Sedapnya Udang Goreng Butter... setelah mencuba dan terus mencuba!
4:57 PTG
Suatu ketika dulu Amie pernah rasa kecewa sebab setiap kali mencuba resepi Udang Goreng Butter, asyik tak menjadi! Baca berulang kali resepi dalam majalah dan sebagainya, ada saja yang tak betulnya. Lepas tu... dengan rasa menyampah tak mahu lagi memikirkan Udang Goreng Butter dari dapur sendiri. Tapi, dengan rasa aneh terus selalu menikmatinya di hotel, di restoran atau pun di gerai makan. Rasa aneh itu tak lain tak bukan, kenapa orang lain boleh buat tapi kenapa aku buat asyik tak jadi? Bukan udang butter itu yang tak boleh dimasak, tapi sarang telur atau floss itu yang tak menjadi! Walaupun ada dua jenis masakan udang butter ini, udang butter jenis basah dan jenis kering, tapi kita nak yang kering, yang nampak cantik bersarang itu!
Itulah... Amie bermasalah dengan sarang telur!
Beberapa tahu kemudian, setelah hati kembali sejuk (merajuk sendiri, siapa yang nak pujuk?... padan muka!) dan setelah berulang kali bersoal jawab dengan chef google, Amie pun bangkit kembali. Banyak kali masak tapi jarang kongsi di sini.
Sekarang, Amie pula yang tertanya-tanya, apa sebenarnya Udang Goreng Butter itu? Melihat kepada bahan yang digunakan, sebenarnya sarang itu sekadar hiasan sahaja! Sekadar bahan sampingan! Tapi, biasalah kita sebagai manusia yang ada sepasang mata, yang melihat segalanya bermula dari mata. He he hee.... nampaknya mata kitalah yang membuat keputusan sedap atau sebaliknya sesuatu hidangan itu.
Wokeh... di sini Amie kongsikan beberapa hasil masakan Amie. Agak-agaknya, mana satu jenis sarang telur yang betul, yang dikatakan cantik dan menepati standard masakan Udang Goreng Butter?
Gambar di atas, hidangan tengahari tadi. Nasi putih dengan Udang Goreng Butter. Makan berdua dengan Fairuz. Fuad ke perpustakaan, Encik Suami kerja balik sebelah petang nanti. Kena simpankan bahagian Fuad dengan Encik Suami, sebab anak-anak pantang nampak Udang Goreng Butter... makan dah tak pandang belakang, kalau boleh ratah habis satu piring!
Yang di bawah ini.... pada suatu ketika, cuba buat sendiri setelah makan Udang Goreng Butter di Tawau.
Nampak sarang telurnya warna kuning, berjurai-jurai panjang.
Yang di bawah ini pula, dapat inspirasi setelah makan di The Leon Hotel.
Udang-udangnya pun kita susun ikut kreativiti chef hotel... ha ha haaaa... Tapi, hidangan di hotel, udangnya boleh dibilang dengan jari, cuma sarang telurnya saja yang banyak! Ini sebab tak puas meratah udang, balik rumah buat sendiri.
Tak semestinya sarang telur yang Amie buat itu menjadi. Kadang-kadang bentuk kepingan besar, tak berapa nak halus seperti gambar di atas. Itu yang Amie persoalkan di awal entri tadi, sebenarnya Udang Goreng Butter ini apa yang nak dinikmati Sarang telurnya atau udangnya...hihihiiii!
Lepas tu, cuba pula yang lain seperti di bawah ini....
Sarang telurnya panjang berjurai tapi tak berapa keemasan, nampak kuning saja.
Farid komen...
Udang terlalu besar, kulit udang keras!
Farid buat perbandingan setelah Encik Suami belikannya Nasi Goreng dengan Udang Goreng Butter.
Wokeh! Noted!
Tak mahu guna udang saiz besar lagi, sebab memang betul!
Tak dapat nikmati rasa Udang Goreng Butter sebenar.
Komen Farid jujur, sebab dia makan dengan rasa dan bukannya makan dengan mata macam Mommynya ini.... he he heee....
Amie pun study sungguh-sungguh setiap kali Encik Suami belikan Udang Goreng Butter, atau pun setiap kali kami makan Udang Goreng Butter di luar.
