap manis seperti Kicap Cap Kipas Udang (Habhals), tidak perlu masukkan garam dan gula kerana kicap ini sudah cukup rasa.
8. Setelah kuah kelihatan pekat seperti yang dikehendaki, barulah masukkan kentang goreng, bawang besar dan hirisan lada merah. Gaul seketika dan segera padamkan api.
- Mengikut resepi asal, tidak perlu gunakan bancuhan air tepung jagung untuk pekatkan kuah.


Ayam Masak Semur Bukit Hijau sentiasa dalam kenangan!

Isnin, 15 Oktober 2012

Sup Ayam Bukit Hijau

Assalamualaikum.
Ketika Encik Suami melangkah masuk ke dalam rumah petang tadi, wajahnya kelihatan layu, letih dan lesu. Selepas menunaikan solat Asar, Encik Suami baring di atas sofa. Tahulah Amie, badannya tentu rasa kurang sihat. Biasanya, Encik Suami akan menemani Amie masak di dapur, sambil minum teh panas dan menjamah biskut atau pisang goreng yang dibelinya di gerai. Amie biarkan Encik Suami berehat di ruang tamu, dan meneruskan kerja masak-memasak di dapur. Sambil mendengar rancangan ADILA melalui Radio Klasik, Amie dapat juga menyiapkan hidangan makan malam dan kami makan sebelum pukul 6 petang. Khusus untuk Encik Suami yang kurang sihat, Amie sediakan Sup Ayam Bukit Hijau. Sebenarnya, sup ini menjadi kegemaran FIL, sejak pertama kali beliau datang ke rumah keluarga Amie di Bukit Hijau. Sekembalinya ke sini, beliau meminta Amie memasak sup tersebut, yang katanya kelazatannya tidak dapat dilupakan! Oleh kerana sup ayam yang dimasak di rumah keluarga Amie menggunakan ayam pencen, FIL sanggup mencari ayam pencen untuk dibuat sup yang sama! Bagi Amie, sup ayam yang kami hidangkan dulu merupakan menu biasa sebab masakan tersebut memang sinonim dengan keluarga kami, dan juga orang kampung kami baik dimasak untuk keluarga atau pun semasa kenduri kendara. Apakah keistimewaan Sup Ayam Bukit Hijau sehingga FIL tidak dapat melupakannya?


Seperti biasa, Amie masak sup ayam mengikut kaedah atau resepi turun-temurun yang Amie lihat dan perhatikan dari kecil, bermula dari rumah hasil air tangan bonda sehinggalah di tempat kenduri-kendara di kampung kami. Caranya tetap sama, tumis terlebih dahulu daging ayam bersama sedikit rempah-rempahan, dan kemudian didihkan sehingga daging ayam empuk. Bahan taburan wajib sudah tentulah daun sup dengan bawang goreng! Dan, Amie sentiasa ingat pesan Bonda : bubuh rempah sedikit saja sebagai syarat!

Resepi : Sup Ayam Bukit Hijau
Idea dan Olahan : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
600 gram daging ayam - potong ikut citarasa
3 biji kentang - potong 4
1 batang kulit kayu manis
3 biji buah pelaga
3 kuntum bunga lawang
3cm halia - diketuk
1 sudu lada putih - tumbuk
4 cawan air
garam / perasa pilihan
minyak
bawang goreng
hirisan daun sup / daun bawang

Bahan tumbuk: (jangan terlalu lumat)
3 ulas bawang putih
4 biji bawang merah
1 sudu teh ketumbar biji
1/2 sudu teh jintan putih
1/2 sudu teh jintan manis

Cara:
1. Panaskan sedikit minyak dan tumis semua bahan tumbuk, halia, kulit kayu manis, buah pelaga dan bunga lawang sehingga wangi.
2. Masukkan daging ayam dan balik-balikkan sehingga ayam kelihatan layu.
3. Masukkan air dan biarkan sehingga mendidih.
4. Masukkan kentang serta lada putih. Masak sehingga daging ayam dan kentang empuk.
5. Perasakan dengan garam /perasa pilihan. 
6. Padamkan api.
7. Hidangkan panas bersama bawang goreng dan hirisan daun sup / daun bawang.


Adapun, beginilah resepi Sup Ayam Bukit Hijau yang digemari FIL. Alhamdulillah, Encik Suami pun makan dengan penuh selera..... benarkah? Nampaknya makan pun diam-diam saja,  tak bercakap-cakap macam selalu.... dan tidur awal pula. Harap lada putih dalam sup ayam tadi dapat melegakan rasa letih lesunya!