ADSENSE

Isnin, 15 Oktober 2012

Sup Ayam Bukit Hijau

Assalamualaikum.
Ketika Encik Suami melangkah masuk ke dalam rumah petang tadi, wajahnya kelihatan layu, letih dan lesu. Selepas menunaikan solat Asar, Encik Suami baring di atas sofa. Tahulah Amie, badannya tentu rasa kurang sihat. Biasanya, Encik Suami akan menemani Amie masak di dapur, sambil minum teh panas dan menjamah biskut atau pisang goreng yang dibelinya di gerai. Amie biarkan Encik Suami berehat di ruang tamu, dan meneruskan kerja masak-memasak di dapur. Sambil mendengar rancangan ADILA melalui Radio Klasik, Amie dapat juga menyiapkan hidangan makan malam dan kami makan sebelum pukul 6 petang. Khusus untuk Encik Suami yang kurang sihat, Amie sediakan Sup Ayam Bukit Hijau. Sebenarnya, sup ini menjadi kegemaran FIL, sejak pertama kali beliau datang ke rumah keluarga Amie di Bukit Hijau. Sekembalinya ke sini, beliau meminta Amie memasak sup tersebut, yang katanya kelazatannya tidak dapat dilupakan! Oleh kerana sup ayam yang dimasak di rumah keluarga Amie menggunakan ayam pencen, FIL sanggup mencari ayam pencen untuk dibuat sup yang sama! Bagi Amie, sup ayam yang kami hidangkan dulu merupakan menu biasa sebab masakan tersebut memang sinonim dengan keluarga kami, dan juga orang kampung kami baik dimasak untuk keluarga atau pun semasa kenduri kendara. Apakah keistimewaan Sup Ayam Bukit Hijau sehingga FIL tidak dapat melupakannya?


Seperti biasa, Amie masak sup ayam mengikut kaedah atau resepi turun-temurun yang Amie lihat dan perhatikan dari kecil, bermula dari rumah hasil air tangan bonda sehinggalah di tempat kenduri-kendara di kampung kami. Caranya tetap sama, tumis terlebih dahulu daging ayam bersama sedikit rempah-rempahan, dan kemudian didihkan sehingga daging ayam empuk. Bahan taburan wajib sudah tentulah daun sup dengan bawang goreng! Dan, Amie sentiasa ingat pesan Bonda : bubuh rempah sedikit saja sebagai syarat!

Resepi : Sup Ayam Bukit Hijau
Idea dan Olahan : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
600 gram daging ayam - potong ikut citarasa
3 biji kentang - potong 4
1 batang kulit kayu manis
3 biji buah pelaga
3 kuntum bunga lawang
3cm halia - diketuk
1 sudu lada putih - tumbuk
4 cawan air
garam / perasa pilihan
minyak
bawang goreng
hirisan daun sup / daun bawang

Bahan tumbuk: (jangan terlalu lumat)
3 ulas bawang putih
4 biji bawang merah
1 sudu teh ketumbar biji
1/2 sudu teh jintan putih
1/2 sudu teh jintan manis

Cara:
1. Panaskan sedikit minyak dan tumis semua bahan tumbuk, halia, kulit kayu manis, buah pelaga dan bunga lawang sehingga wangi.
2. Masukkan daging ayam dan balik-balikkan sehingga ayam kelihatan layu.
3. Masukkan air dan biarkan sehingga mendidih.
4. Masukkan kentang serta lada putih. Masak sehingga daging ayam dan kentang empuk.
5. Perasakan dengan garam /perasa pilihan. 
6. Padamkan api.
7. Hidangkan panas bersama bawang goreng dan hirisan daun sup / daun bawang.


Adapun, beginilah resepi Sup Ayam Bukit Hijau yang digemari FIL. Alhamdulillah, Encik Suami pun makan dengan penuh selera..... benarkah? Nampaknya makan pun diam-diam saja,  tak bercakap-cakap macam selalu.... dan tidur awal pula. Harap lada putih dalam sup ayam tadi dapat melegakan rasa letih lesunya!

10 ulasan:

ummiross berkata...

Amie, terima kasih kongsi resepi sup ayam Bukit Hijau, insyaAllah ummi pun nak cuba. Memang nampak sedap sangat. Semoga suami Amie hilang letih lesunya dengan air tangan isteri tersayang.

mama sara nur berkata...

selamat malm Amie
dpt hirup sup panas2 tu pastinya en suami lega he he hilang penatnya
ayam bukit hijau pastinya special tu

Tihara berkata...

kak sekarang ni saya sua beli ayam pencen buat gulai lemak or masak merah..nanti saya nak try sup plak.sbb isi ayam pencen tak muak mcm ayam keje..hehe ayam biasa :)

♥♥azatiesayang ♥♥ berkata...

salam Amie,walaupon xsihat tp Hb Amie berselera menikmati sup ayam, bukit hijau ni...airtgn wife kesygannya ni.(^_^)

rahel berkata...

Tengok pun sudah boleh agak yg sup ayam pencen tu memang sedap..belum lg rasa..memang bermangkuk-mangkuk supnya dihirup..

EmbunRosaliza berkata...

Assalam amie, istemewanya sup ini tak guna sup bunjut, sangat menarik dan resipi pun simple2 saje, lain kali boleh di cuba ni. Kita selalu juga masak ikut resipi amie, cuma tak amik gambar je, maklum la hiasan tak ada

Asyifa Mustaffa berkata...

Tgk bhan rempah ratusnya tu pun dah tau kewangian dan kelazatan sup akak nie....hehe......

Nens Collection berkata...

menu kami skang kak amie..sume berasakan sup2 dan tomyam..sbbnyer nens nk darah tggi hubby nens tu turun..ssh betul nk turun..huhu

biasa nens pakai sup bunjut je buat sup..nnt nk tambhakan kayu manis,pelaga & b/lawang tu..pasti ummmppp!!!

Nuwairani Ismail berkata...

suka sangat makan sup. kalau ada sambal kicap lagi mantop!!

hazila berkata...

Dah lama tak masak sup ayam, sedap hirup kuah ni.