ADSENSE

Selasa, 22 September 2015

Juadah di Pagi Aidil Adha

Selamat pagi kawan-kawan.
Semoga hari ini dipenuhi dengan keceriaan.
Esok, lusa kita akan menyambut Aidil Adha. Selain mendoakan agar jemaah  dari negara kita mendapat haji yang mabrur di tanah suci, jangan lupa mendekatkan diri kepada Allah dengan ibadat korban. In shaa Allah, setiap pengorbanan yang kita lakukan dengan niat ikhlas akan mendapat ganjaran berlipatganda dari-Nya. Amin.
Cerita tentang Aidil Adha, kita tidak dapat lari dari menyediakan juadah terutama sekali buat keluarga. Kadang-kadang kita teragak-agak nak masak apa, terutamanya masakan daging. Bagi yang suka mengekalkan hidangan tradisi warisan masing-masing, teruskanlah supaya resepi anda akan terus diingati dan dikenali oleh anak cucu dan generasi akan datang. Bagi yang mempunyai pasangan yang berlainan keturunan, tentu banyak kali berfikir untuk memasak hidangan samada masakan orang sebelah kita, atau masakan kita sendiri. Atau kedua-duanya sekali... ahaks!
Di kesempatan ini Amie ingin kongsikan beberapa jenis hidangan atau lauk-pauk yang biasa Amie sajikan untuk keluarga dan juga beberapa jenis lagi yang mungkin tidak biasa rakan-rakan pengunjung dengar. Apa salahnya kita mencuba... dari situ, kita dapat menambah ilmu masakan dan sudah tentunya dapat mengenali budaya sesuatu kaum atau keturunan di negara kita.

Jangan risau...
Amie hanya kongsikan resepi yang mudah dengan menggunakan bahan yang senang diperolehi. Hasilnya? Sudah pasti anda akan menjilat jari.... maafkan Amie kalau Amie salah telahan, atau hanya perasan @ syok sendiri.... hihihiiii.
Apa pun segala lauk pauk yang dipaparkan ini sesuai dimakan dengan ketupat, nasi himpit, lemang, lontong, buras, nasi dan sebagainya.

Amie ingin perkenalkan Gulai Daging @ Kuliah Ah Daging dari Negeri Sabah di Bawah Bayu. Resepinya klik di sini : GULAI DAGING @ KULIAH AH DAGING.

Seterusnya, resepi Ayam Masak Lengkuas atau Nasu Likku'. Jemput ke sini untuk selongkar resepinya: DI SINIdan  DI SINI.

Cubalah Rendang Ayam Sarawak!
Nak tahu apa rasanya? Resepinya ada DI SINI.



Dah sampai ke Sarawak, apa kata kita cuba Daging Masak Hitam pula! Istimewanya masakan ini selain kerisik, kismis dan buah prune juga digunakan. Amie gunakan gula apong untuk memerap daging, tapi kalau tidak ada gula apong boleh gunakan gula melaka! Resepi Daging Masak Hitam Sarawak ini Amie belum kongsikan di dapur maya. Terakhir kali Amie masak DI SINI tiga hari lepas, sempena ulang tahun Fairuz. Amie gandingkan lauk ini dengan Nasi Oren.... walaaaa.... licin! Amie kongsikan resepinya di bawah ini. Resepi ini Amie dapat dari buku resepi lama DI SINI (yang pernah Amie ceritakan tentang buku resepi Sarawak yang berusia lebih 25 tahun, masih tulisan tangan  milik kawan Amie)  dan juga terima kasih berjuta-juta kepada Anis kerana Amie juga merujuk Ani's Diary. 
Bahan-bahan:
1 kg daging - Amie gunakan daging blade - potong setebal 1/2 cm dan selebar 3 cm
4 sudu besar kicap manis ABC
4 sudu besar gula apong 
Kesemua bahan di atas diperap selama 2 jam.

Bahan kisar:
20 tangkai cili kering
3 ulas bawang putih
10 biji bawang merah
1 labu bawang besar
5 batang serai - hiris nipis
2 cm lengkuas 
2 cm halia
2 sudu besar kismis
5 biji buah prune

Bahan penumis:
7 biji bawang merah - hiris
1 labu bawang besar - hiris
1 batang kulit kayu manis
3 kuntum bunga lawang
3 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga

Bahan lain:
4 sudu besar kerisik
2 sudu besar rempah kurma
1/2 cawan minyak
1 sudu kecil pati asam jawa
garam secukup rasa

Cara:
1. Panaskan dan goreng bawang merah serta bawang besar hingga wangi. Kemudian masukkan bahan rempah penumis yang lain. Tumis sehingga bawang kelihatan kekuningan.
2. Masukkan rempah kurma dan bahan kisar dan tumis lagi hingga pecah minyak.
3. Masukkan asam jawa diikuti dengan daging.
4. Masak dengan api perlahan. Amie tidak tambahkan air dalam masakan ini sebab air daging dan air yang digunakan untuk bahan kisar sudah mencukupi. Sekiranya daging masih keras dan kuah mengering, bolehlah tambah air.
5. Kacau sekali-sekala supaya masakan tidak berkerak atau hangus.
6. Setelah daging empuk, masukkan kerisik dan perasakan dengan garam atau perasa pilihan anda.


Rendang Daging di atas nampak menyelerakan bukan? Mmmmm... cuba tengok di bawah ini... sedapnya bila ditemukan dengan ketupat palas!

Resepinya sangat mudah, jerang kesemua bahan hingga masak! Cuba klik di sini : RESEPI RENDANG YANG SEDAP DAN MUDAH 

Jangan lupa, bagi anda yang masih ingat resepi yang menggunakan sekilo bawang besar untuk masakan sekilo daging, masakan ini pasti menggamit selera keluarga anda dengan rasanya yang lazat dan tidak dapat dilupakan! Amie telah menghubungi rakan Amie, Imelda Shahriah Ishak, untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang resepi ini. Resepi istimewa ini asalnya ialah Sambal Goreng Daging! Resepi warisan dari sebelah nendanya di Melaka. Tak rugi mencubanya! Klik saja di sini:

Selamat mencuba!

2 ulasan:

LiNa_Pg berkata...

Semua pun sedap tu kak amie..
SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA KORBAN

Suzana Ibrahim berkata...

Selamat menyambut hari raya korban esok untuk Amie sekeluarga.perkongsian yang memberi idea untuk dapur orang lain.