Setelah makan lebih 5 kali Udang Goreng Butter yang Encik Suami selalu beli di sebuah gerai makanan, dan 2 kali makan di tempat tersebut, Amie dapati udang tersebut digoreng salut dengan tepung jagung! Ada rasa-rasa manis gula juga.
Amie pun cuba buat di dapur sendiri!
Akhirnya Amie yakin....
Dan, pada suatu malam... dua minggu yang lalu, Amie jadikan Udang Goreng Butter ini sebagai salah satu menu hidangan makan malam di samping meraikan tetamu dari jauh.
Tetamu kami pada malam itu, Ustaz Mohd. Noh... yang sedang menunjukkan sesuatu kepada Firdaus. Ustaz Mohd. Noh merupakan rakan sekerja kami, dan pada 2008 berpindah ke Putrajaya kerana menjawat jawatan sebagai Nazir.
Terima kasih Ustaz Mohd. Noh kerana sudi menjenguk kami di sini... terima kasih kerana sudi menjamah hidangan pada malam itu. Alhamdulillah, Ustaz kata Udang Goreng Butter tu sedap! Maknanya, selepas ini Amie dengan penuh yakin akan memilihnya sebagai salah satu menu untuk hidangan tetamu.
Di bawah ini, Amie kongsikan resepi Udang Goreng Butter yang Amie sudah yakini mampu memikat selera kami seisi keluarga. Amie tidak bubuh garam, sebab bagi Amie udang itu sendiri sudah ada rasanya yang istimewa, cuma Amie tambahkan 1/2 sudu kecil perencah cukup rasa.
Bahan untuk sarang:
4 biji kuning telur gred AA
1 cawan minyak
4 sudu besar mentega
Cara:
1. Pukul ringan kuning telur.
2. Panaskan minyak bersama mentega di dalam kuali.
3. Gunakan senduk bulat untuk membuat pusingan sehala di dalam kuali.
4.
Setelah minyak benar-benar panas, teruskan memusing minyak menggunakan
tangan kanan, tangan kiri pula angkat kuning telur agak tinggi dan
tuangkan ke dalam minyak gorengan. Teruskan memusing sehala dengan laju
sehinggalah habis kuning telur yang dituang tadi.
5. Bila sarang telur kelihatan kuning keemasan, bolehlah angkat dan toskan minyaknya.
Gambar di atas di ambil pada waktu malam. (Curi-curi cepat-cepat ambil sebab dah terhidang atas meja makan). Dan gambar di bawah diambil pada waktu siang... mendung. Amie tak ada teknik tertentu semasa ambil gambar, apa pun rasa masakan ini sama!
500 gram udang kertas saiz sederhana kecil - bersihkan - belah belakangnya dan tarik keluar urat urat - gaul udang tadi dengan 2 sudu besar tepung jagung dan goreng hingga masak - ( sebaik-baiknya jangan goreng terlalu lama sehingga udang jadi kecut ) angkat dan toskan
12 biji cili padi - hiris
1/2 sudu kecil lada putih - tumbuk
1/2 sudu kecil perencah MAGGI Cukup Rasa
1/2 sudu kecil gula pasir
5 ulas bawang putih - cincang
3 tangkai daun kari - lurutkan daunnya
3 sudu besar mentega
4 sudu besar susu cair
Cara:
1. Panaskan mentega dalam kuali dan tumis bawang putih hingga wangi.
2. Tambahkan hirisan cili padi dan daun kari. Gaul rata.
3. Masukkan susu cair, lada putih dan perencah Cukup Rasa.
4. Setelah bahan tumisan mulai memekat, masukkan udang.
5. Taburkan perencah MAGGI Cukup Rasa dan gula pasir. Gaul sekali dua. Padamkan api dapur.
6. Masukkan sarang telur tadi, dan gaul bersama udang.
7. Siap untuk dihidangkan.
1. Jangan mudah putus asa.
2. Resepi tak salah, yang salah diri sendiri sebab tak ada sifat sabar.
3. Sekali masakan tak menjadi, cuba lagi hingga berjaya... kita akan belajar dari pengalaman itu.
1 comments
best nya Mie butter prawn,kat umah kalau butter prawn ni anytime mesti habis punya tapi mesti kena buang kulit udang semua nya diaorang ni malas nk buang kulit time makan, nak senanggggggggggg je kan budak2 ni
BalasPadam